Saturday, June 4, 2011

Lelaki Maut Ditetak Selepas Calarkan Kenderaan


Gara-gara mencalarkan kenderaan, seorang lelaki maut dipercayai akibat ditetak beberapa kali di bahagian badan dalam satu kejadian di sini pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam, selepas lelaki berusia lingkungan 30-an itu mencalarkan kenderaan yang diletak di Lorong 9, Taman Semarak, di sini.

Lelaki itu yang dipercayai melakukan vandalisme ke atas dua kenderaan terbabit dikejar oleh seorang lelaki lain menghala ke Lorong 2, yang kemudian bertindak menetaknya, kata Ibrahim.
Akibat tetakan tersebut, mangsa putus satu jari tangan namun dia masih berupaya melarikan diri sambil dikejar oleh sekumpulan pemuda yang menyedari perbuatannya sebelum itu.

Mangsa kemudian terjatuh dan dipercayai sekali lagi ditetak bertalu-talu sebelum kejadian disedari orang ramai yang menghantarnya ke Hospital Tawau dan disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi.
Sehubungan itu, Ibrahim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!