Saturday, June 25, 2011

Penaja Rasmi Jersi Aston Villa


Genting menjadi penaja rasmi jersi kelab bola sepak Inggeris, Aston Villa FC.
Syarikat subsidiarinya, Genting UK, pengendali kasino terbesar di Britain mencapai persetujuan untuk menjadi penaja utama jersi Aston Villa selama dua tahun.

Hasil perjanjian itu, logo dan simbol akan terpampang di jersi terkini kelab tersebut.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Timbalan Pengerusi Eksekutif Genting UK, Peter Brooks berkata, penajaan itu merupakan langkah tepat dan menjadi platform kepada syarikat tersebut untuk mengembangkan jenamanya di Britain dan juga di peringkat antarabangsa.
"Realitinya Genting mempunyai hubungan setempat yang kukuh selain di peringkat antarabangsa dalam membina kerjasama erat untuk kelab itu.

"Kami menjangka hubungan itu akan membawa nafas baru kepada Aston Villa," kata Ketua Pegawai Eksekutif Villa, Paul Faulkner.
Aston Villa merupakan antara lima kelab paling menyinar dalam sejarah bola sepak Inggeris dan satu-satunya daripada lima kelab British yang memenangi Piala Europa.

Beberapa syarikat dari Malaysia pernah menjadi penaja kelab bola sepak Inggeris dengan Proton merupakan syarikat pertama muncul penaja rasmi jersi Norwich City pada 2004.
Pada 2008, AirAsia turut menandatangani perjanjian untuk menjadi penaja jersi pengadil bola sepak profesional di England.

Tahun lalu, Manchester United dan Telekom Malaysia Bhd mengikat kontrak selama lima tahun dalam perjanjian penggunaan jenama kedua-dua pihak pada kempen pemasaran dan aktiviti promosi.
Minggu lalu, Cardiff City turut mengumumkan akan meletakkan nama Malaysia di bahagian depan jersi kelab itu, hasil inisiatif pemilik kelab tersebut dan pengasas Berjaya Corp Bhd, Tan Sri Vincent Tan.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!