Monday, June 20, 2011

Ustazah maut nahas ketika ke rumah ibu

Hasrat seorang ustazah menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga di kampung berakhir dengan tragedi apabila dia terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 17, Bemban-Tehel di sini, semalam.
Lebih menyayatkan hati, hajat Hazlina Abu Samah untuk menjamah kuih kegemaran, kuih lopes yang dibuat oleh ibunya juga tidak kesampaian.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika Hazlinah, 34, yang memandu kereta jenis Proton Wira ditemani oleh anak lelakinya, Mohd. Faerid Mohd. Hafizi, 8, dalam perjalanan dari rumah mereka di Selandar menuju ke rumah ibu bapa Hazlinah di Pengkalan Jajar, Kampung Alai.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu oleh mangsa terbabas ketika melalui satu selekoh tajam di tempat kejadian.
"Akibatnya, kereta yang dipandu oleh mangsa terbabas di kiri jalan lalu merempuh tiang lampu dan tembok pagar batu di kaki lima jalan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Che Suza, mangsa yang mengajar di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Selandar meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Bagaimanapun, katanya, Mohd. Faerid tidak mengalami kecederaan serius.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala Mohd. Faerid turut diberi rawatan pesakit luar di hospital yang sama.

Sementara itu, Mohd. Faerid ketika ditemui di rumahnya di Selandar memberitahu, dia hanya mengetahui ibunya meninggal dunia selepas lima jam kejadian berlaku.
"Selepas kemalangan, saya fikir ibu hanya pengsan, namun ketika saya cuba menggerakkannya, saya lihat darah mengalir dari kepala ibu dan dia tidak bangun," katanya.

Tambahnya, selepas dibawa ke hospital, datuknya kemudian membawanya ke bilik mayat dan memberitahu ibunya telah meninggal dunia.
Bapa mangsa, Abu Samah Musa, 60, memberitahu, apa yang menyedihkan, anak keduanya itu sepatutnya memulakan kelas pertama Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Institut Perguruan Perempuan Melayu (IPPM) Durian Daun, hari ini.

"Tuhan lebih menyayangi dia, sudah lama arwah mengimpikan untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang perguruan, namun hasratnya itu tidak kesampaian," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pengkalan Jajar di sini, hari ini.




.

1 Penyokong CHELSEA:

Niena Muhammad on June 20, 2011 at 10:13 AM said...

pening bila terbaca ni...xdpt bygkn cmne perasaan anak & ibunya.. erm, sbb tu kena berhati2 smasa memandu tmbah lgi bla jln licin & berselekoh

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!