Friday, July 1, 2011

Dakwa ditipu pusat kecantikan

BIDANG penjagaan kecantikan dan kesihatan semakin mendapat tempat dan permintaan di negara ini. Keadaan itu dapat dilihat apabila pusat-pusat penjagaan kecantikan seperti salon dan spa tumbuh bak cendawan di merata-rata tempat sejak kebelakangan ini.

Seiring dengan perkembangan tersebut, pelbagai pihak terutamanya kaum wanita semakin teruja untuk menceburkan diri dalam bidang berkenaan bagi meraih pendapatan lumayan.
Norhasliza Muhamad Hussin, 30, Maisarah Mohd. Yunus, 28, Noor Zelaila Ismail Alias Isa, 33, Nor Shahira Sharifudin, 20, dan Nur Dalila Saidon, 24, juga tidak terkecuali.

Lima wanita tersebut memilih untuk mengikuti kursus selama tiga bulan dengan sebuah pusat kecantikan bagi mendapatkan sijil dalam bidang penjagaan kecantikan supaya mereka boleh bekerja dalam bidang tersebut.
Namun, selepas beberapa minggu belajar di situ, mereka merasakan menjadi mangsa penipuan pusat kecantikan itu yang dilihat tidak mengikuti prosedur ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) iaitu agensi yang mengeluarkan sijil kursus berkenaan.

Lalu, keempat-empat wanita itu membuat tuntutan terhadap Pusat Kecantikan Antap Gemilang di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Ipoh, Perak baru-baru ini bagi menuntut semula yuran yang telah dibayar.

Nur Dalila yang bertindak sebagai jurucakap kepada kumpulan itu berkata, mereka masing-masing telah membayar antara RM500 dan RM1,400 daripada jumlah keseluruhan yuran berjumlah RM2,600 kepada pusat kecantikan di Jelapang, Ipoh itu.
"Kami mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena selepas pusat tersebut meminta kami pergi mendapatkan surat akuan pengalaman bekerja selama lima tahun dari mana-mana salon sebagai syarat mendapatkan sijil," katanya.

Menurut Nur Dalila, mereka kemudiannya membuat semakan dengan JPK dan alangkah terkejutnya mereka selepas mendapati agensi itu hanya mengenakan bayaran sebanyak RM300 untuk mengikuti kursus tersebut dan ia layak bagi mereka yang mempunyai pengalaman kerja selama lima tahun.
"Namun, kami tiada pengalaman langsung dalam bidang ini. Kami merasa telah diperdaya oleh pusat kecantikan tersebut dan sebab itu kami membawa kes itu ke TTPM," katanya.
Presiden TTPM, Maznah Haron bagaimanapun menangguhkan prosiding kes tersebut ke tarikh lain kerana pihak penentang tidak hadir.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!