Seorang pekerja lelaki warga Bangladesh ditemui mati manakala rakannya cedera selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida daripada sebuah generator di dalam sebuah kontena berhampiran tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir Kecil, Jalan Kuala Ketil, di sini hari ini.
Mangsa, Giash Uddin, 24, ditemui mati dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik di kontena terbabit yang dijadikan tempat penginapan mereka di tapak pembinaan berkenaan.
Rakannya, Sohag Miah, 27, pula ditemui dalam keadaan cedera dengan mulutnya berbuih di bilik yang sama.
Penyelia pekerja projek, Abdul Manaf Darus, 50, berkata, dia menemui dua pekerja asing tersebut kira-kira pukul 8 pagi ketika baru memulakan kerja.
"Semasa tiba di sini, saya dapati keadaan sekeliling penuh dengan asap. Apabila buka bilik kontena, saya ternampak Giash terbaring sementara Sohag bernafas tercungap- cungap.
"Berdasarkan makluman awal, pada malam tadi kedua-dua mereka menghidupkan generator selepas bekalan elektrik terputus," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Abdul Manaf memberitahu, mereka dikatakan masuk ke dalam bilik kontena terbabit dan tidur dalam keadaan pintu serta tingkap tertutup.
"Mereka mungkin tidak menyedari generator sudah terbakar dan mengeluarkan asap semasa tidur," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
"Siasatan awal mendapati, tiada unsur jenayah atau khianat dalam kes ini," ujarnya sambil memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat sementara Sohag dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
.
1 Penyokong CHELSEA:
sama kes, dulu ada rakan rumah terbakar ketika tidur tak matikan TV.. Tv kononnya terlalu panas lalu terbakar.. huhu.
bahaya untuk kita menghidupkan segala benda yang berelektrik terutama time kita nak masuk tido. kelak macam2 akan terjadi.. hati2
Post a Comment