Mual serta meloyakan apabila makanan dihidang dengan hiasan yang cantik, tidak mampu memikat hati pelanggan akibat bau busuk berpunca daripada tangki kumbahan yang melimpah berdekatan restoran berkenaan.
Demikian nasib malang yang menimpa pemilik restoran makanan sekitar Jalan Permas 10/5, di sini yang mendakwa kehilangan hampir 30 peratus pengunjung tetapnya akibat bau busuk kumbahan najis yang melimpah sepanjang masa.
Situasi sama terpaksa dihadapi peniaga lain dan penghuni deretan bangunan yang menempatkan 40 lot kedai di laluan itu akibat limpahan air najis yang sehingga kini tiada sebarang langkah diambil oleh pihak yang bertanggungjawab untuk mengatasinya.
Pemilik restoran makanan Jepun, Yu Kong Me, mendakwa limpahan kumbahan terbabit sering berulang menyebabkan bau busuk yang terhasil amat mengganggu pelanggannya.
“Bau air kumbahan yang melimpah ini amat busuk, ia mengganggu selera pengunjung restoran, tambahan pula menu Jepun kebanyakannya berasaskan makanan mentah. Bau najis itu pernah menyebabkan ada pengunjung restoran saya muntah ketika menikmati makanan.
“Pelanggan tetap semakin merosot hari demi hari, angkara bau busuk ini. Bau busuk kumbahan yang melimpah semakin teruk pada hari hujan hingga menyebabkan restoran saya lengang tanpa pengunjung," katanya.
Kong Me mendakwa, setiap kali berdepan limpahan kumbahan terbabit, dia menghubungi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tetapi pihak berkuasa tempatan itu mendakwa kejadian itu adalah tanggungjawab pemaju.
"Apabila menghubungi pemaju, mereka dakwa MBJB yang bertanggungjawab, apabila dimaklumkan kenyataan itu, MBJB dakwa ia bidang kuasa Jabatan Kerjaraya (JKR).
"Saya tak kisah siapa yang bertanggungjawab, yang penting mereka perlu ambil langkah selesaikan segera masalah limpahan air kumbahan yang menjejaskan perniagaan dan kehidupan harian kami di sini," katanya.
Pemilik Restoran Ker Lai yang terletak bersebelahan, Linda Tan Leng Leng, mendakwa restorannya yang menggunakan konsep terbuka menerima tamparan lebih buruk daripada bau busuk najis dan kumbahan terbabit.
“Bayangkan saja jika air kumbahan ini adalah daripada najis semua penghuni rumah kedai di sini. Setiap kali tangki kumbahan ini melimpah, masa sama bilik air dan tandas restoran serta kediaman di sini juga tidak boleh digunakan. Salurannya tersumbat, setiap kali di pam, airnya akan melimpah semula”
“Bila cuaca panas, bau najis memenuhi ruang udara restoran. Air kumbahan yang melimpah itu pula dekat dengan bahagian dapur. Bila makanan dimasak, aromanya bercampur baur dengan bau najis dan ini menjijikkan pelanggan," katanya.
Lebih memburukkan keadaan, Leng Leng berkata, lorong yang menempatkan lot tempat letak kereta di belakang restoran mereka juga bergelap pada waktu malam kerana tiada lampu jalan, meskipun dua tiang sudah dipasangkan di situ.
“Belakang restoran sangat gelap, sudah ramai pelanggan saya mengalami nasib malang apabila menjadi mangsa ragut, cermin kereta dipecah serta barang dicuri, malah ada yang disamun.
“Saya serta penghuni lain terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk memasang lampu di bahagian belakang, namun tidak mencukupi untuk menerangkan kawasan yang luas," katanya yang kesal kerana masalah berkenaan gagal ditangani oleh pihak berkuasa dengan baik demi keselesaan masyarakat di situ.
.
1 Penyokong CHELSEA:
kalau kita sendiri pun mesti terasa loya kalau bau najis cam gitu
Post a Comment