Walaupun bertenaga dan boleh memandu ke sana ke sini, namun hatinya tidaklah seteguh fizikalnya apabila bercerita tentang suami tercinta, Allahyarham Datuk S.Roomai Noor.
Menurut wanita yang terkenal sebagai Putih dalam filem Bawang Putih Bawang Merah (1959), sehingga hari ini cintanya tetap utuh terhadap suami yang pergi menemui Illahi pada 1996, di tanah suci Mekah.
Mencerita keutuhan cinta antaranya dengan suami, Umi Kalthum berkata, arwah meninggal dunia ketika mereka mengerjakan ibadat umrah dan waktu itu hanya dia yang berada di sisi suami.
“Sebelum meninggal dunia, datuk dimasukkan ke hospital Mekah selama sembilan hari. Sepanjang dirawat, saya turut menjaganya tetapi di sana bukan seperti Malaysia. Walaupun isteri, kita tidak sewenang-wenangnya boleh melawat kerana pada waktu-waktu tertentu sahaja saya dibenarkan masuk .
“Macam itu jugalah sewaktu jenazah dibawa ke rumah mayat. Sukar untuk saya mengiringi jenazah arwah. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan Allah, akhirnya dapat juga saya menatap wajahnya buat kali terakhir sebelum dikebumikan,” ceritanya sambil menyeka air mata yang mula berlinangan.
Katanya, sejak itulah tanah suci Mekah ibarat rumah kedua kerana setiap tahun dia akan ke sana untuk menziarahi kubur suami tercinta dan mengerjakan ibadat.
Menurut Umi Kalthum, pada tahun pertama selepas kematian suami, ketika mengerjakan ibadat umrah, seperti biasa dia akan menunggu suaminya di satu tempat yang sering mereka bertemu.
“Hampir dua jam, saya menunggu datuk di tempat yang selalu kami jumpa selepas sembahyang. Saya lupa yang tahun itu saya buat umrah sendirian.
“Malah sampai sekarang pun setiap kali pergi ke sana, saya seperti terasa arwah ada bersama,” katanya yang kali terakhir pergi ke Mekah, April lalu.
Kata Umi Kalthum, sebelum ini dia ke sana, dua kali setahun tapi sejak usia berganjak tua, hanya sekali setahun dan Mac 2013 adalah jadual perjalanannya kelak.
Umi Kalthum yang nama sebenarnya Patimah Bahaudin berkata, sejak pemergian arwah, jiwanya seakan hilang separuh kerana sebelum itu ke mana sahaja pergi mesti berdua.
Disebabkan pemergian arwah, dia tidak bersemangat untuk berlakon lagi walaupun mendapat tawaran.
“Macam mana saya nak berlakon. Dulu kalau pergi ke lokasi mesti berdua, jadi bila kena pergi seorang diri, terasa pincang pula. Baiklah saya duduk rumah, buat kerja apa yang patut daripada bersedih di lokasi,” katanya terus terang.
Menurut Umi Kalthum, semasa hayat, arwah pernah berkata, kalau boleh dia tidak mahu hasil kerjanya ditayangkan lagi dan biarlah ia berkubur bersama.
Justeru itulah, kalau hasil kerja arwah disiarkan di kaca TV, hatinya mudah tersentuh tatkala teringat impian arwah.
Seniwati yang masih lagi berhubungan dengan rakan seperjuangan, Datuk Maria Menado dan Salmah Ahmad berkata, rutin kehidupannya sekarang lebih banyak di rumah.
Selain di rumah, Umi Kalthum yang mengamalkan bijirin oats sebagai sarapan pagi sering mengikuti kumpulan mengaji di kawasan perumahannya.
“Semuanya berubah sejak pemergian arwah. Kalau berdua macam dulu, mungkin saya masih lagi sertai acara seni. Sekarang ini, sesekali sahaja saya sertai itupun kalau ada rakan yang ajak,” katanya yang lebih senang menghabiskan masa di rumah.
Dia yang banyak membawa watak jahat dalam lakonan dan popular dengan lagu Anak Daro daripada filem Tunang Pak Dukun itu berkata, sejujurnya dia senang membawa watak antagonis.
Katanya, melakonkan watak jahat tidak memerlukan dia berpelukan dengan pelakon lelaki kerana dia seorang yang pemalu.
“Setiap kali berlakon, saya mahu watak jahat sebab tidak ada adegan peluk-peluk. Macam mana nak lakonkan adegan itu kalau suami yang mengarah. Tanpa suami memerhati pun saya tidak sanggup,” imbasnya.
.
1 Penyokong CHELSEA:
cinta hingga hujung nyawa,,
Post a Comment