Monday, August 22, 2011

Pemandu lori berhenti kerja demi anak


Seorang pemandu lori terpaksa berhenti kerja sejak enam bulan lalu bagi memberi tumpuan kepada anaknya yang dilahirkan cacat sejak kecil.

Yahya Mamat berkata, anaknya, Badrul Hisham, 27, yang merupakan zuriat hasil perkahwinan pertamanya itu cacat fizikal dan hanya terbaring di rumahnya di Kampung Pantai Bahagia, Beserah, di sini.
Menurutnya, Badrul Hisham dijaga oleh isteri keduanya, Norehan Ibrahim, 55, sejak kecil tetapi kini tahap kesihatan isterinya itu juga semakin merosot akibat komplikasi penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

"Dia tidak dapat lagi menjaga Badrul dengan baik kerana matanya sendiri rabun teruk sehinggakan dia kerap terjatuh di rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Menurut Yahya, 56, perkahwinannya dengan Norehan kira-kira 20 tahun lalu tidak dikurniakan anak.
Tambahnya, dengan pendapatan yang tidak menentu dan tidak mampu menanggung kos yang tinggi, dia terpaksa membenarkan Norehan dibawa pulang ke rumah seorang saudara isterinya itu untuk menjalani rawatan.

"Oleh kerana saya bimbang keselamatan Badrul yang terpaksa ditinggalkan sendirian, saya tiada pilihan melainkan terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya.

"Saya buntu memikirkan nasib kami anak beranak memandangkan saya tidak lagi bekerja dan hilang sumber pendapatan dan hanya mengharapkan belas ihsan jiran terdekat," katanya.
Menurut Yahya, anaknya menerima bantuan bulanan sebanyak RM70 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi ia masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan membeli lampin pakai buang serta keperluan lain yang mencecah hampir RM200.

"Saya kasihan melihat keadaannya apabila hanya mampu memberinya makan roti dan biskut serta air susu sedangkan dia memerlukan makanan yang berkhasiat," katanya.
Lebih membimbangkan katanya, sejak berhenti kerja, bayaran rumah sewanya sebanyak RM200 sebulan beserta bil air dan elektrik tertunggak hampir enam bulan.
"Saya sentiasa memikirkan nasibnya pada masa depan jika saya tiada lagi nanti memandangkan tiada ahli keluarga dan saudara-mara yang mempedulikan nasib kami berdua," katanya.



.

3 Penyokong CHELSEA:

Zasillah Ariffin on August 22, 2011 at 8:13 PM said...

rakyat yang susah macam nilah yang layak dapat duit zakat dari kerajaan....bagi banyak2 pon takper...kami rela. Kasihan kat anaknya...patutlah ayah dia tak sanggup tinggalkan anak dia sensorang kat rumah...ibu tiri pun sayang kat dia...takder no akaun bank dia ker?

SweetSmileGallery on August 22, 2011 at 9:41 PM said...

luluh hati baca entry di atas :(

Ce'gu JAERA on August 22, 2011 at 9:41 PM said...

terasa nak bergenang air mata baca kisah ni. di saat kita gembira, ada insan lain yang berduka... sedih sedih...

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!