Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 21 kes pecah rumah dan samun sekitar Tanjung Bunga dan Tanjong Tokong, di sini terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di sini, awal pagi semalam.
Suspek berusia 36 tahun itu mati di tempat kejadian selepas terkena tiga tembakan di badan dalam kejadian jam 2.30 pagi.
Polis turut merampas sepucuk revolver dan beg galas yang mengandungi jam tangan, bungkusan lut sinar dipercayai syabu dan ketulan emas yang dileburkan, motosikal curi yang ditunggangi lelaki itu serta peralatan memecah rumah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata sebelum kejadian, pasukan khas polis yang meronda di sekitar Tanjung Bunga terserempak dengan seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Polis mengejar lelaki terbabit yang melarikan diri apabila diarah berhenti sehingga sampai ke kawasan semak, sebelum dia melepaskan beberapa das tembakan.
“Polis melepaskan tembakan balas untuk mempertahankan diri dan tiga tembakan mengenai lelaki itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Siasatan mendapati lelaki itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan polis menyiasat sama ada dia bertindak sendirian atau berkumpulan.
Siasatan juga mendapati cap jari suspek menyamai cap jari yang ditemui di sebuah rumah dipecah masuk di Tanjong Tokong baru-baru ini. Mayatnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Ayub berkata, pasukan khas yang terserempak dengan penjenayah terbabit ditubuhkan berikutan kekerapan pecah rumah dan samun menjelang musim perayaan.
Katanya, penjenayah tidak memilih mangsa, malah rumah seorang pegawai kanan polis di Tanjong Tokong turut dipecah masuk minggu lalu, menyebabkan kerugian RM30,000.
Ahli keluarga termasuk isteri pegawai kanan polis itu diikat tetapi mereka tidak dicederakan. Suspek dipercayai warga asing dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti suspek.
Mengenai Ibu Pejabat DAP di sini yang disimbah cat merah dan jingga kelmarin, Ayub berkata, pihaknya sedang menyiasat kes itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.
Kejadian dipercayai dilakukan enam lelaki yang menaiki tiga motosikal yang membaling cat ke premis berkenaan kira-kira jam 1 pagi.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment