Isteri Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor, jurukamera BernamaTV yang terkorban akibat tembakan peluru sesat semasa membuat liputan di Mogadishu, Somalia, malam tadi, reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggapnya sebagai qada dan qadar Allah SWT.
Norazrina Jaafar, 37, berkata, malah dia tidak pernah menyesal Allahyarham suaminya itu memilih bidang kewartawanan sebagai kariernya kerana semua berlaku sudah ditentukan-Nya.
"Saya reda dengan pemergian suami kerana ia sudah ditentukan dan akan menerima segala ketentuan-Nya dengan hati yang tabah," kata ibu kepada dua cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham, Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3, ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Sentosa di sini, hari ini.
Menurut Norazrina, persiapan menyambut kedatangan Syawal dibeli suaminya pada awal Ramadan lalu kini tinggal kenangan dan menjadi 'hadiah' terakhir buat dia dan anak-anaknya.
"Kali terakhir kami berjumpa adalah pada bulan puasa lalu dan dengan pemergiannya itu saya akan memikul segala tanggungjawab menjaga anak-anak kami.
"Semasa hayatnya Allahyarham tidak pernah menolak jika diarahkan (membuat liputan) ke mana-mana," katanya lagi.
Kejadian berlaku semasa Noramfaizul dan rakan-rakan media elektronik lain membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial untuk menghantar bahan berita.
Tembakan dipercayai ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media dalam liputan berita, namun tersasar dan mengenainya yang duduk berdekatan tingkap, menyebabkan kecederaan pada bahu dan paru-paru sebelum meninggal dunia pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (pukul 12.40 tengah hari waktu Malaysia).
Sementara itu, abang iparnya, Faizul Azmi Jaafar, 41, berkata, Allahyarham merupakan seorang yang baik hati, bertanggungjawab, disenangi ramai serta tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum berlepas ke Somalia.
Tambahnya, ia merupakan kali kedua Noramfaizul tidak beraya bersama keluarganya kerana terpaksa bertugas membuat liputan di Palestin pada tahun lalu dan pemergiannya itu sangat dirasai oleh seluruh anggota keluarga.
.
1 Penyokong CHELSEA:
Takziah buat keluarga beliau...pemergiannya juga dirasai satu negara kerana pengorbanannya sgt besar utk negara..! harap tabah menerima kehilangannya..
Post a Comment