SETELAH menjalani episod duka ditinggalkan isteri dan anak-anak empat tahun lalu, Lan A to Z kini mampu tersenyum apabila hatinya disapa dengan cinta baru.
Memilih tarikh 11.11.11 untuk bernikah dengan Siti Nur Ain Daud, 24, pasangan ini selamat dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Daerah Hulu Selangor, Zulkhairi Jaid di Masjid Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, Selangor, Jumaat lepas.
Pemilik nama sebenar, Norazlan Abdul Aziz, 42, pernah mendirikan rumah tangga dengan Marcella Casissi Shariff pada tahun 1998 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Nur Aqmar, 11, Puteri Nur Syafiqah, 10 dan Puteri Nur Farhana, empat tahun.
Disebabkan pernah mengalami kegagalan dalam perkahwinan, dia mengakui mengambil masa yang agak lama untuk melamar isterinya yang mesra disapa Ain.
"Saya mengenali Ain tiga tahun lalu dan walaupun fobia untuk bercinta tetapi akhirnya pintu hati saya terbuka untuk mendirikan rumah tangga.
"Doa saya, biarlah masjid yang dibina ini berkekalan sehingga ke akhir hayat kami," katanya ketika ditemui selepas akad nikah di Masjid Ar Rahimah Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Menurut Lan, hatinya terbuka untuk memperisterikan Ain selepas kembali dari mengadakan persembahan di Perth, Australia pada Mei lalu.
"Hati saya terdetik, sudah tiba masanya saya melamar Ain. Waktu itu juga, saya menghubunginya dan menyatakan hasrat untuk menyuntingnya.
"Alhamdulillah, Ain sudi menjadi isteri saya dan memandangkan dia lahir pada 11 November, kami sepakat untuk bernikah pada 11.11.11," katanya yang memberi mas kahwin RM300 dan duit hantaran, RM11,111 kepada Ain.
Mengulas tentang majlis resepsi yang diadakan sehari selepas mereka diijab kabulkan, Lan mengakui, ditaja sepenuhnya oleh Kelab Kebajikan Dan Sosial Tun Teja Malaysia (KKDSTTM).
Jelas Lan, itu semua adalah rezeki dan rahmat buat dirinya dan isteri.
"Semuanya berlaku secara kebetulan. Bukan saya sengaja mencari penaja. Mulanya, saya hanya daftar untuk jadi ahli kelab KKDSTTM.
"Apabila pengerusi kelab itu tahu, saya akan melangsungkan perkahwinan, beliau mahu menaja perkahwinan saya.
"Nilai tajaan saya kurang pasti namun hampir 100 peratus persiapan perkahwinan ini disiapkan oleh pihak KKDSTTM," katanya yang bakal terbang ke Pulau Bintan, Indonesia hujung bulan ini untuk bulan madu.
Pada majlis akad nikah, keluarga kedua-dua belah pihak bertukar-tukar hantaran. Lan menerima 11 dulang hantaran termasuk kasut, minyak wangi, kemeja dan set tali pinggang.
Sementara Ain pula menerima sembilan dulang hantaran termasuk cincin, telekung, sepasang kain, senaskhah al-Quran dan sejadah serta coklat.
.
1 Penyokong CHELSEA:
seghonoknye kawen free.haha
Post a Comment