Wednesday, November 16, 2011

Doktor HRPB didakwa punca anak cacat


Sepasang suami isteri mendakwa anak perempuan mereka, Nur Sofiera Natasha, 2, mengalami kecacatan dipercayai berpunca kecuaian doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini yang tersilap memberi suntikan kepada anak mereka ketika dirawat kerana demam panas, dua tahun lalu.

Lebih azab, Muhamad Shahrim Ishak, 33, dan Husdalia Hussin, 31, terpaksa bergilir-gilir mengendong atau meriba anak mereka itu kerana kanak-kanak itu akan menangis jika diletakkan di atas lantai atau dipangku orang lain.
Apa yang menyedihkan mereka, pihak hospital menolak kes itu berpunca kecuaian doktor dan sekadar memohon maaf kepada mereka, manakala kes yang mereka cuba ketengahkan melalui saluran perundangan pula tidak sampai ke mana.

Tidak tahan lagi dengan situasi itu, pasangan itu semalam mengadu masalah mereka kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ketika sesi Hari Bertemu Pelanggan di sini. Zambry kemudian mengarahkan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir menyedia dan mengemukakan laporan lengkap masalah itu kepadanya untuk tindakan lanjut.

Husdalia yang bertugas di Jabatan Pelajaran Perak mendakwa, anaknya yang dilahirkan normal, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HRPB ketika berusia dua bulan pada April 2009 kerana demam panas dan muntah.

Katanya, doktor ketika itu tidak memberitahu rawatan apa yang diberikan kepada anaknya sehingga keesokannya dia menyedari bahagian bawah jari sehingga ke pergelangan tangan Nur Sofiera Natasha bengkak dan kehitam-hitaman selepas diberikan satu suntikan.
“Apabila saya bertanya, seorang doktor memaklumkan kesan kehitam-hitaman itu akibat tumpahan ubat di atas kulit, tetapi doktor lain pula memberitahu jarum suntikan yang dicucuk di tangan anak saya itu tidak masuk ke urat menyebabkan ubat keluar semula hingga jadi begitu.

“Selain itu, ada laporan dikeluarkan pihak hospital menyatakan tangan anak saya boleh dipusingkan tetapi sebenarnya tidak. Laporan juga mengesahkan anak kami mengalami ‘Cerebral Palsy’ dan kami yakin masalah itu berpunca kecuaian pihak hospital.

“Kini anak kami terpaksa bergilir-gilir memangku atau meribanya sepanjang masa, kecuali ketika dia tidur lena. Makan pula, Nur Sofiera Natasha hanya minum susu dan nestum menggunakan botol susu,” katanya ketika ditemui selepas bertemu Zambry.

Husdalia berkata, dia dan suaminya yang bekerja sebagai buruh mahu siasatan terperinci dibuat bagi mengetahui apa sebenarnya berlaku ke atas anak mereka selain berhak mendapat pampasan jika benar berlaku kecuaian.

“Kami juga bertemu Menteri Besar kerana suami saya sukar mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi merawat anak kami kerana masalah mengemukakan beberapa dokumen. Sebelum ini juga kami sudah gunakan dua khidmat peguam tetapi kes anak kami itu tidak ke mana,” katanya.




P/S - Jom baca ni..




.

1 Penyokong CHELSEA:

Siti Asiah on November 16, 2011 at 2:09 PM said...

kesiannya dia...harap dapat la pertahankan anaknya tu...:)

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!