Seorang surirumah, Siti Ehsah Kali cukup gembira dan teruja menyambut kepulangan ibunya yang selamat menunaikan haji di Mekah baru-baru ini dan sempat menyuarakan hasrat mahu melakukan ibadat sama selepas ini.
Namun, impian wanita itu tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh sebuah lori ais semasa berjalan menuju ke tandas di sebuah stesen minyak Restoran Jejantas Sungai Buloh di Kilometer 458.4, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke ibu negara dekat sini malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 7 petang, semasa Siti Ehsah, 55, bersama dua anak dan keluarga adik perempuannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Klang selepas menghadiri kenduri kesyukuran ibunya pulang haji di kampung mereka di Taiping, Perak.
Bas ekspres dinaiki mereka berhenti di restoran jejantas tersebut dan mangsa bersama dua anaknya, Normaizatul Akmal Salam, 18, dan Badrul Amin Salam, 15, turun untuk pergi ke tandas.
Menurut Normaizatul Akmal, dia bersama adiknya berjalan dulu ke tandas diikuti ibunya di belakang.
"Semasa berada dalam tandas, saya bersama adik yang memasuki tandas bersebelahan terkejut mendengar bunyi jeritan dan suasana kelam-kabut di luar.
"Kami bergegas keluar melihat apa berlaku dan terkejut mendapati ibu terbaring berlumuran darah di kepala berhampiran pintu masuk ke tandas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.
Siti Ehsah dipercayai dilanggar oleh sebuah lori ais yang berhenti mengisi minyak tetapi pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri sejurus selepas kemalangan.
Normaizatul Akmal berkata, sebaik melihat ibu dilanggar, Badrul Amin segera berlari ke arah bas dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu saudaranya, Siti Aisyah.
Gadis itu memberitahu, sebelum mereka sekeluarga ke Taiping, ibunya memang bersikap agak pelik apabila menyatakan sesuatu yang menyentuh hati mereka empat beradik.
"Ibu bagi tahu kalau dia tak ada nanti, dia minta kami gunakan wang dalam bungkusan kain yang disimpan khas untuk kami," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan memaklumkan pemandu lori ais yang melarikan diri sudah diambil keterangan selepas tampil membuat laporan polis.
.
1 Penyokong CHELSEA:
ya Allah kesiannya. Alfatihah.
Post a Comment