Tiga terbunuh manakala empat lagi parah apabila sebuah bot pukat tunda nelayan meletup dipercayai berpunca daripada tong gas memasak di perairan Utara Kudat, kira-kira 215 kilometer dari sini, malam tadi.
Mayat tiga nelayan itu termasuk dua wanita ditemui terapung berdekatan bot berkenaan, mereka dipercayai rakyat tempatan walaupun identiti masing-masing belum dikenal pasti .
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Dawi Ossen berkata, kejadian berlaku pukul 9.40 malam apabila tong gas memasak yang dipercayai berada berhampiran tangki minyak bot itu meletup.
"Letupan kuat itu menyebabkan dua lagi bot memancing yang berada berhampiran bot pukat tunda itu turut terbakar. Empat pemancing yang berada dalam bot berhampiran termasuk seorang wanita cedera parah akibat melecur.
"Kita masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini, namun siasatan awal percaya kejadian berpunca daripada kebocoran gas memasak dan bukan kecuaian mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dawi berkata, mayat pertama ditemui pukul 6.30 pagi ini manakala dua lagi mayat masing-masing ditemui pukul 11.40 pagi dan 12.15 tengah hari selepas operasi memadam kebakaran bot itu selesai dijalankan.
Menurutnya, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Marin yang sedang meronda di perairan Kudat bergegas ke tempat kejadian selepas terdengar letupan kuat dari bot itu.
Katanya, empat pemancing yang cedera parah berusia antara 21 hingga 50 tahun dihantar ke Hospital Kudat untuk menerima rawatan. Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment