Sebuah stor tayar terpakai Kampung Kota Mengkuang, Jalan Wang Tepus di sini musnah dalam satu kebakaran petang semalam.
Ketua Zon Pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Setar, Muhamad Mustakim Mukhtar berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 petang itu, api bermula daripada kebakaran lalang di kawasan berdekatan dan merebak dengan cepat ke stor tersebut kerana angin kencang.
Katanya, stor keluasan 130 kali 60 meter persegi dan mempunyai timbunan tayar terpakai yang terlalu banyak menyukarkan pihaknya memadamkan kebakaran itu.
"Pihak kami turut berdepan masalah tekanan air rendah dan terpaksa menggunakan sumber air terbuka untuk operasi memadam.
"Setor berkenaan terlalu hampir dengan transformer TNB dan berada di bawah kabel elektrik bervoltan tinggi dan pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) juga turut memotong bekalan elektrik bagi mengelak kejadian lebih buruk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kerja pemadaman melibatkan 27 anggota bomba dan penyelamat dengan kekuatan empat jentera dari Alor Setar, Jitra, Sungai Petani dan Bukit Kayu Hitam
''Pihak kami turut mendapat kerjasama bomba sukarela mengambil masa 30 minit untuk mengawal kebakaran," ujarnya.
Muhamad Mustakim memberitahu, pihaknya masih meneruskan operasi mengawal kebakaran sehingga tengah hari semalam kerana masih terdapat bara api dalam timbunan tayar tersebut.
''Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk Abd. Aziz Abd. Hamid, 27, memberitahu, dia yang sedang memotong rumput di belakang rumah menyangka asap yang dilihatnya cuma kebakaran kecil, namun setelah ditinjau ia melibatkan stor tayar.
Asap tebal dari kebakaran itu dapat dilihat lebih 10 kilometer melibatkan kawasan Kepala Batas dan Hutan Kampung selain pengguna Lebuh Raya Utara Selatan dekat Jitra.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment