Wednesday, December 28, 2011

[Tawau] Semangat Yazit demi Search


RAMAI yang mengetahui pemain dram Search, Yazit Ahmad menghidap penyakit buah pinggang sejak setahun yang lalu. Sejak saat itu, dia terpaksa bergantung hidup kepada mesin dialisis dengan membuat rawatan dua atau tiga kali seminggu.

Meskipun bergelut dengan penyakit itu, semangat Yazit tidak pernah ‘kecil’ untuk menjayakan Konsert Fenomena 30 Tahun Search. Dia tetap komited biarpun terpaksa menahan kesakitan akibat penyakitnya itu.

Menurut Yazit, pada siri konsert yang diadakan di Kompleks Sukan Tawau, Sabah pada Sabtu lalu, dia sekali lagi menanggung keperitan itu. Seusai konsert itu, dia terus diberikan rawatan oleh dua anggota paramedik yang disediakan.

“Malam ini, kaki kanan saya ada masalah sedikit. Kaki saya berasa kejang selepas konsert ini. Saya juga ada masalah dalam melalui proses dialisis pada hari ini dan perlu mengeluarkan air dalam badan yang berlebihan.

“Mungkin saya terlebih minum. Pada konsert malam ini, masalah kaki dapat saya rasakan sewaktu di awal konsert daripada lagu pertama sehingga lagu kelima. Selepas itu, saya dapat kembalikan semula mood dan stamina seperti biasa.

“Masalah itu tidak menentu. On and off. Malam ini saya memang terasa penat sikit sehinggalah pada penghunjung konsert ini kaki kanan saya terus kejang,” katanya pada sidang akhbar selepas konsert tersebut.

Tawau merupakan destinasi konsert bergerak Search sempena ulang tahun ke-30 penubuhkan mereka di mana konsert seterusnya akan diadakan di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 31 Disember ini, pukul 8 malam.

Rata-rata anggota Search berpuas hati dengan konsert yang diadakan di Kompleks Sukan Tawau itu yang saksikan oleh lebih 5,000 peminat kerana ia salah satu tempat yang mempunyai ramai peminat rock sejak dulu lagi.

Menurut vokalis Search, Amy, dia bukan sahaja menggelar Tawau sebagai bandar rock ‘n roll kerana mampu menarik ramai peminat tetapi ia juga bandar yang melahirkan ramai artis dalam persada hiburan tanah air.

“Kami pernah mengadakan persembahan di beberapa bandar di Sabah dan Tawau adalah yang terbaik daripada segi lokasi. Ia tempat yang sesuai untuk mengadakan konsert rock. Contohnya, kalau di Sandakan tidak ada stadium.

“Begitu juga dengan Kota Kinabalu yang tidak ada tempat sesuai. Apatah lagi, di Tawau ini memang terkenal kerana melahirkan ramai artis muda yang berasal dari sini,” ujarnya pada konsert itu.

Pada konsert selama hampir dua jam yang bermula pukul 8.30 malam itu, Search membawakan 23 buah lagu termasuklah lagu-lagu lama mereka seperti Rozana, Kejora, Gadisku, Langit Dan Bumi dan Isabella.

Seleksi lagu-lagu itu tidak banyak beza dengan lagu-lagu yang mereka persembahkan pada konsert di Pusat Konvensyen Mines, Seri Kembangan, Selangor pada 17 Disember lalu yang disaksikan 15,000 penonton.

Sementara itu, kata pemain bass Search, Nasir Daud, selain meraikan ulang Search sehingga Ogos tahun depan, Search dijangka akan tampil dengan pelbagai aktiviti termasuklah menerbitkan album terbaru mereka.

“Siri konsert bergerak ini salah satu agenda dalam ulang tahun itu. Mungkin kami akan keluarkan produk seperti filem tentang Search dan album baru pada tahun depan. Datuk M. Nasir pun sudah tengok kemunculan semula kami.

“Mungkin dia (M. Nasir) akan terbitkan album kami nanti. Kami gunakan perkataan fenomena pada siri konsert ini pun ia boleh menggambarkan tentang kewujudan Search dalam persada muzik tempatan selama ini,” jelasnya.

Ternyata Search masih mempunyai tarikan tersendiri terutama kekuatan lagu-lagu mereka yang belum jemu didengar di mana setiap lagu dinyanyikan oleh para penonton sepanjang konsert dengan tiket berharga RM25 pada malam itu.

Paling ketara menerusi lagu Isi Dan Kulit dan Pawana yang menyebabkan suasana menjadi bingit dengan jerit pekik para peminat yang menyanyikan lagu itu sehingga ia sering menenggelamkan vokal Amy.

Konsert anjuran Universal Credential Sdn. Bhd. dengan kerjasama Nova Music (M) Sdn. Bhd. itu berjalan dengan lancar biarpun dua jam sebelum itu hujan renyai-renyai turun membasahi padang terbuka di stadium tersebut.









.

1 Penyokong CHELSEA:

Honey Kumicky on December 28, 2011 at 7:10 PM said...

wa...mang minat Search....

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!