Sunday, August 14, 2011

Isteri marah anak lebih suka masakan bapa untuk bersahur bulan puasa


Seorang wanita Mesir mengemukakan permohonan cerai atas alasan bahawa kemahiran memasak suaminya lebih hebat berbanding dirinya sendiri, lapor akhbar Al-Masry Al-Youm.

Media tempatan melaporkan, tragedi perceraian pasangan berkenaan, Mohammed Said dan
isterinya, Nahal, berlaku pada awal Ramadan.
Mohammed Said adalah seorang tukang masak di sebuah hotel lima bintang di Kaherah, ibu kota Mesir. Beliau dikatakan mengejutkan keluarganya dengan kemahiran memasak apabila mengambil alih tugas dapur daripada isterinya ketika permulaan Ramadan kali ini.

Atas sebab itu, Nahal memutuskan untuk bercerai dengan suaminya, lebih-lebih lagi selepas dua anak lelakinya mahukan bapa untuk mengambil alih tugas memasak sahur bagi hidangan keluarga.

Menurut akhbar Al-Masry Al-Youm, Nahal berasa malu apabila anaknya menganggap dia sebagai seorang tukang masak yang teruk.

Tidak lama selepas itu, Nahal mengambil keputusan ke mahkamah bagi memohon cerai Khula kerana berasakan dia bukan isteri baik.
Khula adalah satu fasal berdasarkan undang-undang Islam merujuk kepada hak bagi seseorang wanita untuk mendapatkan perceraian dan menerima nafkah.

Apabila suaminya dimaklumkan mengenai saman berkenaan, dia menegaskan dirinya tetap mencintai Nahal dan anak serta sekadar mahu membantu isteri apabila pulang ke rumah dari tempat kerja meskipun dalam keadaan letih.

Bagaimanapun, Nahal yang dikahwininya selama 10 tahun berkata di hadapan pegawai Biro Penyelesaian Pertikaian Keluarga bahawa beliau mahu mengambil alih tugas memasak bagi membolehkan suaminya menumpukan perhatian kepada ibadat sepanjang Ramadan ini.



.

Hasrat kahwin warga China terhalang kerana birokrasi


Hasrat seorang lelaki tempatan, Abdul Rahman Abu Talib, 24, untuk bernikah dengan seorang wanita warganegara China terhalang kerana masalah birokrasi Kedutaan Besar China di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Menurutnya, kakitangan kedutaan tersebut seperti enggan melayan permohonan bakal isterinya, Zheng Xian atau nama Islamnya, Roslinda Cheng, 25, yang mahu mendapatkan pengesahan permohonan pernah bernikah dan bercerai di China.

Malah katanya, Mahkamah Rendah Syariah Jasin telah mengeluarkan surat memohon kebenaran bernikah bagi Roslinda yang berasal dari Wilayah Fujian untuk urusan wali hakim kepada kedutaan itu pada 10 Ogos lalu dan ia juga tidak dipedulikan oleh pihak terbabit.

''Saya dan bakal isteri telah pergi ke pejabat kedutaan itu pada 4 dan 11 Ogos lalu bagi mendapatkan pengesahan tetapi malangnya tidak dipedulikan walaupun semua dokumen yang diperlukan turut disertakan," katanya di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.

Menurut Abdul Rahman yang berasal dari Kampung Parit Penghulu di sini, dokumen yang disertakan ialah surat dari pejabat Imigresen Malaysia yang mengesahkan kemasukan Roslinda ke Malaysia melalui pas lawatan sosial, surat memeluk agama Islam dan surat pengesahan cerai dari pejabat agama Islam Xiamen.
''Saya benar-benar kecewa dengan sikap pihak kedutaan yang tidak memberikan kerjasama. Sepatutnya tidak timbul sebarang masalah untuk kami bernikah," ujarnya.

Sementara itu Hasan berkata, beliau akan bertemu dengan Duta China ke Malaysia, Chai Xi minggu depan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Roslinda dan Abdul Rahman.
''Jika Kedutaan China gagal memberikan kerjasama, mungkin saya terpaksa meminta bantuan Kementerian Luar untuk campur tangan bagi membantu pasangan ini," ujarnya.



.

Asrama sekolah sukan terbakar


Bangunan asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Tunku Anum Tunku Abdul Rahman di sini musnah teruk dalam satu kebakaran kira-kira pukul 3.30 petang tadi, manakala 71 pelajar yang berada di blok berkenaan ketika kejadian berjaya diselamatkan.

Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat berkata, empat daripada enam bilik di tingkat atas bangunan asrama itu musnah sepenuhnya, manakala tingkat bawah yang menempatkan bilik ulang kaji serta ruang rehat tidak boleh digunakan lagi akibat kebakaran itu.

"Asrama ini didiami lebih 100 pelajar, tapi sewaktu kejadian ada 71 pelajar yang sedang bersiap sedia untuk prep (masa ulangkaji) sebab mereka baru tamat waktu pengajian.

"Jabatan Pelajaran akan ambil langkah susulan bagi memastikan semua pelajar dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa dan untuk sementara waktu, mereka akan ditempatkan di bangunan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk mendapatkan bantuan segera bagi membolehkan keperluan seperti buku dan pakaian yang musnah dalam kebakaran diganti untuk semua pelajar dari tingkatan 1 hingga 5.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.31 petang dan tiba di tempat kejadian pada 3.40 bersama dua jentera.
"Kami juga mendapat bantuan dua jentera dan satu tanker dari balai bomba Alor Setar serta turut dibantu lapan bomba sukarela dengan jumlah kekuatan anggota seramai 87 orang,” katanya.



.

Lagi artis hamil


SELEPAS berita gembira aktres Aishwarya Rai hamil, kini pelakon filem Housefull, Lara Dutta turut menyusul dengan berita gembira yang sama.
Lara yang berkahwin dengan pemain tenis India, Mahesh Bhupathi pada Februari lalu membuat pengumuman berhubung kehamilannya dalam satu temu bual baru-baru ini.

“Ya, saya sedang mengandung dan saya berasa sangat bahagia,” kata Lara kepada wartawan.

Sebelum ini pasangan itu pernah kecoh apabila enggan mengaitkan soal peribadi dalam urusan kerjaya mereka.
Pasangan itu memilih untuk berdiam apabila ditebak dengan persoalan peribadi.
Namun, para peminat Lara gembira kerana dia bersedia untuk berkongsi kisah kehamilannya itu.




.

Pengantin baru bersanding rasa dan jiwa..

JODOH itu termaktub sebagai ketentuan Allah. Hadirnya di luar jangkauan dan buat yang menampung rasa kasih dan sayang, magis itu lahir indah tanpa perlu ucapan.
Begitulah yang terzahir pada pasangan baharu ini. Usik-mengusik, gurauan kecil jadi perencah utama sesi temu ramah ini.

Episod cinta Yassin Senario, si pembikin lelucon dan pencetus ketawa marhaen sedang berkembang cantik. Cintanya dicurahkan habis-habisan setelah bergelar suami kepada Farah Wahida Maharidan, 32, sejak tiga bulan lalu.
Yassin banyak senyum-senyum malu, memandang terus ke muka isteri yang dinikahi 15 Mei lalu di Putrajaya. Seperti mahu disimpannya Farah dalam jasadnya kalau dilihat kepada pandangan itu. Ya, bak kata usikan orang tua-tua, ‘Pengantin baru pantang tercuit’.


Bukan rahsia
Bersua pasangan pengantin baru ini pada majlis berbuka puasa program Melodi, Farah dan Yassin bersetuju untuk dipotretkan kali pertama sebagai pasangan.
Ujar Farah, kali pertama mereka muncul di majlis rasmi adalah pada 10 Ogos lalu untuk program Melodi Raya. Rasa kekok tapi dia perlu belajar beradaptasi dengan suasana sebegitu lantaran sekarang sudah bergelar pengurus kepada suami sendiri.

“Bukan niat untuk merahsiakan pernikahan saya. Buat saya, biarlah famili dan saudara terdekat yang tahu. Apa yang penting kami sudah bergelar suami isteri,” kata Yasin sambil melirik kepada si isteri.
Yassin juga membuka cerita cintanya. Katanya, pertemuan di laman maya popular, Facebook, menjadi mukadimah cintanya dan Farah. Ia episod cinta serius mereka.
“Kali pertama berjumpa kami keluar makan ramai-ramai. Kemudian saya hantar mesej di Facebook, mengingatkan dia yang kami pernah bertemu. Lantas selepas itu kami jadi kawan di Facebook dan kerap juga berbual.


“Selepas lama berbual di alam maya, dia minta nombor telefon saya dan ajak keluar. Waktu itu kami sudah lima bulan ‘bertemu’ di Facebook. Selepas itu kami rasmi sebagai pasangan,” ujar Farah yang senang bercerita tentang kisah cinta mayanya yang kemudian bertukar realiti.
Sambung Farah, Yassin kemudian membawanya pulang ke kampung halaman untuk bertemu famili. Nasihat keluarga usah lama-lama ke sana sini tanpa status.
Pesan dan nasihat keramat itu diambil serius. Lalu pada bulan ketujuh perkenalan, mereka mengikat kasih yang utuh dan abadi.

Ciri-ciri dicari
Sekarang mereka menjadi suami isteri yang sah dan sedang belajar berkasihan selepas kahwin, sesuatu yang dilakukan oleh pasangan zaman dahulu. Ia manis dan punya tarikan tersendiri.
“Sasaran saya sebenarnya mahu nikah pada usia 25 tahun, ikut Rasulullah SAW. Tapi terbabas.
“Namun, saya bersyukur bertemu jodoh dengan Farah,” terang Yassin dan kemudian mengusik Farah, kenapa lewat dia hadir dalam hidupnya.

“Isteri saya, Farah seorang yang tegas. Itu ciri utama yang saya cari dalam seorang wanita. Agar nanti dia boleh membimbing saya, boleh tegur apa yang patut. Paling penting dia tidak hipokrit.
“Saya hargai kejujurannya dan dia boleh terima saya seadanya,” ujarnya yang tahu bahawa Farah pasti tidak terlepas pandang akan cerita-cerita silamnya baik jernih mahupun keruh.
“Jujurnya saya peminat Senario. Dalam grup tersebut, saya suka Apek dan abang (Yassin).
“Saya pernah pergi sekeluarga melihat persembahan mereka waktu saya di Johor,” ujarnya yang tidak menyangka status peminat bertukar isteri dalam selang waktu yang tidak terfikirkan.
Mengulas si suami yang baru dikenali luar dan dalam masuk hari ke-90, Farah sangat menyenangi sifat penyabar yang dipamerkan Yassin.

Katanya, sangat susah melihat Yassin melempar amarah. Bagi dirinya, Yassin terbalut sifat sabar yang tinggi.
“Marah-marah itu kan perangai jin,” sampuk Yassin senyum.
Ditebak kalau-kalau dalam perangai melucu Yassin yang jelas di pentas dan kaca televisyen terbalut sisi romantik, Farah mengangguk.
“Kadangkala dia romantik, malah kadangkala terlebih. Tapi sebenarnya abang tak banyak cakap,” ujar Farah yang diusik-usik Yassin dengan gerak tubuh manja sepanjang fotografi.
Pengakuan Yassin, dia terkena kejutan budaya. Selesa hidup bersendirian sebelum ini, kini makan pakai dan tidurnya dijaga sang isteri, pengarang hati penenang jiwa.
“Farah banyak mengubah saya. Dulu hidup saya banyak berteman, mahu berkawan-kawan. Tapi kini saya selalu bersamanya,” jelas Yassin yang nampak santai dengan pernyataan itu tapi punya makna yang tersirat.
“Dia kini jadi pengurus saya. Tahu jadual saya. Saya baru selesai dengan filem Sofaz The Movie. Juga bakal muncul dengan program Maharaja Terbaik serta Lawak Minggu Ini di Astro,” ujarnya yang mengaku ada sikap selektif dalam berkarya.


“Saya bercuti panjang sebelum ini. Saya ambil keputusan untuk memilih kerja sebab mahu bercuti,” ujarnya serius.
Bercerita secara serius, Yassin bangga melihat perkembangan lawak tanah air. Baginya, pelawak-pelawak kini mempunyai tempat tersendiri dan diterima baik khalayak.
“Sebagai penghibur dan pelawak, saya berbesar hati dengan penerimaan masyarakat terhadap pelawak,” ujarnya yang bakal membawa isteri berhari raya di Sentul, Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung halaman isteri di Kluang, Johor.
“Seronok dan teruja mahu beraya dengan suami,” ujar Farah dan disampuk Yassin bahawa mereka mahu pakai baju raya warna sedondon.
Pengantin baharu ini ketara sedang bersanding rasa dan jiwa. Belum terlewat untuk mengucapkan selamat pengantin baharu buat mereka.




.

Bakar rumah sendiri


Sebuah keluarga hilang tempat tinggal, malah tidak sempat berbuka puasa apabila rumah mereka musnah terbakar petang semalam gara-gara perbuatan seorang ahli keluarga itu yang kurang siuman membakar kain.
Kejadian berlaku pukul 6.30 petang di Kampung Lakota dekat sini, ketika mangsa, Limah Yaacob, 60, membasuh beras bagi menyediakan juadah berbuka puasa.
Menurutnya, tiba-tiba anak lelakinya yang mesra dipanggil Pak Cu berusia 23 tahun datang dan melempar bantal ke arahnya sehingga beras dibasuh terjatuh.

"Saya kemudian menegur tindakan Pal Cu. Tidak lama kemudian, tiba-tiba saya lihat dia menyalakan api dan membakar kain di tepi dinding. Api merebak dengan cepat dan saya terus keluar bagi meminta bantuan jiran tetapi ramai tiada di rumah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pemilik rumah berkenaan, Razali Mohamed, 50, yang tinggal di rumah berhampiran berkata, ketika kejadian dia, tiada di rumah kerana membeli kuih-muih di Pasar Ayer Lanas.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jeli, Mokhtar Che Mah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.52 petang dan seramai 16 anggota termasuk bomba sukarela dikejarkan ke lokasi.

Katanya, semasa sampai, rumah terbabit telah 90 peratus hangus dan pihaknya mengambil masa lima minit untuk mengawal sepenuhnya kebakaran dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM38,000.
Dalam pada itu, nasib keluarga terbabit mendapat perhatian Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr. Azmi Setapa yang menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.



.

Kemalangan kenderaan besar


Tiga termasuk sepasang suami isteri maut selepas treler yang mereka naiki hilang kawalan sebelum merempuh sebuah treler lain yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 106, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, pemandu treler, Mohammad Zu Yusoff, 47, dan isteri, Kamariah Ibrahim, 43, serta kelindan treler terbabit, Nik Mohd. Shahrizan Yaacob, 32, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritendan Abdul Rahman Ja’apar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut turut melibatkan sebuah lagi lori yang sehingga petang semalam masih gagal dikesan.
Menurutnya, lori tersebut dikatakan cuba memotong treler yang dipandu Mohammad Zu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit bergesel.
“Pergeselan menyebabkan mangsa (Mohammad Zu) tercampak ke atas jalan raya sebelum digilis tayar belakang trelernya.

“Treler mangsa kemudian merempuh bahagian belakang sebuah lagi treler yang berhenti di bahu jalan berhampiran lokasi kejadian,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, rempuhan tersebut menyebabkan Kamariah dan Nik Mohd. Shahrizan tersepit dan mati di tempat kejadian.




.

BEN ASHAARI TANYA BLOG SAYA BEST TAK ?


Kebetulan baru online, dan ternampak encik ben dengan segmen terbarunya...
Jom memeriahkan segmen ni di hari ahad...ngee....

Korang, blog saya best tak???
Jom, bersama kita berblogwalking dan mencari kenalan baru... weee... :)


Nak dapat rakan blogger , korang kena cari mereka ! Mereka takkan datang kalau tak 'dijemput' ! Dan diorang takkan datang kalau memanjang dok lepak atas meja sambil main dam dan mengumpat tentang kejayaan orang lain ... okeh ? (Ben Ashaari)


Tutup 14hb ogos, 6 petang..




.

Persediaan sebelum tidur

Hadith: 

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.

Huraian Hadith: 
Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: "Daripada 'Aisyah r.a katanya: "Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.(at-Tirmizi) Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur. Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula. Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!