Saturday, October 15, 2011

Perceraian termahal


Perceraian sememangnya memeritkan bagi sesebuah ikatan perkahwinan. Bukan setakat kasih sayang semakin terlerai malah harta yang dikumpul sepanjang perkahwinan juga perlu dibahagi-bahagikan antara bekas suami dan isteri.
Begitulah yang terjadi kepada bilionair Muslim, Aga Khan apabila nama beliau dan bekas isterinya, Begum Inaara Aga Khan, 51, kini tercatat sebagai pasangan yang mempunyai penyelesaian perceraian paling mahal dalam sejarah di negara Perancis.

Aga Khan yang berusia 73 tahun berpisah dengan isteri kelahiran Jerman dan bekas penyanyi itu enam tahun lalu. Namun baru kini penyelesaian perceraian itu berjaya dipersetujui.
Jangan terkejut jika dikatakan bahawa Aga Khan yang mempunyai kekayaan bernilai AS$10 bilion, perlu membayar AS$87 juta (RM276 juta) kepada bekas isterinya itu. Tetapi itulah hakikatnya.

Begitupun jumlah tersebut jauh masih rendah jika dibandingkan dengan anggaran asal penyelesaian kes itu yang dijangka berpotensi mencatat sejarah dengan nilai AS$806 juta (RM2.5 bilion).
Dokumen perceraian yang difailkan di Mahkamah Rayuan di Amiens, utara Perancis mendedahkan perjanjian penyelesaian dengan isteri keduanya itu berjaya dimuktamadkan hanya pada nilai satu persepuluh daripada jumlah ratusan juta dolar tersebut.

Mengikut laporan media, Begum Inaara mengemukakan tuntutan perceraian setelah mendakwa suaminya itu menjalin hubungan dengan seorang pramugari.
Hubungan itu dibuktikan setelah wanita berkenaan mengupah penyiasat persendirian mengekori pergerakan pramugari tersebut bersama 'playboy' yang memiliki 600 ekor kuda lumba dan kediaman di merata dunia.
Dokumen mahkamah juga mendedahkan bahawa hubungan mereka berantakan dalam tempoh dua tahun selepas perkahwinan gilang-gemilang mereka di kawasan kediaman mewah lelaki itu di Aiglemont, utara Paris pada 1998.

Pasangan tersebut dikurniakan seorang anak lelaki, Prince Aly yang kini berusia 11 tahun.
Aga Khan merupakan warganegara Britain tetapi menghabiskan sebahagian besar masanya di Perancis. Ini bermakna hakim-hakim di Perancis boleh memainkan peranan menyelesaikan prosiding penceraian yang gagal dicapai di Mahkamah Tinggi London pada 2004.

Mahkamah Rayuan Perancis memutuskan bahawa Begum Inaara wajar menerima AS$87 juta atas alasan pasangan tersebut mempunyai ikatan suami isteri selama dua tahun.
Jumlah tersebut sekali gus mengetepikan jumlah hampir AS$17 juta (RM53.4 juta) yang diberikan oleh mahkamah rendah sebelum ini.

Mahkamah rendah memberikan jumlah penyelesaian yang rendah setelah mendapati kedua-dua pasangan itu bersalah sehingga mengakibatkan keruntuhan rumah tangga mereka.
Isteri keduanya itu, yang nama asalnya Gabriele Homey yang lahir di Frankfurt, pernah berkahwin dengan kerabat diraja Jerman, Prince Earl-Emich zu Leiningen. Mereka bagaimanapun bercerai pada 1997.
Sebenarnya, ini bukan kali pertama Aga Khan perlu 'mengosongkan saku' akibat keretakan rumah tangganya. Pada 1995, beliau terpaksa membayar AS$32 juta (RM100.4 juta) kepada isteri pertamanya, Sally Croker-Poole.

Dengan Croker-Poole, pasangan tersebut mempunyai tiga orang anak.
Penyelesaian penceraian Aga Khan dengan Begum Inaara bagaimanapun lebih rendah daripada perceraian bangsawan Rusia yang menetap di United Kingdom, Boris Berezovsky yang pada Julai lalu membayar bekas isterinya, Galina sebanyak AS$335 juta (RM1.05 bilion).

Namun jumlah itu lebih kurang sama dengan jumlah yang telah dibayar oleh aktres Madonna kepada Guy Ritchie apabila perkahwinan mereka berakhir. Madonna dilaporkan membayar antara AS$76 juta (RM242 juta) dan AS$92 juta (RM293 juta) kepada bekas suaminya itu.
Apa pun yang berlaku, sumber yang dekat dengan kes cerai tersebut menyatakan beliau yakin Begum Inaara pasti seronok dengan penyelesaian tersebut.







.

Legoland terbesar di dunia

Taman tema Legoland terbesar di dunia, dibuka semalam di Florida, sekali gus menarik minat pelbagai lapisan masyarakat untuk menikmati kesenian permainan berbentuk kubik itu.
Legoland yang terletak di Winter Haven akan menjadi taman tema terbaru selepas Disneyland, Universal Studios dan Harry Potter World.

Taman tema yang dikelilingi bangunan-bangunan diperbuat daripada kubik lego itu menjadikan pengunjung kanak-kanak berusia dua sehingga 12 tahun sebagai kumpulan sasaran.
Walaupun terpaksa bersaing dengan taman-taman tema lain, Legoland mempunyai keunikan tersendiri dan dilihat boleh menggalakkan penyertaan yang lebih aktif di kalangan kanak-kanak.


Taman tema tersebut mempunyai beberapa zon interaktif yang menarik seperti zon membuat kereta, bermain dengan robot atau membina apa sahaja mengikut kreativiti masing-masing menggunakan kubik lego.
Taman tema Legoland pertama dibuka pada 1968 di Billund, Denmark, kemudian di England, diikuti di California serta Jerman dan Malaysia bakal menempatkan Legoland yang keenam di Nusajaya, Johor pada tahun 2012.

Taman tema Legoland yang pertama di Asia itu dibina di kawasan seluas 31 hektar dengan kos AS$240 juta (RM720 juta) dan menawarkan tujuh destinasi yang memberi pengalaman berbeza kepada para pengunjung iaitu Beginning, Miniland, Castle, Xtreme, Imigination, Adventure dan Town.







.

Kembali merawat pesakit selepas 36 tahun


Setelah 36 tahun tidak mengamalkan profesion kedoktoran, bekas Menteri Luar Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Dr. Zaini Abdullah kembali merawat pesakit.

Pesakit pertama yang diperiksanya bernama Asnah, 65, warga Desa Simpang Empat Upah, Aceh Tamiang.
Warga emas itu adalah antara pesakit dalam kempen kesihatan umum yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Peralihan Aceh (KPA) dengan kerjasama Klinik Teuming di Desa Simpang Empat Upah, Daerah Karang Baru, Aceh Tamiang pada Isnin lalu.

Dr. Zaini mengaku selama empat tahun dari 1972 hingga 1976, beliau pernah menjadi doktor di Aceh Tamiang tetapi kerana terlibat dengan GAM dan menganggotai barisan pimpinan gerakan pemisah itu pada 1976-2010, beliau tidak sempat mengamalkan profesionnya secara formal.

"Ini pesakit pertama yang saya periksa dan saya merasa terharu kerana bertemu kembali dengan pesakit yang pernah saya rawat suatu masa dahulu," kata calon Gabenor Aceh itu.
Beliau menganggap taraf hidup penduduk Aceh sudah jauh meningkat berbanding tahun 1970-an, dan satu tandanya ialah usia pesakit yang umumnya mencecah 60 hingga 70 tahun.







.

Menangis di Chiang Mai


MELAKUKAN penggambaran program berepisod amat memenatkan, namun itu semua bukan masalah kepada Farah Diana Anuar, 26, atau Farah AF2 untuk memikul tanggungjawab.
Baru-baru ini S3 berkesempatan menjengah ke Chiang Mai, Thailand, atas jemputan pihak Astro Oasis untuk melihat Farah melakukan tugasan di sana.

Farah yang sebelum ini berada di Laos, hanya menjamah roti dan buah-buahan sebagai pengisi perut sebelum memulakan penggambaran.
Tugasan Farah pada hari pertama di Chiang Mai adalah melawat Maesa Elephant Camp dan rombongan bertolak pada pukul 8 pagi menuju ke destinasi.
Sewaktu di kawasan pelancongan itu, Farah turut bertanding memecah belon bersama salah seekor gajah
yang terlatih.

Suasana ceria bertukar sayu, apabila kumpulan kami berpeluang melihat gajah bernama Thongsa menulis perkataan Rasa Halal Thailand (RHT) secara dekat sambil Farah melakukan tugasannya.
“Farah amat terharu tengok gajah itu menulis dengan cantik, walaupun ia hanya belajar selama dua minggu untuk menulis perkataan itu. Kalau Farah yang berada dalam kedudukan gajah itu, tak tahulah nak gambarkan.

“Telinganya ditarik oleh si penjaga ke atas, bawah, kiri dan kanan untuk membentuk huruf. Mesti sakit, cuma gajah itu tidak boleh bercakap sahaja. Cukuplah kalau kita pandang matanya yang sayu itu, mesti sebak,” kata Farah yang berjiwa sensitif itu.
Selain melihat kebolehan gajah melukis, krew RHT juga melihat pertunjukan ular dan monyet di kawasan berhampiran.

Farah walaupun nampak lembut, namun bukan jenis penakut. Sewaktu menonton pertunjukan ular, ramai yang duduk jauh namun Farah sengaja duduk di hadapan.
Dalam kumpulan itu, hanya Farah yang berani memegang dan bergambar bersama ular dan begitu juga sewaktu menonton pertunjukan monyet dan pada hari itu juga krew RHT melakukan penggambaran di kilang lakuer (pengilat), jed serta kulit.

Kata Farah, dia tidak perlu melakukan penggambaran di setiap lokasi yang disinggah kerana dalam program selama setengah jam itu juga ada penerangan menyeluruh.
“Kalau tidak buat rakaman di lokasi, info akan diberikan secara voice over. Cara ini mudah sikit sebab penonton hanya mendengar suara Farah yang membaca skrip. Kalau rakaman langsung Farah kena hafal dan ingat info yang hendak dikatakan,” jelasnya terperinci.

Sebelum krew menamatkan tugasan pada hari itu, mereka melakukan penggambaran di Bazar Malam Chiang Mai yang merupakan tumpuan pelancong dari seluruh pelosok dunia.
Menurut Farah, walaupun berada di Laos atau Chiang Mai yang menawarkan harga lebih murah berbanding di Malaysia, namun dia tidak berkesempatan membeli-belah.

“Ingat Farah tak rambang mata ke nak membeli barang-barang itu semua. Dahlah murah, cantik-cantik pula. Masalahnya, tak sempat sebab sibuk penggambaran.
“Farah kalau membeli mesti nak membelek. Kalau asyik nak membeli, sah-sah tidak selesai penggambaran nanti. Lagipun pakaian yang Farah pakai untuk program ini ditaja oleh Ariani dan Adidas,” katanya yang bersolek sendiri.
Seterusnya pada hari kedua Farah di Chiang Mai, penggambaran dilakukan di hadapan stesen kereta api Chiang Mai sebelum berangkat ke masjid berhampiran.

“Di sini bukan lelaki sahaja sembahyang Jumaat tapi orang perempuan juga. Walaupun orang Islam golongan minoriti di sini tetapi mereka bersatu.
“Mereka sering mengadakan aktiviti pada setiap hari Jumaat dan sepanjang bulan puasa, ramai yang memilih berbuka puasa di masjid. Itu yang Farah dapat tahu apabila berbual dengan salah seorang ahli jawatankuasa masjid tadi,” ceritanya.
Sebaik sahaja selesai tugasan di situ, Farah melahirkan rasa syukur kerana tanggungjawabnya di lokasi tamat.








.

Dia inginkan kasut baru..


Hasrat seorang kanak-kanak untuk memakai kasut baharu bagi menyertai persatuan kompang di sekolahnya berkecai apabila dia ditemui lemas ketika sedang mandi bersama lima rakannya di sebuah lombong pasir di Kampung Gelam, Kedawang di sini kelmarin.

Mayat Mohd. Aiman Ali, 12, ditemui pada pukul 6 petang di dasar lombong tersebut yang mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter.
Bapa mangsa, Ali Akob, 49, memberitahu, dia berhasrat untuk membelikan kasut tersebut hari ini seperti yang diminta anak kelima daripada enam beradik itu.

"Bagaimanapun ia tidak dapat ditunaikan kerana arwah pergi terlebih dahulu. Saya reda dengan ketentuan takdir," ceritanya.
Mengimbau semula kejadian itu, Ali memberitahu, dia bergegas ke lombong berkenaan sebaik dimaklumkan oleh penduduk kampung pada pukul 5 petang. Jarak rumahnya dengan lombong berkenaan kira-kira satu kilometer.

"Sebaik tiba, saya lihat tiada sesiapa di situ lalu terus terjun ke dalam lombong tetapi gagal menemuinya kerana air keruh.
"Saya kemudian meminta bantuan sebelum mayat anak saya ditemui oleh pekerja tapak lombong dan penduduk kampung yang menyelam di dalam lombong itu," katanya lagi.
Tambahnya, dia tidak tahu anaknya mandi di lombong tersebut bersama rakan-rakannya kerana kebiasaannya arwah akan duduk di rumah sahaja selepas pulang sekolah.







.

Kasih sayang seorang isteri buat si suami


Demi menyelamatkan suaminya yang menghidap strok daripada rentung, seorang isteri terpaksa mengheret lelaki itu kira-kira 30 meter keluar dari rumah mereka dalam satu kejadian kebakaran melibatkan enam rumah di pekan ini malam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 8.50 malam itu, Rubiah Loman, 49, tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan suaminya, Mohd. Rosdi Rashid, 49, setelah asap tebal memenuhi seluruh ruang rumahnya.

“Bagaimana cara saya mengheretnya pun saya tidak ingat. Keadaan sangat pantas dan saya hanya mencapai mana tubuhnya yang boleh. Setelah mengheretnya keluar, saya perasan kaki kanannya berdarah, mungkin akibat terlanggar atau terkena sesuatu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.








.

Tragedi balik kampung


Kegembiraan tiga lelaki termasuk dua beradik untuk balik kampung bagi meraikan majlis perkahwinan ibu saudara mereka tidak bertahan lama apabila salah seorang daripadanya maut manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan semalam.

Kejadian pukul 5.45 pagi di Kilometer 108, Jalan Kota Bharu-Gua Musang itu menyebabkan pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Wan Mohd. Asyraf Wan Muhamed, 24, meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya, Wan Mohd. Hafiz, 29, dan seorang sepupu mereka cedera ringan.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki tiga bersaudara itu bertembung dengan sebuah treler membawa muatan kelapa sawit dari arah bertentangan.








.

Taking pictures of the apocalypse? Photographer snaps dramatic storm on his iPhone



Looming on the horizon, this terrifying cloud appears to be about to completely engulf an Australian beach.
The astonishing shot was taken by professional Bruce Levick,  who captured the approaching storm off Calondra, Queensland on his iPhone using the panoramic app Pano.
Mr Levick, 38, had been filming the rehoming of wild koalas with the Australian Rescue Unit and did not have his usual camera equipment to hand. 

He said: 'I wasn't sure how the picture were going to turn-out and I was gutted I didn't have my proper kit on me. I'd only had the phone for about eight months at the time and I hadn't really experimented with the camera.
'But now I use it every day. The camera is by far the best camera on a mobile phone that I've ever seen.'
Mr Levick had finished shooting for the day when the weather turned in a matter of minutes and the photographer ran to the beach to capture the remarkable scene.

He said: 'I was on my way home when I noticed the skies darkening. I stopped by the corner shop to get some snacks and in the space of a few minutes this storm front had formed.
'By the time I came out I could see the storm through the high-rise buildings in town and knew that if I raced down to the shoreline I would get a good view.
'I managed to get about five minutes shooting the storm before I had to escape the carnage.
'But when I got home and looked at the picture properly I was thrilled. The result was so good that I even sell this picture as a print on my website.'








.

5 tahun memandu tanpa lesen

Seorang pengusaha kedai komputer yang memandu tanpa lesen sah sejak lima tahun lepas adalah antara beratus pengguna jalan raya yang disaman dalam ”Ops Khas Penunggang dan Pembonceng” di sini malam tadi hingga pagi ini.
Lelaki berusia 28 tahun itu dan berasal dari Kampung Panji Alam juga didapati memandu kereta dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh sejak lima bulan lepas.
Pemeriksaan seterusnya mendapati dia turut mempunyai waran tangkap berkaitan kesalahan lalu lintas. Dia ditahan dan kereta jenis Perodua Kancil turut disita.

Sementara itu, seorang lagi pemilik kenderaan dikenakan lima saman berkaitan kesalahan teknikal mengubahsuai kenderaannya termasuk enjin, ekzos, plat nombor pendaftaran serta cermin gelap melebihi spesifikasi ditetapkan.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Supritendan Khazahari Che Amat berkata, dalam operasi itu dari pukul 11 malam hingga 4 pagi, sebanyak 252 saman dan notis arah periksa dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

Walaupun operasi itu lebih ditumpukan kepada penunggang motosikal, tetapi lebih banyak kereta yang ditahan.
Operasi itu disertai 130 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).









.

Catat sejarah baru


Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya pada Jumaat bersetuju mengisytihar Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sultan Abdul Halim akan turut mencatat sejarah baru iaitu menjadi di-Pertuan Agong buat kali yang kedua dalam sejarah pemerintahan baginda.
Kali pertama baginda menaiki takhta ialah pada tahun 1970 sehingga ke tahun 1975 iaitu sebagai Yang di-Pertuan Agong yang kelima.

Belum pernah dalam sejarah pelantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sejak kewujudannya pada tahun 1957, mana-mana Raja atau Sultan menaiki singgahsana takhta negara untuk kali yang kedua.
Sultan Abdul Halim, diputerakan pada 28 Nov 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah.
Lulusan Wadham College Oxford United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950an.

Sementara itu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri.
Sultan Muhammad V, 42, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.
Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu diputerakan di Kota Baharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969.


Berikut adalah senarai Yang di-Pertuan Agong dari yang pertama sehinggalah yang ke-13:
(1). Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.
(2) Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.
(3). Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada 2000.
(4). Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979.
(5). Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1927, memerintah pada 1970-1975.
(6). Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979.
(7). Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984.
(8). Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989, mangkat pada 22 Januari 2010.
(9). Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994.
(10.) Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999, mangkat pada 27 Disember 2009.
(11). Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001.
(12). Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail dari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006.
(13). Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006-2011.






 


.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!