Tuesday, November 15, 2011

Ramainya anak luar nikah..

Seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010.

Timbalan Menterinya, Heng Seai Kie, berkata daripada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570).

Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi mengintegrasikan pendidikan kesihatan "reproductive" dan sosial.

"Program itu membabitkan 64,000 remaja mengenai pendidikan dan risiko yang terpaksa ditempuhi kerana tindakan mereka," katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Jidin ingin tahu jumlah anak luar nikah yang direkodkan sejak 2008, punca masalah dan inisiatif kementerian untuk membendung gejala itu.

Heng berkata, enam pusat remaja ditubuhkan untuk golongan sasar berumur antara 13 dan 24 tahun bagi memberi maklumat berkaitan isu psiko-sosial termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan kemahiran hidup.

"Program 'outreach' yang dilakukan di sekolah dan komuniti setempat itu berjaya mendekati 257,147 remaja melalui 4,698 program dari November 2005 hingga September 2011," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula memberitahu dewan bahawa 24,813 orang dimasukkan ke hospital kerajaan kerana masalah berkaitan mental tahun lalu.

"Setakat ini kita ada empat institusi mental di seluruh negara, 42 hospital kerajaan yang menyediakan perkhidmatan rawatan mental dan 124 pakar dalam bidang itu," katanya kepada soalan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pas-Pengkalan Chepa).

Rosnah berkata, usaha sedang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran awam serta kepekaan masyarakat untuk mengenal pasti tanda-tanda awal dan mereka yang berpotensi mendapat rawatan awal.








.

Kerana solat, dia terselamat ketika ribut terbang bumbung rumah


Seorang ibu yang sedang menunaikan solat Asar terselamat dalam kejadian ribut walaupun angin kencang itu menerbangkan seluruh bahagian atas bumbung rumahnya di Kampung Belakang Masjid Tawar di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Faridah Abdullah (gambar), 60, hanya sempat rukuk sebelum dikejutkan dengan jeritan anaknya yang bergegas keluar menyelamatkan diri.
Anak Faridah, Aishah Ahmad, 22, berkata, dia terkejut apabila menyaksikan angin kuat menerbangkan bahagian bumbung itu lalu terpaksa memanggil ibunya yang sedang tenang bersolat.
Faridah berkata, dia yang sudah berada di rakaat ketiga terpaksa memberhentikan solatnya sebaik sahaja terdengar jeritan anaknya itu.

“Alhamdulillah, syukur kerana semasa solat tiada sebarang benda menimpa badan saya walaupun ada beberapa bahagian kayu jatuh berhampiran sejadah dan saya menganggap ini disebabkan Allah menjaga orang yang bersolat,” katanya di sini hari ini.
Dia berkata, ketika kejadian hanya dia dan anaknya berada di rumah manakala suami Faridah, Ahmad Jusof, 63, sedang bekerja.

Menurutnya, akibat kejadian itu keluarganya kerugian lebih RM10,000.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd. Khairul Azhar Abdulah ketika ditemui berkata, pihaknya akan membantu menggantikan semula bumbung yang diterbangkan itu.
“Kita telah bersetuju untuk menggantikan semua bumbung Faridah dan kita akan cuba mendapatkan peruntukan segera bagi membantu keluarga ini,” katanya.

 






.

Keluarga pertama di Asia yang turut dalam pelancongan angkasa lepas


Seorang ahli perniagaan Singapura bersama isteri dan dua anaknya bakal menjadi penumpang pertama dari benua Asia ke angkasa lepas selepas dilaporkan membayar AS$1 juta (RM3 juta) bagi mengikuti pakej pelancongan oleh syarikat Virgin Galactic.

"Semalam saya makan tengah hari bersama seorang ahli perniagaan di Singapura dan selepas itu dia menandatangani cek berjumlah AS$1 juta (RM3 juta) untuk menempah bukan hanya satu kerusi tetapi satu pesawat.

"Identitinya dirahsiakan kerana beliau mahu membuat kejutan kepada isterinya dan mereka akan menjadi keluarga dari Asia yang pertama menyertai penerbangan ke angkasa lepas," kata Pengarah Komersial Virgin Galactic, Stephen Attenborough ketika persidangan pasaran dan media antarabangsa di sini hari ini.
Attenborough berkata, keluarga ahli perniagaan itu dijadualkan menyertai penerbangan pada tahun pertama operasi yang dijangka bermula pada 2013, sekali gus menjadi orang awam pertama mengembara ke angkasa lepas.







.

Ditutup secara rasmi hari ini


Istana Negara lama yang telah menjangkau usia 83 tahun akan ditutup secara rasmi setelah selesai Istiadat Menurunkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana itu di sini hari ini.
Istana Negara baharu bernilai RM800 juta yang terletak di Jalan Duta pula akan menjadi kediaman rasmi baharu bagi Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya setelah tamat tempoh jawatan yang kini dipegang oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tersergam indah di tepi Bukit Petaling, pelbagai peristiwa telah berlaku di istana lama itu yang pada asalnya sebuah banglo yang dibina pada 1928 oleh pemilik asalnya iaitu seorang jutawan dari China, Chan Wing.

Bagaimanapun, sejak tercetusnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan negara ini ditawan Jepun, banglo yang telah ditinggalkan jutawan berkenaan digunakan sebagai mes Pegawai Tentera Jepun selama empat tahun bermula 1942 sehinggalah 1945.
Sejurus tamatnya perang itu, banglo tersebut telah bertukar tangan kepada British Military Administration (Malaya) yang menjadikannya sebagai mes pegawai kanan British pada 1946.

Kemudian ia bertukar milik kepada Kerajaan Negeri Selangor apabila dibeli dan diubahsuai sebagai sebuah istana untuk Sultan Selangor ketika itu, Sultan Hisamuddin Alam Shah.
Istana itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila kerajaan Persekutuan membelinya pada harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.








.

Mereka memiliki hubungan yang istimewa


Seorang peladang maut dibunuh badak air yang dibelanya sejak haiwan liar itu berusia lima bulan dan dilayan seperti anak sendiri.
Marius Els dilaporkan dibaham berkali-kali Humphrey - nama badak air itu sehingga dia menemui ajalnya pada malam Sabtu lalu.

Media semalam melaporkan, mayat Els, 41, yang mempunyai kesan cedera serius ditemui terapung dalam sungai di kawasan ladangnya di Klerksdorp, wilayah Barat Laut Afrika Selatan.
Awal tahun ini, Els menjadi perhatian ramai apabila gambarnya menunggang Humphrey disiarkan.
Kata Els, Humphrey seberat 1,200 kilogram itu seolah-olah anak lelakinya sendiri.

“Perangainya juga seperti manusia,” katanya.


Menurut Els, wujud pertalian unik dan akrab di antara dirinya dengan Humphrey tetapi ia gagal difahami ramai orang.

“Bagi sesetengah orang, mereka menyangka hubungan baik manusia dengan haiwan hanya boleh berlaku jika ia membabitkan anjing, kucing dan haiwan domestik,” katanya.

Memiliki ladang seluas 162 hektar, Els berbangga kerana dia mampu menjalin hubungan baik dengan haiwan paling berbahaya di Afrika.

Selain Humphrey, Els memelihara 20 haiwan eksotik berlainan spesies di ladang itu, termasuk zirafah dan badak sumbu.

Bagaimanapun, Els mempunyai hubungan istimewa dengan Humphrey sejak ia dibeli ketika haiwan liar itu berusia lima bulan.

Els juga membina tasik khas untuk Humphrey di ladangnya.
Ketika ini, Humphrey berusia enam tahun.

Menurut Els, dia sedar ada bahaya pada setiap haiwan peliharaannya itu dan sentiasa berhati-hati.


“Jika Humphrey berasa tidak mahu ditunggangi, dia akan mencampak saya seperti seekor kuda,” katanya satu ketika dulu.
Mac lalu, Humphrey menyerang dua pemain kenu yang melalui tasik berkenaan untuk ke Sungai berhampiran.








.

Bercuti ke Pulau Bintan


SETELAH menjalani episod duka ditinggalkan isteri dan anak-anak empat tahun lalu, Lan A to Z kini mampu tersenyum apabila hatinya disapa dengan cinta baru.
Memilih tarikh 11.11.11 untuk bernikah dengan Siti Nur Ain Daud, 24, pasangan ini selamat dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Daerah Hulu Selangor, Zulkhairi Jaid di Masjid Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, Selangor, Jumaat lepas.

Pemilik nama sebenar, Norazlan Abdul Aziz, 42, pernah mendirikan rumah tangga dengan Marcella Casissi Shariff pada tahun 1998 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Nur Aqmar, 11, Puteri Nur Syafiqah, 10 dan Puteri Nur Farhana, empat tahun.

Disebabkan pernah mengalami kegagalan dalam perkahwinan, dia mengakui mengambil masa yang agak lama untuk melamar isterinya yang mesra disapa Ain.
"Saya mengenali Ain tiga tahun lalu dan walaupun fobia untuk bercinta tetapi akhirnya pintu hati saya terbuka untuk mendirikan rumah tangga.

"Doa saya, biarlah masjid yang dibina ini berkekalan sehingga ke akhir hayat kami," katanya ketika ditemui selepas akad nikah di Masjid Ar Rahimah Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Menurut Lan, hatinya terbuka untuk memperisterikan Ain selepas kembali dari mengadakan persembahan di Perth, Australia pada Mei lalu.

"Hati saya terdetik, sudah tiba masanya saya melamar Ain. Waktu itu juga, saya menghubunginya dan menyatakan hasrat untuk menyuntingnya.
"Alhamdulillah, Ain sudi menjadi isteri saya dan memandangkan dia lahir pada 11 November, kami sepakat untuk bernikah pada 11.11.11," katanya yang memberi mas kahwin RM300 dan duit hantaran, RM11,111 kepada Ain.

Mengulas tentang majlis resepsi yang diadakan sehari selepas mereka diijab kabulkan, Lan mengakui, ditaja sepenuhnya oleh Kelab Kebajikan Dan Sosial Tun Teja Malaysia (KKDSTTM).
Jelas Lan, itu semua adalah rezeki dan rahmat buat dirinya dan isteri.
"Semuanya berlaku secara kebetulan. Bukan saya sengaja mencari penaja. Mulanya, saya hanya daftar untuk jadi ahli kelab KKDSTTM.
"Apabila pengerusi kelab itu tahu, saya akan melangsungkan perkahwinan, beliau mahu menaja perkahwinan saya.

"Nilai tajaan saya kurang pasti namun hampir 100 peratus persiapan perkahwinan ini disiapkan oleh pihak KKDSTTM," katanya yang bakal terbang ke Pulau Bintan, Indonesia hujung bulan ini untuk bulan madu.
Pada majlis akad nikah, keluarga kedua-dua belah pihak bertukar-tukar hantaran. Lan menerima 11 dulang hantaran termasuk kasut, minyak wangi, kemeja dan set tali pinggang.
Sementara Ain pula menerima sembilan dulang hantaran termasuk cincin, telekung, sepasang kain, senaskhah al-Quran dan sejadah serta coklat.








.

"Saya ingin putus cinta..."

Tindakan nekad seorang wanita ingin memutuskan hubungan cinta yang terjalin sejak tujuh bulan lalu mengundang padah apabila teman lelakinya ‘naik minyak’ sebelum membelasah dan memecahkan cermin keretanya di Jalan Lumut, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 31 tahun bertemu pasangannya bagi memutuskan hubungan berikutan tertekan apabila sering dikongkong dan dipukul suspek.

Menurut sumber, ketika bertemu, mangsa geram selepas dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain dan meminta hubungan mereka diputuskan. “Pertengkaran itu bertukar ganas apabila teman lelaki mangsa yang gagal mengawal kemarahan menumbuk muka dan memukul badan mangsa.
“Terkejut dengan tindakan itu, mangsa yang ketakutan berlari ke keretanya di tepi jalan,” katanya.

Menurut sumber, suspek sekali lagi mengamuk dan menyuruh mangsa keluar daripada kereta.

“Berang mangsa enggan membuka pintu, bagaikan dirasuk teman lelaki mangsa menendang pintu kereta, malah memecahkan cermin kereta sebelah pemandu.
“Tidak cukup dengan itu, dia menarik rambut mangsa selain memukulnya beberapa kali menyebabkan wanita terbabit menjerit kesakitan.

“Mangsa yang cedera di muka dan badan membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi,” katanya.









.

Maut nahas motosikal


Dua sepupu maut manakala rakan mereka cedera parah apabila motosikal masing-masing bertembung antara satu sama lain ketika hujan lebat di Kampung Merang di sini kelmarin.
Nik Muhamad Azmir Nik Ismail, 15, dari Kampung Gong Tengah, Merang di sini maut di tempat kejadian manakala sepupunya, Mohamad Tarmimi Mahasan, 17, juga dari kampung yang sama meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Rakan mereka, Muhamad Anis Zaireni, 14, dari Kampung Lembah Bidong dekat sini pula cedera parah di kaki dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan.
Kejadian berlaku pada pukul 9 malam ketika Nik Muhamad Azmir yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang dari Lembah Bidong ke rumahnya selepas membeli makanan.

Tiba di tempat kejadian, motosikal Nik Muhamad Azmir dikatakan telah bertembung dan melanggar motosikal Mohamad Tarmimi yang dinaiki bersama Muhamad Anis secara melawan arus.
Bapa saudara Muhamad Tarmimi yang hanya mahu dikenali sebagai Mahusin, 47, ketika ditemui berkata, akibat perlanggaran itu, Nik Muhamad Azmir tercampak sejauh enam meter dan cedera parah di kepala.









.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!