Saturday, January 7, 2012

Anggota TLDM, isteri maut


Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan isterinya maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam paya di Jalan Kampung Raja di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 pagi itu, Shahril Ismail, 33, yang bertugas sebagai Bintara TLDM di Lumut dan isterinya, Norazimah Abdul Aziz, 34, seorang juruteknik di Titi Gantong mati akibat lemas selepas terperangkap di dalam kereta yang dipenuhi air.

Ibu saudara Shahril, Norizan Yahya, 50, berkata, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Pangkalan TLDM Lumut setelah mendaftarkan anak sulung mereka memasuki tahun satu di Jempol, Negeri Sembilan.

"Mereka mempunyai tiga anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki berusia tujuh, enam dan dua tahun. Anak mereka dijaga oleh ibu Norazimah di Negeri Sembilan," katanya ketika ditemui di Hospital Changkat Melintang di sini hari ini.

Menurut Norizan, Shahril berasal dari Kampung Padang Changkat di Bota adalah anak keempat daripada 10 beradik manakala isterinya merupakan anak sulung daripada tujuh beradik.

"Shahril dikenali sebagai seorang yang pendiam tetapi baik hati manakala isterinya seorang yang peramah dan mesra dengan kami sekeluarga.

"Memandangkan arwah Shahril sudah tiada ibu bapa, kami sekeluarga sepakat mengkebumikan jenazah arwah di kampung isterinya di Felda Gugusan Raja Alias, Bandar Baru Serting di Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, rakan sekerja Norazimah, Nurul Jannah Ismail, 30, berkata, dia terkejut apabila mengetahui rakannya itu terkorban dalam nahas tersebut.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan seorang rakan bahawa dia terserempak dengan kereta dinaiki arwah terlibat dalam kemalangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kereta Perodua Kelisa dinaiki pasangan itu dari arah Teluk Intan ke Bota Kanan terbabas ke kiri jalan sebelum terhumban ke dalam paya.

Menurutnya, mayat mangsa dituntut ahli keluarganya tengah hari ini dan dibawa ke Masjid Al-Nur di Pangkalan TLDM Lumut untuk disembahyangkan sebelum dibawa pulang ke kampung halaman Norazimah di Negeri Sembilan untuk dikebumikan.








.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!