Saturday, January 7, 2012

Mati dibunuh kejam


Seorang warga emas, Rahimah Mohd. Nor, 74, yang dibunuh selepas disamun di rumahnya di Kapar di sini malam tadi sebenarnya telah merancang untuk menunaikan umrah Mac ini.

Adiknya, Jumiah, 64, berkata, Allahyarham yang lebih mesra dipanggil Wok merancang mengerjakan umrah bersamanya dan begitu bersungguh-sungguh mahu menunaikan ibadat itu sehingga sanggup mengambil upah mengisi dakwat pen di rumahnya yang dibekalkan sebuah kilang berdekatan bagi memenuhi impiannya itu.

"Saya rasa sangat sedih apabila arwah tidak sempat menunaikan umrah dan kejadian itu tidak dapat saya lupakan kerana ia tidak pernah berlaku di kampung ini," katanya ketika ditemui di rumah mangsa di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian itu disedari oleh anak saudaranya yang pergi ke rumah mangsa kira-kira pukul 7.30 malam untuk membuka suis bagi mendapatkan bekalan elektrik yang disambungkan ke gerai nasi ayamnya.

Katanya, sebaik sahaja tiba di rumah mangsa, lelaki tersebut mendapati keadaan di dalam rumah itu gelap dan dia cuba mencari Wok tetapi tidak ditemui.

"Setelah diberitahu kepada saya, kami adik-beradik pergi ke rumah itu tetapi tidak jumpa dan kemudian ke surau kerana kebiasaan pada malam Jumaat, kakak saya membaca surah Yasin di sana.

"Bagaimanapun, di surau juga kami tidak jumpa dan pulang semula ke rumah untuk mencari arwah di dalam semua bilik dan kami terperanjat apabila mangsa yang sudah tidak bernyawa ditemui dalam keadaan tertiarap di bilik setor," katanya.

Jumiah berkata, ketika mayat Rahimah ditemui, muka arwah berada dalam keadaan pucat manakala tangannya telah kaku.

Katanya, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, Kapar di sini, selepas solat Jumaat.








.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!