Iman Adam Raman, 8, anak bongsu daripada sembilan beradik amat disayangi oleh keluarga dengan keletahnya yang periang dan cerdik. Dia yang menyerikan suasana kehidupan keluarganya sudah berupaya menghafaz beberapa surah al-Quran selain surah Yasin dengan lancar.
Namun sejak tujuh bulan lalu, kedukaan menyelubungi kehidupan keluarganya apabila anak kecil itu terbaring kaku dalam keadaan koma.
Tarikh 2 Mei tahun lalu menjadi detik hitam keluarganya apabila Iman Adam cedera parah dirempuh oleh sebuah motosikal sewaktu melintas jalan menuju sebuah kedai di Kampung Kubang Jela, Manir dekat sini. Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi sewaktu mangsa bersama bapanya, Raman Abdullah, 58, singgah sekejap di kedai tersebut untuk membeli peralatan sekolah sebelum meneruskan perjalanan ke sekolahnya di Kampung Tok Jiring.
Ekoran rempuhan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana kecederaan parah di kepala, badan dan patah kaki sehingga dia dirawat dan terlantar koma di hospital itu selama tujuh bulan.
Tersentuh dengan musibah yang menimpa Iman dan keluarganya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menziarahi rumah mereka di Kampung Kebor Besar dekat sini, hari ini. Kunjungan Ahmad membawa kelegaan kepada keluarga itu apabila kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan RM1,300 sebulan selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said hadir sama.
Iman Adam lumpuh setelah menjadi mangsa langgar lari dalam kejadian di Kampung Kubang Jela, Manir pada 2 Mei lalu. Ibu mangsa, Nik Aini Mohd., 51, mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Menteri Besar yang membantu meringankan beban keluarganya bagi menyediakan keperluan Iman.
Nik Aini menceritakan, sepanjang dirawat di HSNZ, anaknya itu terpaksa menjalani tujuh pembedahan di kepala selain rawatan lain.
"Saya tetap reda dengan apa yang menimpa Iman, malah bersyukur kerana dia masih hidup sehingga sekarang walaupun lumpuh.
"Semasa dirawat di hospital, doktor bertugas menjangkakan yang Iman hanya boleh hidup tiga hari, tapi Allah maha berkuasa, dia (Iman) masih ada sehingga ke saat ini," katanya.
Nik Aini memberitahu, anaknya itu berkemungkinan hilang penglihatan dan kini hanya bergantung hidup kepada tiga tiub di dalam badannya yang disambung ke jantung, buah pinggang dan perut.
.
1 Penyokong CHELSEA:
ya Allah, kesiannya.. pasti ada hikmah atas setiap yang berlaku..
Post a Comment