Tuesday, January 31, 2012

Ibu bimbang penyakit misteri anak


Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitulah diibaratkan penderitaan yang ditanggung oleh seorang pemuda, Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani, 21, yang mengalami penyakit ketumbuhan misteri sejak enam bulan lalu.

Ketumbuhan misteri seberat kira-kira 20 kilogram itu mula dikesan pada Jun tahun lalu dan ia semakin membesar di bahagian bahu kirinya sehingga menyebabkan dia hanya mampu terlantar kesakitan.

Menurut ibunya, Safiah Lebai Yahya, 58, sebelum itu Mohd. Zulhafiz mengadu bahu kirinya sakit sehingga ke bahagian belakang.

“Saya ingatkan dia tersalah tidur, jadi saya urut menggunakan minyak panas namun lama kelamaan sakitnya itu semakin teruk.

“Saya kemudian membawanya mengurut di rumah seorang pengamal perubatan tradisional tetapi lama kelamaan bahunya menjadi bengkak dan semakin membesar,” katanya.
Katanya, dia kemudian membawa anak bongsunya itu ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.

“Doktor memberitahu dia mengalami penyakit barah tulang dan dirawat selama sebulan di HTAA sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Menurutnya, doktor di HKL telah menjalankan pelbagai rawatan termasuk kemoterapi namun semuanya tidak berkesan.

“Sepanjang tiga bulan menerima rawatan di sana, akhirnya doktor menasihatkan supaya Mohd. Zulhafiz dibawa pulang kerana penyakitnya itu tidak dapat disembuhkan,” katanya.

Katanya, dia ada membawa anaknya itu mendapatkan rawatan tradisional selepas keluar daripada HKL namun didapati tidak berkesan.
Menurut Safiah, dia sudah kehabisan ikhtiar apatah lagi dengan kekangan kewangan kerana tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

“Saya harapkan ada pihak yang datang untuk membantu memulihkan penyakit Mohd. Zulhafiz kerana saya sudah kehabisan ikhtiar,” katanya.










.

3 Penyokong CHELSEA:

LubLy on February 1, 2012 at 9:38 AM said...

ya Allah,teringat pd arwah c0usin yg meninggal dunia pyakit similar dgn nieh..

aliza on February 1, 2012 at 4:20 PM said...

berat mata memandang berat lg bahu memikul, hanya tanda simpati dapat dihulurkan...

Solehah Shamsuddin on May 11, 2012 at 8:56 PM said...

ksiannye dy.pelik jgk doktor ckp xleh rawat dy.agak2 nye apa nsib dy skrg ye.ermmm

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!