Allahyarham penyanyi Khairil Izwan Pilus, 32, atau lebih dikenali Izwan Pilus pernah menyuarakan hasrat untuk menyambung pengajiannya dalam bidang penyiaran.
Ibu Allahyarham, Normah Abdullah, 54, berkata, arwah anak kedua daripada empat beradik itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Universiti Utara Malaysia (UUM) menyuarakan hasratnya itu tahun lalu.
“Arwah memberitahu saya dia berhajat sangat untuk menyambung pengajian khususnya dalam bidang penyiaran tetapi apa boleh buat Allah lebih sayangkannya.
“Saya seluruh keluarga reda dengan pemergian Allahyarham walaupun hati saya agak terkilan kerana hajatnya untuk menyambung pengajian tidak kesampaian.
‘‘Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang melawat dan menguruskan jenazah hingga dibawa ke rumah kami di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, adik arwah yang juga penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF), Khairil Azam Pilus, 26, atau Aril AF7 berkata, dia dan abangnya sebelum ini pernah merancang untuk berduet dalam sebuah lagu.
‘‘Kami merancang untuk memilih komposer sesuai dan mencipta lagu yang cukup sesuai namun segala impian saya tidak kesampaian kerana dia pergi lebih dahulu,” katanya.
Khairil berkata, walaupun abangnya telah tiada lagi, dia tetap akan menunaikan hajat Allahyarham untuk merakamkan sebuah lagu.
Katanya, Allahyarham bukan sahaja dianggap sebagai abangnya malah sebagai rakan yang banyak membantunya dalam meneruskan karier sebagai penyanyi.
Allahyarham adalah bekas finalis Bintang RTM 2004 selain pernah merakamkan album Erti Kasih pada 2006.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Palembang, Kampung Gubah, Nyalas, di sini kira-kira pukul 11 pagi hari ini.
Terdahulu jenazah penyanyi yang terkenal dengan lagu Kembali Senyum dan Indah Lelapku dimandi dan disembahyangkan di kediaman keluarganya di Taman Nyalas Permai, di sini.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang dari Hospital Ampang dan tiba di rumah keluarganya kira-kira pukul 12 tengah malam.
Antara rakan artis di Akademi Fantasia (AF) yang hadir pada majlis pengebumian itu ialah Akim (AF7), Hafiz AF7 dan guru vokal, Siti Hajar Ismail.
.
2 Penyokong CHELSEA:
AL-FATIHAH
kesian kan.. arwah pergi ketika umurnya masih muda dan bercita2 utk melanjutkan pelajaran.. al-Fatihah
Post a Comment