Wednesday, February 1, 2012

'Saya telah insaf dengan perbuatan lampau'


Seorang banduan, Ah Choong, 25, melahirkan rasa kesal selepas terjebak dalam kancah najis dadah sehingga menyebabkan dia dipenjara selama 10 tahun di Penjara Seremban dekat sini.

Malah ketika ditemui pada Program Jalinan Kasih sempena Tahun Baru Cina di penjara berkenaan hari ini, Ah Choong (bukan nama sebenar), hanya mampu menggelengkan kepala berulang kali kerana menyesali perbuatan lampaunya itu.

"Dalam penjara ini, saya banyak belajar. Saya betul-betul insaf. Saya tidak pernah terbayang akan berada dalam penjara ini.

"Saya terlalu mengikut perasaan untuk berseronok dan mengecapi kemewahan dengan wang yang tidak betul," katanya yang berasal dari Melaka.

Ah Choong merupakan antara 12 banduan yang dipilih menemui keluarga pada program berkenaan sempena perayaan tersebut.

Katanya, biarpun dipenjarakan, ia tidaklah seteruk yang disangka kerana di dalamnya banyak ilmu, pengajaran, didikan yang diberikan oleh pihak pengurusan penjara.

"Sekarang saya belajar menjahit pakaian. Saya amat berharap dapat memulakan kehidupan baru selepas ini," kata bapa kepada dua orang anak itu.

Ibunya, Chin Lee Yong 49, hanya mengalirkan air mata apabila berpeluang menemui anak keduanya itu.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Penjara Seremban, Redzwan Saghil berkata, pihaknya berharap kesemua banduan berkenaan memanfaatkan peluang bertemu keluarga itu dengan sebaik mungkin.
Menurut Redzwan, setiap kali musim perayaan, pihaknya memberi peluang kepada penghuni yang mempunyai prestasi baik untuk menyertai program bersemuka dengan ahli keluarga dan masa yang diberikan adalah terhad iaitu 45 minit bagi setiap keluarga.

''Kebanyakan keluarga banduan yang datang pada hari ini adalah dari luar daerah ini antaranya Melaka dan Selangor," katanya.











.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!