Sunday, August 12, 2012

Apa cerita terkini mengenai Hairuman? Masihkah anda ingat mengenainya?


Seorang pemuda, Muhammad Hairuman Miskon yang kudung kedua-dua belah tangan dan kaki kiri akibat terkena renjatan kabel elektrik bervoltan tinggi pada 26 November 2010 kini sudah mampu menjalani kehidupan seperti insan normal lain. Hairuman, 23, sudah boleh berjalan dengan kaki palsu yang dipasang pada Disember tahun lalu tanpa perlu menggunakan kerusi roda sepanjang masa. Malahan dia yang sudah memiliki sepasang tangan palsu pada Februari lalu juga boleh makan dan berlatih menguruskan dirinya tanpa bantuan orang lain.

Bekas pelajar Kolej Intra, Kuala Selangor dalam jurusan sijil pendawaian itu yang kini kelihatan berisi berkata, dia sudah memohon untuk belajar dalam bidang komputer di Pusat Latihan, Perindustrian dan Pemulihan di Bangi tetapi belum menerima sebarang jawapan. "Saya memang berniat untuk meneruskan pengajian tetapi bukan dalam bidang elektrik seperti sebelum ini kerana sedar akan kesukaran yang terpaksa dilalui dengan keadaan saya sekarang. "Saya mahu mengubah nasib diri dan berdikari. Saya malu untuk meminta-minta bantuan daripada orang ramai," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Buat masa ini, anak kesembilan daripada 10 beradik yang meminati kelab bola sepak Arsenal itu menetap di rumah keluarga angkatnya di Kayangan Heights, Seksyen U9 di sini. Hairuman yang kematian ibubapa sebelum ini tinggal bersama kakaknya di Slim River, Perak tetapi kini memilih untuk tinggal bersama keluarga angkatnya itu. Dia yang bekerja sambilan di sebuah pusat panggilan swasta di Petaling Jaya dekat sini dengan pendapatan RM4 sejam turut dihantar ke tempat kerja oleh ibu angkatnya.


Ketika ditanya mengenai puasa tanpa ahli keluarga, Hairuman menambah, perasaan sayu memang terasa tetapi ia dapat diubati apabila dapat berbuka bersama jemaah Masjid Istiqamah, Kayangan Heights setiap hari. Bagaimanapun, dia akan berkumpul dengan adik-beradiknya di Tanjong Karang pada hari raya nanti. -Kosmo





.

1 Penyokong CHELSEA:

Unknown on August 12, 2012 at 12:38 PM said...

Alhamdulillah...

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!