Sunday, January 8, 2012

11 penumpang maut


Sebuah belon udara panas terbakar dan terjunam ke bumi selepas melanggar kabel elektrik semalam, menyebabkan 11 penumpang termasuk seorang pengemudi maut.

Tragedi itu berlaku semasa cuaca baik berdekatan bandar kecil Canterton di utara Wellington, yang merupakan kawasan popular aktiviti belon udara panas.

"Api marak kelihatan ketika belon tersebut masih di udara, menyebabkan ia jatuh serta-merta di atas sebuah ladang. Malangnya, pengemudi bersama 10 penumpang maut di tempat kejadian," kata Komander Polis bandar ini, Mike Rusbatch.

Menurut beliau, pengemudi dan penumpang yang terdiri daripada lima pasangan tempatan maut dengan kesan terbakar yang teruk.

Seorang saksi, David McKinlay berkata, dia melihat sebelah bahagian tempat duduk penumpang sudah disambar api dan secara tiba-tiba api itu menjulang kira-kira setinggi 10 meter menyebabkan belon itu terjunam ke bumi seperti roket.

McKinlay yang seterusnya menghubungi nombor kecemasan berkata, belon itu terbang setinggi kira-kira 150 meter di udara ketika itu.

Kejadian itu merupakan kemalangan terburuk dalam sejarah penerbangan New Zealand sejak 1979 apabila sebuah pesawat Air New Zealand bertembung dengan pesawat Mount Erebus di Antartika, mengorbankan 257 penumpang.

Belon itu dipercayai milik syarikat Ballooning New Zealand dan sudah mempunyai pengalaman menerbangkan belon udara panas selama lebih 1,000 jam.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Gerry Brownlee berkata, siasatan mengenai punca kemalangan sedang dilakukan dan pihaknya sudah mencadangkan beberapa garis panduan bagi mengelak kejadian seumpamanya daripada berulang.













.

Gandingan Hollywood bergaji paling tinggi


Bintang filem Harry Potter, Emma Watson dan Rupert Grint dinamakan sebagai Pasangan Filem Berpendapatan Tertinggi di Hollywood oleh majalah Forbes. Pasangan yang masing-masingnya memegang watak sebagai Hermione Granger dan Ron Weasley dalam filem francais ahli sihir itu memperolehi AS$4.2 bilion (RM13.2 bilion) dalam tempoh lima tahun lalu melalui penerbitan empat siri filem popular tersebut.

Pasangan filem Twilight, Robert Pattinson dan Kristen Stewart menduduki tangga kedua dengan memperolehi AS$2.5 bilion (RM7.9 bilion) hasil lakonan mereka dalam filem remaja popular itu sebagai Edward Cullen dan Bella Swan.

Shia LaBeouf dan Megan Fox pula berada di kedudukan ketiga carta selepas memperolehi AS$1.5 bilion (RM4.7 bilion) menerusi filem Transformers dan Transformers: Revenge of the Fallen.

Pasangan daripada filem Iron Man, Robert Downey Jr. dan Gwyneth Paltrow yang memegang watak sebagai Tony Stark dan Pepper Potts berada di tangga keempat dengan jumlah pendapatan AS$1.2 bilion (RM3.8 bilion). Kedudukan kelima sekali lagi menampilkan pelakon Shia LaBeouf, kali ini dia bergandingan dengan Rosie Huntington-Whiteley menerusi filem Transformers: Dark of the Moon yang memperolehi pendapatan AS$1.1 bilion (RM3.5 bilion).

Dua pasangan daripada filem Pirates of the Caribbean pula mengisi kedudukan keenam dan ketujuh apabila Johnny Depp dan Penelope Cruz memperolehi AS$1 billion (RM3.1 bilion) manakala Orlando Bloom dan Keira Knightley memperolehi AS$963 juta (RM3 bilion) menerusi filem francais lanun itu.

Bintang Spider-Man, Tobey Maguire dan Kirsten Dunst berada di tangga kelapan selepas berjaya memperolehi AS$890 juta (RM2.8 bilion) diikuti pasangan Leonardo DiCaprio dan Marion Cotillard dalam filem Inception dengan pendapatan sebanyak AS$825 juta (RM2.6 bilion).

Sarah Jessica Parker dan Chris Noth tampil di kedudukan ke-10 carta selepas memperolehi AS$703 juta (RM2.2 bilion) menerusi filem Sex & the City.












.

Gelora rumah tangga Salih Yaacob


SETELAH berkahwin buat kali keempat dengan gadis pilihannya, Samihah Sheik Amy, 26, pada 30 Mei lalu, deejay popular Sinar FM, Salih Yaccob, 50, mengimpikan kebahagiaan hidup yang abadi bersama isteri-isterinya.

Namun siapa sangka, setelah rumah tangga keempat dibina, badai melanda hidupnya hingga menggugat kebahagiaan yang terbina sekian lama.

Semuanya gara-gara individu tertentu yang cemburu melihat kebahagiaan rumah tangga yang berjaya dilayari dengan aman damai selama ini.

“Bukan mahu mendabik dada tetapi sebagai seorang lelaki yang mengamalkan poligami, saya tidak berbohong kepada isteri-isteri saya apabila mahu berkahwin buat kali keempat.

“Saya bersyukur dikurniakan isteri yang memahami. Tapi...sayangnya ketika saya baru melayari bahtera keempat, rumah tangga saya dengan isteri kedua hampir musnah!

“Sebenarnya setiap perkahwinan baru memang ada dugaannya. Namun perkahwinan keempat dugaannya amat besar kerana saya hampir bercerai dengan Raha disebabkan hasutan seseorang yang di luar daripada hidup kami,” dedah Salih dalam satu pertemuan di kediaman isteri keduanya, Norraha Hamad,44, di Desa Pandan, Khamis lalu.

Bagi Salih, dia tidak pernah terfikir kebahagiaannya tergugat gara-gara individu yang datang dalam kehidupan mereka rupa-rupanya mempunyai niat jahat.

“Sebagai suami kepada empat orang isteri dan ayah kepada 11 orang anak, hidup saya hanya untuk membahagiakan mereka.

“Saya tidak pernah mengharapkan bantuan orang lain kerana urusan kerjaya dan seni saya diuruskan oleh isteri kedua dan keempat.

“Sayangnya, kemunculan individu berkenaan yang datang bagaikan sahabat sehingga bermalam di rumah isteri-isteri saya sanggup menabur fitnah dan menghasut mereka.

“Jika sekali dua mungkin ia tidak berjaya, tetapi hati seorang wanita memang rapuh. Walaupun pada mulanya ia keras tetapi akhirnya, Raha kalah dan kami hampir bercerai,” cerita Salih sambil memandang Raha yang berada di sisinya dengan penuh kasih.

Pelbagai usaha dilakukan Salih dan hampir luluh hatinya apabila mendekati Raha yang bagaikan tidak pernah dikenali walaupun hampir 20 tahun hidup bersama.

“Sedih hati saya kerana jiwa Raha kosong. Dalam hatinya tidak ada setitik pun kasih sayang terhadap saya kerana yang ada hanyalah kebencian yang membara.

“Ketika itu, saya hampir putus asa namun saya berbalik kepada takdir Tuhan dan sebagai suami yang masih sayangkannya saya tidak mahu mengaku kalah dan sentiasa berdoa.

“Alhamdulillah, akhirnya Raha tersedar dan kasih sayang kami bertaut semula, Kini saya sedang berusaha membeli empat unit kondo untuk keempat-empat isteri saya.

“Kondo dua tingkat itu terletak di kawasan eksklusif dan mereka akan duduk bersebelahan,” cerita Salih sambil mendedahkan itulah sebab mengapa dia menolak apabila penulis mahu mengambil gambarnya bersama isteri- isterinya di awal perkahwinan keempatnya.

Raha yang sejak awal mendiamkan diri sepanjang perbualan kami itu, tiba-tiba berkata;

“Kesian Abang, banyak dugaan yang dihadapinya. Raha sendiri tak tahu kenapa Raha boleh termakan hasutan individu berkenaan. Pada waktu itu, Raha benci sangat tengok Abang yang didakwa individu itu tidak adil pada Raha.

“Setelah kejadian itu, Raha jadi takut bukan sahaja untuk bercakap dengan kawan-kawan, malah dengan madu-madu pun Raha takut.

“Sedangkan sebelum ini kami seperti adik beradik. Tidak ada perasaan cemburu atau dengki kerana kami redha dengan takdir.”

Kini kata Raha, dia bersyukur kerana dapat hidup damai dan bahagia bersama madu-madunya iaitu Norlizah Mamat,48, (isteri pertama), Norfara Wahida Sulaiman,34, (isteri kedua) dan Samihah.

Tauke kopi

BERKAHWIN empat bukanlah setakat nafsu semata-mata sebaliknya tanggungjawab sebagai suami dan ayah tidak pernah diabaikan oleh Salih Yaccob.

Menyedari betapa perlunya dia memberikan kemewahan kepada setiap isteri dan anak-anaknya, Salih sejak tiga bulan lalu mengorak langkah dalam bidang perniagaan.

Jika sebelum ini dia pernah dilantik sebagai duta sebuah produk kesihatan, kini bermodal RM200,000 bersama rakan kongsi, Salih membuka sebuah kilang memproses kopi di Johor.

Kopi kesihatan yang dikenali SY Cafe kini dikendalikan oleh anaknya, Irfan Azwan.

“Syukur alhamdulillah walaupun baru beroperasi dua bulan, jualan di Johor sahaja sudah mencecah RM30,000 sebulan.

“Saya yakin jualan ini akan mencapai lebih daripada itu apabila kami memulakan pemasarannya di seluruh Malaysia,” kata Salih.

Selain SY Cafe, Salih juga menjadi duta SY Food dengan diberi saham 30 peratus oleh syarikat yang terletak di Pulau Pinang.

SY Food mengeluarkan lapan produk makanan antaranya kicap, sos dan rempah kari.











.

Isu legging – Yuna minta maaf

Imej dan penampilan penyanyi dan komposer wanita popular, Yuna kerap menjadi perhatian apabila muzik yang dihasilkannya mendapat sambutan baik oleh semua penggemar seni tanah air sejak tiga tahun lalu. Kejayaan dan anugerah yang dirangkul sama ada di dalam atau luar negara membuatkannya dihormati kerana dia adalah contoh terbaik bagi pengkarya muzik tempatan tatkala ini.

Punya siri kerjaya yang membanggakan, latar belakang pendidikan bagus, idea memberangsangkan dalam karya dan paling penting ialah kesetiaan mengenakan hijab di kepala tidak kira ke mana jua. Bagaimanapun, ada di kalangan peminatnya tidak berpuas hati dengan penampilan bertudung Yuna yang dipadankan dengan seluar legging berwarna kelabu dalam klip video Someone Out Of Town.

Salah sebuah dari tiga lagu EP dirakam di Amerika Syarikat (AS) tahun lalu selain Coffee dan Fears and Frustrations yang turut dimuat dalam album kedua Yuna berjudul Terukir Di Bintang. Mengajukan persoalan tersebut kepada pemilik nama Yunalis Zaraai menyebabkan air mukanya sedikit berkerut sebelum disusuli dengan senyuman.

“Semakin lama dalam industri semakin saya tahu apa yang sensitif atau tidak kerja sebagai anak seni. Tapi saya bertanggungjawab 100 peratus terhadap pemakaian saya. Maknanya tak ada siapa yang suruh saya pakai itu atau ini.

“Dalam bab ini, saya faham perasaan orang bila nampak saya bertudung dan memakai jagging, bukan legging dalam klip video itu. Andai ada yang terasa, saya mohon maaf.

“Apa pun teguran daripada orang, saya terima dan mana yang tak betul, saya jadikan panduan,” jelas wanita berusia 25 tahun ini penuh berhemah.

Yuna juga mengaku bahawa dia selesa memakai seluar jenis skinny sejak mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Anak kelahiran Alor Star, Kedah ini juga menyangkal andai ada yang mengatakan dia mula mengenal seluar jenis sebegitu sejak bergelar artis arus perdana.










.

Pengantin baru unik..!


Transit aliran ringan (LRT) dan bas RapidKL yang dikendalikan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) melakar sejarah apabila menjadi pengangkutan awam rasmi bagi rombongan pengantin baru di Selayang dekat sini.

Mohd. Shah Helmi, 24, dan Nor Yusnita Ramli, 26, serta 50 anggota rombongan mereka memilih menggunakan pengangkutan awam itu sebagai menyahut kempen "Kurang Kenderaan, Kurang Pencemaran" anjuran Prasarana.

"Dengan cara ini, kami dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sekali gus memberi sokongan kepada kempen ini," kata Nor Yusnita, yang merupakan Pembantu Perkhidmatan Pelanggan di Stesen LRT Bukit Jalil sejak tiga tahun lepas.

Beliau berkata, cadangan menaiki LRT dan bas RapidKL ke majlis menyambut menantu di kediaman keluarga suaminya di Taman Wilayah, Selayang mendapat sokongan syarikat itu.

"Syarikat memberi kebenaran kepada kami menggunakan perkhidmatan ini secara percuma," katanya.

Rombongan pengantin itu memulakan perjalanan mereka dari LRT Laluan Ampang pada 11.16 pagi untuk ke Stesen LRT Gombak sebelum menaiki bas RapidKL dan tiba di Taman Wilayah kira-kira 1.30 tengah hari ini.

Mohd. Shah Helmi, yang bertugas sebagai posmen di Pos Laju Batu Caves, turut memeriahkan lagi majlis perkahwinannya dengan kehadiran 15 rakan sekerja yang menaiki motosikal rasmi Pos Malaysia.

Sementara itu, ibu bapa pengantin lelaki iaitu Hamzah Hassan, 54, dan isteri Mailis Anwar, 50, berkata, majlis perkahwinan anak ketiga mereka ini merupakan majlis gemilang yang pernah mereka adakan.

Ketua Stesen Operasi Laluan Ampang, Tarmize Mohd. Ansor berkata, acara seperti ini adalah julung kali diadakan oleh RapidKL bagi tujuan mempromosikan kempen "Kurang Kenderaan, Kurang Pencemaran" kepada orang awam.

"Kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna untuk mengurangkan penggantungan terhadap kenderaan persendirian serta memilih untuk menggunakan pengangkutan awam bagi menyelamatkan bumi dan meningkatkan kualiti hidup," katanya.

Kempen anjuran Prasaran itu, yang dimulakan pada 20 September lalu dan akan berlangsung selama setahun.












.

Ini kisah Yusry dan Lisa Surihani


Pasangan selebriti, Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim telah mengubah lokasi majlis pernikahan mereka pada 23 Februari ini daripada cadangan awal di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya ke Hotel Marriot Putrajaya.

Lisa menjelaskan, perubahan lokasi itu yang dibuat selepas berbincang dengan keluarga Yusry bagi mengelakkan majlis tersebut mengganggu jemaah di masjid berkenaan.

"Kami mengadakan majlis pernikahan selepas Asar. Jadi, kami bimbang mengganggu orang yang datang solat Asar di masjid itu. Majlis pernikahan yang berlangsung juga kemungkinan akan berlanjutan ke waktu Maghrib.

"Saya juga fikir bagi pihak keluarga Yusry, keluarga saya dan rakan-rakan perempuan yang mungkin tidak dapat memasuki masjid atas faktor uzur," kata Lisa ketika ditemui selepas sidang media memperkenalkan pelakon-pelakon filem Ular terbitan KRU Studios di pejabat KRU Studios di sini semalam.

Menurutnya, majlis resepsi perkahwinan tetap diadakan di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari.

Menyentuh persiapan perkahwinan, Lisa berkata, setakat ini semuanya berjalan lancar.

"Malah, kami juga sudah menjalankan ujian HIV baru-baru ini selain mengikuti kursus kahwin pada 9 dan 10 Januari ini.

"Untuk temankan Lisa, Yusry sanggup menghadiri kursus kahwin sekali lagi, "katanya.

Lisa Surihani memberitahu terharu dengan bakal suaminya, kerana bertegas untuk menemaninya menghadiri kursus pra-perkahwinan pada 9 Januari nanti.

Lisa berkata, walaupun Yusry tidak perlu menghadiri kursus tersebut dia ingin menemaninya sebagai tanda sokongan kepadanya.

"Saya cakap dengan abang (Yusry) tak payah pergi tapi dia bertegas jugak untuk menemani saya pada kursus itu nanti sebagai tanda sokongan kepada saya," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai persiapan perkahwinannya, Lisa berkata, dia bertuah kerana ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakannya banyak membantu dalam menyiapkan proses itu. Katanya, walaupun mereka masing-masing sibuk dengan pelbagai aktiviti masing-masing namun bersyukur semua yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Ramai yang menolong dalam memudahkan persiapan kami dan paling penting baju nikah dan untuk bersanding telah pun ditempah.

"Mengenai konsep dan persiapan lain semuanya masih dalam perbincangan dan kami sedang usahakannya bersama-sama," ujarnya.











.

Terpisah kerana adat


Gara-gara dilahirkan dalam keluarga yang terlalu ramai anak perempuan, seorang wanita, Lee Kon Kiew, 56, menghadapi detik pahit apabila dipisahkan dengan kakak kembarnya, Lee Kon Lin oleh ibu mereka ketika baru dilahirkan pada 2 November 1955 di Hospital Kuala Lumpur.

Kon Lin telah diserahkan kepada seorang jururawat keturunan Melayu di wad bersalin hospital berkenaan lantaran kepercayaan masyarakat Cina yang menganggap anak perempuan yang terlalu ramai hanya menyusahkan keluarga.

Pada waktu itu, bapa Kon Kiew iaitu Lee Kow bekerja sebagai mekanik manakala ibunya, Choong Chow Thye pula menoreh getah.

Chow Thye yang ketika itu sudah mempunyai enam anak perempuan yang masih kecil bertindak memisahkan pasangan kembar itu selepas didesak oleh ibu mertuanya yang menganggap kelahiran mereka hanya akan menambahkan bebanan keluarga.

Menurut Kon Kiew, jika ditakdirkan kembarnya itu seorang lelaki, mungkin dia yang akan diserahkan kepada jururawat tersebut.

Keputusannya untuk memisahkan kembar perempuan tersebut tidak mendapat bantahan daripada suami, Lee Kow memandangkan mereka sekeluarga hidup dalam serba kedaifan.

Kon Kiew berkata, dia kini teringin dan rindu untuk bertemu dengan kakak kembarnya yang dipercayai telah menganut agama Islam dan menggunakan nama Fazilah Ibrahim setelah dibesarkan oleh keluarga Melayu sejak kecil.

“Saya ingin sangat bertanyakan kisah hidupnya sepanjang dibesarkan oleh keluarga Melayu,” katanya.

Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, kali terakhir dia melihatnya wajah kakak kembarnya pada sekeping gambar yang dipercayai dikirimkan oleh keluarga angkat dari Singapura kira-kira tiga tahun lalu.












.

Maut kereta dihempap dahan pokok


Seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pontian maut manakala teman lelakinya parah apabila kereta yang dinaiki dihempap dahan pokok tembusu di persimpangan Jalan Gertak Merah - Dato' Menteri berhampiran Sekolah Kanak-Kanak Istimewa Johor Bahru di sini semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Sintayana Abas , 25, yang mengikuti kursus jahitan di IKBN berkenaan maut dipercayai akibat kecederaan di kepala manakala teman lelakinya yang parah dikenali sebagai Farhan, 25.

Difahamkan ketika kejadian, hari hujan dan mangsa dalam perjalanan dari arah Zoo Johor ke pusat bandar raya dan apabila tiba di lokasi berkenaan tiba-tiba sebatang dahan menghempap kereta jenis Proton Saga yang dipandu Farhan.












.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!