Monday, January 16, 2012

Rela mati daripada ditangkap

Seorang pencuri membunuh diri di hadapan polis dan penduduk yang mahu menangkapnya.

Kejadian berlaku selepas dia menembak seorang wanita untuk menyamun begnya di dalam van mini awam di sini, kelmarin, kata polis. “Pencuri dan dua konconya cuba menyamun beg tangan milik seorang penumpang, Rahma Nurbaiti ketika mereka menaiki van mini.


“Bagaimanapun, Rahma enggan melepaskan beg tangannya membuatkan pencuri itu berang,” kata Ketua Polis Bandung, Sangi Nugraha.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian menembak Rahma di perut dan cuba melarikan diri. Apabila dikepung orang ramai dan polis, lelaki itu mengambil keputusan membunuh diri dengan menembak dirinya.










.

Dua Panda Gergasi Mulakan Kehidupan Baru


Dua ekor beruang panda gergasi meninggalkan China untuk memulakan kehidupan baru di Perancis.

Sebuah kapal terbang khas yang ditempah untuk membawa panda betina, Huan Huan dan panda jantan, Yuan Zai berlepas dari bandar Cengdu pada Ahad.

Kedua-dua panda tersebut akan ditempatkan di zoo Beauval, Perancis selama 10 tahun di bawah perjanjian kajian di antara China dan Perancis.

Perpindahan sepasang panda geragasi ke Perancis merupakan kali pertama dilakukan sejak lebih 10 tahun.

Pengunjung zoo boleh melihat gelagat sepasang panda berusia tiga tahun itu bermula 11 Februari depan.

China sering menghantar panda untuk merapatkan hubungan dengan negara lain.

Bulan lalu, dua ekor panda dari China dihantar ke zoo Edinburgh di Scotland.

Panda merupakan spesies terancam.










.

Kerusi pesawat terbakar, pesawat berpatah balik


Sebuah pesawat Japan Airlines yang baru berlepas terpaksa berpatah balik selepas satu daripada kerusi penumpang di kelas perniagaan terbakar.

Menurut agensi berita Jiji Press dan Kyodo News, kebakaran kecil di pesawat Boeing 777 yang membawa 260 penumpang dan anak kapal itu berpunca daripada pemetik api, tetapi pemiliknya masih belum dapat dikenal pasti.

Walaupun tiada sebarang kecederaan berlaku, penerbangan ke Sydney dari lapangan terbang Narita itu terpaksa ditangguhkan.










.

Kenali Laura Kaeppeler


Laura Kaeppeler dari Wisconsin dinobatkan sebagai Ratu Cantik Amerika Syarikat (AS) 2012 dalam satu pertandingan yang telah dikemas kini dengan format rancangan realiti televisyen di sini, semalam.
Format terbaru itu turut menyaksikan seorang daripada peserta selamat daripada penyingkiran.

Kaeppeler dipilih menjuarai pertandingan selepas mempersembahkan nyanyian opera selain berjalan di atas pentas dengan memakai pakaian mandi dan gaun rona hitam yang menawan.
Ditanya soalan berhubung perpecahan parti-parti politik di Washington, Kaepeller berkata, sebagai ratu cantik ia mewakili semua pihak dan dalam menghadapi kemelut ekonomi, ahli-ahli politik perlu menyelami keperluan negara ini.

Sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang dalam pertandingan yang disertai 53 wanita dari seluruh AS itu, Kaeppeler menitiskan air mata dan mengucapkan terima kasih berulang kali.
Betty Thompson yang mewakili Oklahoma berada pada tempat kedua diikuti Kaitlin Monte dari New York, Jennifer Sedler (Arizona), dan Noelle Freeman (California).

Pertandingan tersebut disiarkan menerusi rangkaian televisyen ABC anjuran Organisasi Ratu Cantik AS bertujuan membantu golongan belia wanita di negara ini membina personaliti dan kerjaya yang diidami.


Pada 2011, organisasi terbabit menawarkan wang tunai berjumlah lebih AS$45 juta (RM139.5 juta) serta bantuan biasiswa.
Pertandingan ratu cantik disiarkan di televisyen sejak 1954 dan menjadikan ia sebagai rancangan siaran langsung keempat tertua di AS.











.

Lemas memancing di Dubai


Seorang juruterbang warga Malaysia lemas, manakala empat lagi rakan senegaranya terselamat selepas bot pancing dinaiki mereka terbalik dipukul ombak besar di Perairan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dihanyutkan arus deras selama tujuh jam awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi (waktu tempatan) itu, Saipul Mushi Shaari, 41, juruterbang Etihad Airways sejak sejak tiga tahun lalu dikatakan keluar memacing dari Pelabuhan Mina, Abu Dhabi bersama tiga rakan setugasnya dan seorang sepupu rakannya, menggunakan bot laju dipercayai miliknya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tengah laut, angin kencang berserta ombak besar menyebabkan bot mereka terumbang-ambing lalu terbalik, mengakibatkan kesemua mangsa tercampak ke laut sebelum dihanyutkan selama tujuh jam dalam cuaca buruk hingga ke laluan perkapalan antarabangsa.

Ketua Canseri Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi, Abdullah Ma’amor Ibrahim ketika mengesahkan kejadian, berkata semua mangsa ditemui berpaut pada boya penanda laluan perkapalan antarabangsa itu kira-kira jam 8 pagi (waktu tempatan) oleh sekumpulan pemancing yang secara kebetulan melalui perairan itu sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan Pengawal Pantai UAE.

“Semua mangsa ditemui agak jauh dari lokasi bot dilaporkan terbalik, berdasarkan maklumat diperoleh, mereka tidak sempat membuat sebarang panggilan kecemasan ketika kejadian berlaku. Mujur ada kumpulan pemancing melalui kawasan itu dan terlihat mereka sebelum menghubungi Pengawal Pantai UAE. Jika tidak, sudah tentu mereka dihanyutkan lebih jauh.

“Dalam operasi menyelamat itu, seorang mangsa dilaporkan ditemui sudah meninggal dunia, manakala empat lagi mangsa ditemui dalam keadaan tidak bermaya kerana kesejukan dan terlalu lama berendam dalam air,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain Allahyarham, mangsa terselamat dikenali sebagai Taslem Shabudin yang juga seorang juruterbang di Etihad Airways; dua jurutera penyelenggara pesawat, Azrul Azam Bakar dan Siva Pragathesewaran Veeriah, selain sepupu Siva, Shri Kumaran Rajendran yang dikatakan baru tiba dari Kuala Lumpur untuk bercuti di bandar raya itu.
Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Sheikh Khalifah, Abu Dhabi, dengan dua daripadanya sehingga semalam masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan susulan, manakala dua lagi sudah dipindahkan ke wad biasa, namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Hasil siasatan mendapati juruterbang itu meninggal dunia akibat lemas. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas jenazahnya bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, malah pihak kedutaan akan menguruskan pengebumiannya secepat mungkin sebaik Jabatan Polis Abu Dhabi membenarkan mayatnya dituntut, ” katanya.

Abdullah berkata, pihaknya sudah memaklumkan tragedi menimpa juruterbang terbabit kepada keluarganya di Pulau Pinang.











.

Tipu gred jadi pengarah

Seorang doktor wanita bergelar Datuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dengan jenayah pemalsuan dokumen bagi membolehkannya beberapa kali naik pangkat dalam tempoh singkat.

Bekas pengarah sebuah agensi kerajaan itu dikatakan memalsukan dokumen kenaikan pangkat bermula dari Gred 48 (memangku) hingga ke Gred 52 dan ke Gred 54 dalam tempoh cuma tiga tahun iaitu dari 2009 hingga 2011.

Temberang Datuk berusia 39 tahun itu pecah apabila siasatan melalui profil perkhidmatannya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapati surat terakhir yang dikeluarkan bagi perjawatannya hanya setakat pegawai Gred 48 (memangku) saja.

Menurut sumber, Datuk itu yang bertugas di sebuah negeri dikatakan memberi salinan dokumen berbentuk pengesahan lantikan pegawai Gred 48 hingga ke Gred 52, yang kononnya dikeluarkan JPA kepada kerani pejabatnya bagi proses pembayaran emolumen mengikut kelayakan.

“Pada 2009, Datuk berkenaan mendakwa menerima surat daripada ibu pejabatnya di Putrajaya yang memaklumkan dia dinaikkan pangkat dan disahkan jawatan ke Gred 48 serta mengarahkan pegawai di bahagian pentadbiran membuat perubahan gaji.


“Sekali lagi pada tahun sama, dia mendakwa menerima surat daripada ibu pejabat yang memaklumkan dia diarahkan memangku jawatan Gred 52 Khas Untuk Penyandang (KUP) berkuatkuasa Januari 2010,” katanya.










.

Ajalnya disitu....


“Ketika saya cuba mengangkat pagar itu, Bibik masih bernyawa, tetapi beberapa minit kemudian dia diam dan tidak bergerak,” kata Shahrul Hassan, 41, menceritakan insiden amahnya terbunuh akibat dihempap pintu pagar rumah majikannya di Jalan Raja Udang, Larkin Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Oneh, 50-an, tergelincir ketika membersihkan halaman rumah dan memaut pintu pagar bagi mengelakkan terjatuh, namun pagar besi seberat lebih 200 kilogram itu tumbang lalu menghempap kepala serta badannya.

Shahrul berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar dentuman kuat.

Sebaik keluar rumah untuk mencari punca bunyi, dia menemui Oneh yang dipanggil Bibik dan bekerja dengan ibu bapanya sejak lebih tiga tahun lalu, berlumuran darah dihempap pintu pagar.

“Saya sedih melihat keadaannya dan tidak banyak yang dapat kami buat untuk menyelamatkannya. Saya juga sebak mengenangkan hasrat Bibik mengerjakan haji tidak tercapai kerana dia pernah memberitahu wang simpanannya sudah mencukupi.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini dan menganggap ia sebagai takdir Allah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.











.

Cerita Khairul Fahmi


Selepas menempa nama dalam arena bola sepak negara, penjaga gol terbaik Asia, Khairul Fahmi Che Mat, 22, melangkah setapak apabila menceburi bidang perniagaan dengan menubuhkan syarikat, Khairul Fahmi Resources (M) Sdn. Bhd. (KFR).

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apex berkata, idea untuk menubuhkan KFR dicetuskan oleh beliau sendiri dan sebahagian perancangan jangka panjangnya sebelum bersara daripada sukan bola sepak, suatu hari nanti.

"Ini adalah sebagai perancangan masa depan saya. Untuk makluman KFR ini akan diuruskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan kakitangan sokongan yang dilantik. Penubuhan syarikat ini tidak akan menjejaskan karier bola sepak saya.

"Sebagai permulaan, KFR menumpukan kepada produk pelancongan. Untuk itu, kita telah menjalin kerjasama dengan Rakyat Travel Sdn. Bhd. yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran syarikatnya di Hotel Sutera Inn di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Rakyat Travel, Mohd. Badri Osman dan CEO KFR, Mohd. Fauzi Abduri.

Serentak dengan pelancaran syarikat berkenaan, tunggak utama The Red Warriors itu turut melancarkan kelab peminatnya iaitu Kelab Peminat Khairul Fahmi Che Mat (KFCM).

Mengulas mengenai KFCM, beliau memberitahu, penubuhan kelab itu bertujuan merapatkan hubungan antara beliau dan peminatnya di seluruh negara.

"KFCM menawarkan pelbagai pakej menarik untuk mereka yang berminat bermula RM10 hingga RM250. Setiap ahli yang berdaftar akan mendapat baju dan topi eksklusif serta potongan bagi pakej pelancongan yang disediakan oleh KFCM," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Badri berkata, kerjasama tersebut tercetus hasil pelawaan KFR untuk mempromosi jenama Rakyat Travel.

"Kita sememangnya sedang mencari rakan untuk berkongsi kepakaran yang ada. Khairul Fahmi ada jenamanya sendiri dan mempunyai rangkaian yang luas, begitu juga dengan syarikat kami. Kerjasama ini akan membentuk satu gandingan kuat antara kedua-dua pihak," jelasnya.











.

Dimana imam?


Ketika mangsa banjir sibuk berpindah ke Surau Pekan Sahari malam tadi, penduduk di sini gempar apabila imam surau berkenaan terjatuh ke dalam lubang mendap di tengah jalan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Bandar Permaisuri.

Ismail Mohd., 75, nyaris maut apabila motosikal ditungganginya terjerumus ke dalam lubang yang tiba- tiba mendap sedalam kira-kira dua meter sebaik sahaja pulang ke rumah selepas selesai solat Isyak.

Berikutan kejadian yang berlaku pukul 9.30 malam itu, warga emas itu patah tulang hidung selain cedera di bahagian muka.

Ismail yang terjatuh bersama motosikalnya tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Setiu namun keadaannya dilaporkan stabil.

Anak mangsa, Maliki Ismail, 58 memberitahu, ketika kejadian, bapanya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bukit Pelong tidak jauh dari tempat kejadian.

"Mujurlah ada orang yang berada di surau yang dijadikan pusat pemindahan ternampak kemalangan itu dan segera membantu ayah saya selain beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu.

"Jalan itu mungkin mendap akibat hujan lebat di kawasan ini," katanya ketika ditemui di Hospital Setiu, hari ini.

Menurut Maliki, ayahnya bernasib baik kerana tiada air di dalam lubang berkenaan.

"Keadaan ayah saya kini stabil tetapi percakapan dia masih belum jelas sebab luka di bahagian mulutnya," katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa telah memasang papan tanda amaran bagi mengelak pengguna jalan raya lain terlibat kemalangan ekoran kejadian sebelum kerja baik pulih dijalankan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani dan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee turut menziarahi Ismail serta meninjau lokasi tempat kejadian.












.

Bas terbalik kerana masalah brek?


Seramai 20 penumpang bas mengalami detik mencemaskan selepas bas yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di Jalan Tuaran Lama, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, bas mini itu dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Inanam dikatakan terbabas ke laluan bertentangan sebelum terbalik.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Salah seorang penumpang, Mohammad Irham, 42, berkata, kemalangan berlaku terlalu pantas dan menyebabkan semua penumpang panik.

"Semasa kejadian, saya menaiki bas dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Inanam tetapi tiba-tiba saya merasakan kenderaan itu terhuyung-hayang sebelum ia terbabas ke sebelah jalan.

"Keadaan waktu itu amat panik dan kelihatan semua penumpang bertindih-tindih. Apa yang lebih menakutkan adalah kami risau bas tersebut akan meletup," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu seorang saksi yang enggan dikenali berkata, bas berkenaan pada mulanya cuba memotong sebuah kenderaan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Sementara itu, Ketua Trafik Kota Kinabalu, Deputi Supritendan Peter Umbuas berkata, polis telah mengambil keterangan pemandu bas berkenaan.

"Kita masih menyiasat kes ini dan berdasarkan keterangan pemandu bas itu, dia mendakwa kenderaan tersebut mengalami masalah brek sebelum terbabas dan terbalik," katanya.

Tambahnya, hanya tiga penumpang mengalami cedera ringan dalam kejadian tersebut.










.

Kebakaran di Tawau


Dua beradik perempuan rentung selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran yang melibatkan tujuh buah rumah di Kampung Titingan, di sini awal pagi ini. Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.30 pagi, Andi Herah Andi Muddah, 19, dan adiknya, Puteri Intan Andi Muddah, 6, ditemui dalam keadaan berpelukan di dalam sebuah bilik sebaik sahaja api berjaya dipadamkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek berkata, pihaknya menemui mayat dua beradik itu selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi ini.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau dan buat masa ini, pihak kami masih menyiasat punca sebenar kebakaran itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, seramai 21 anggota bomba bersama empat jentera bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 3.50 pagi. Sementara itu, Andi Herah atau lebih dikenali sebagai Nowet, sepatutnya melaporkan diri di Kolej MAHSA cawangan Kota Kinabalu pada 28 Januari ini.

Dua beradik itu masing-masing merupakan anak kedua dan keempat daripada lima beradik, tinggal bersama ibu bapa dan dua lagi adiknya di tingkat bawah rumah dua tingkat manakala neneknya dan 10 anggota keluarganya di tingkat atas rumah itu. Nenek mangsa, Rahmah Beddu Rahman, 65, yang tinggal di tingkat atas berkata, dia menyedari kebakaran itu setelah mendengar teriakan dari luar rumahnya yang mengatakan ada kebakaran.

"Dalam keadaan gelap, saya bangun dan terus mencari cucu saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, usaha bapa Andi Herah, Andi Muddah Manawang, 51, untuk menyelamatkan dua anaknya itu bagaimanapun gagal walaupun selepas beberapa kali menendang pintu bilik anaknya itu yang terkunci dari dalam. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, insiden kebakaran itu turut menyebabkan 74 orang daripada 23 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

"Kita semua pasti bersedih kerana musibah kebakaran kali ini bukan sahaja memusnahkan harta benda dan tempat tinggal penduduk malah turut melibatkan kehilangan nyawa.

"Bagaimanapun, saya berharap kesemua mangsa dapat bersabar dan menganggap tragedi ini sebagai ketentuan Allah," katanya.

Tambahnya, kerajaan akan memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa terlibat bagi meringankan beban mereka.












.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!