Saturday, February 25, 2012

Lada paling pedas di dunia


Satu kajian saintifik yang dijalankan oleh Institut Chile Pepper di New Mexico State University (NMSU) mendapati, Trinidad Moruga Scorpion merupakan lada paling pedas di dunia ini.
Pengarah Institut Chile Pepper, Paul Bosland berkata, kajian itu turut dijalankan terhadap beberapa jenis baka lada yang dikatakan mempunyai reputasi paling pedas di dunia termasuk Trinidad Scorpion, 7-pot, Chocolate 7-pot dan Bhut Jolokia.

Bhut Jolokia merupakan pemegang rekod dunia sebelum ini yang disahkan oleh Rekod Dunia Guinness pada 2007.

Lada Trinidad Moruga Scorpion mencatat jumlah keputusan tertinggi dengan memperoleh lebih 1.2 juta Unit Haba Scoville (SHU) dan lada Chocolate 7-pot pula merekodkan hampir 1.17 juta SHU.
Lada 7-pot berada pada tempat ketiga dengan memperoleh lebih 1.06 juta SHU manakala Trinidad Scorpion dan Bhut Joloki masing-masing mencatat 1.03 juta SHU dan 1.02 juta SHU.






.

Anak yang menangis disamping mayat ibunya selama 4 hari setelah ibunya mati mengejut


Seorang kanak-kanak telah ditemui di sebelah mayat ibunya selepas si ibu meninggal dunia di rumah mereka.
Patricia Duru, 38, mati ketika ditemui di rumah di Manchester sehingga saudara, yang tinggal di Jerman, bergegas ke rumah itu setelah panggilannya tidak berbalas.

Polis memecah masuk ke rumahnya di Openshaw dan diikuti bunyi menangis ke bilik tidur di tingkat atas.
Pegawai mendapati Cik Duru terbaring di atas katil dengan anaknya menangis disebelahnya. Cik Duru, kali terakhir dilihat empat hari sebelum itu, telah meninggal dunia akibat sindrom kematian orang dewasa secara mengejut. Kanak-kanak itu telah dibawa ke rumah jiran dan diberikan susu sebelum dirawat oleh paramedik tanpa sebarang kecederaan.

Alexandra Stuart-Brinkley, yang tinggal berhampiran rumah Cik Duru di jalan Greenside berkata polis memberitahu jiran, kemungkinan bahawa Cik Duru telah mati selama dua hari.

Dia berkata: "Saya fikir kita semua terkejut bahawa tiada siapa yang perasan. Ia satu perkara yang tragik telah berlaku, terutamanya apabila keluarganya tinggal jauh darinya. 'Saya hanya mengenalinya seorang yang sangat mesra dan menawan. Kanak-kanak itu sentiasa berpakaian dan juga di bawa keluar, bersiar-siar. '

Inkues ke atas kematian Cik Duru di mahkamah majistret Manchester mendengar bagaimana polis telah memecah masuk ke rumahnya pada 15 September tahun lepas.

Richard Bonshek, seorang pakar patologi di Manchester Royal Infirmary, berkata dia berfikir Cik Duru telah meninggal dunia sebab semula jadi.

Katanya beliau tidak dapat mengesan kewujudan dadah atau alkohol dalam badannya.
Penolong Timbalan koroner Carolyn Singleton berkata punca kematian adalah sindrom kematian orang dewasa yang tiba-tiba. Beliau berkata ia adalah tidak diketahui apa puncanya tetapi berkata 'kegagalan jantung' adalah satu kemungkinan.

Cik Singleton menyimpulkan bahawa Cik Duru telah meninggal dunia sebab semula jadi dan mengucapkan 'ucapan takziah ikhlas buat seluruh keluarga Cik Duru.





.

Kisah Saleh Yaacob


JIKA difikirkan, bukan mudah bagi lelaki ini untuk membahagikan masa bersama isteri-isterinya apatah lagi dengan anak-anak. Namun bagi salah seorang tunggak utama segmen Sinar Pagi di Sinar FM bersama Kak Engku dan Khairil Rashid ini, keluarga adalah keutamaannya.

Tidak mahu menjadikan ‘tidak cukup masa’ sebagai alasan, Salih tetap memastikan mempunyai kelapangan untuk bersama-sama anak-anak mahupun empat isteri.
Baru-baru ini, Salih Yaacob bersama dua orang isteri dan lima orang anaknya beriadah di Tasik Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut penghibur yang sudah menceburi bidang seni seawal tahun 80-an ini, meluangkan masa bersama keluarga adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi dirinya.

“Tidak dinafikan, kadang-kadang saya memang sibuk tetapi kalau ada masa terluang, memang saya akan ajak anak-anak dan isteri untuk keluar bersama.

“Bukan apa, walau sesibuk mana pun kita bekerja, dalam masa yang sama juga kita harus memberi perhatian dan tumpuan kepada keluarga.

“Lebih-lebih lagi keluarga saya pun memang jenis yang suka keluar berjalan-jalan, jadi memang meriahlah kalau keluar ramai-ramai,” katanya lagi.

Selain itu, Salih juga mengakui aktiviti riadah bersama keluarga yang selalu dilakukannya itu dapat membantu untuk mengurangkan tekanan.
Meskipun sekadar berjalan-jalan untuk mengambil angin, ia dapat melegakan perasaan, terutamanya selepas aktiviti seni yang padat.

“Apabila bersama keluarga, hilang jugalah segala masalah yang ada di kepala.

“Malah dalam masa yang sama, ia sebenarnya turut memberi peluang kepada anak-anak saya untuk lebih mengenali antara satu sama lain kerana mereka berlainan ibu.

“Aktiviti riadah sebegini turut dapat merapatkan hubungan mereka adik beradik.

“Contohnya hari ini, saya bawa empat orang anak saya dengan isteri kedua iaitu Effa Madiha, 19, Effa Nageeha, 15, Effa Fateha, 9 tahun dan Mohd Ehsan, 11 tahun.

“Sementara Farah Aqeesya, 3 tahun adalah anak bersama isteri saya yang ketiga. Jadi memang perkara sebegini dapat membuatkan mereka lebih bersatu,” ujar bapa kepada 11 orang anak ini lagi.

Selain bersiar-siar di lokasi berdekatan kediaman, Salih juga meletakkan hasrat untuk membawa keluarga besarnya melancong ke luar negara apabila berkesempatan.
Jika tahun lalu, dia telah membawa seluruh isi keluarganya melancong ke China, tahun ini dia merancang untuk mengadakan rombongan ke Singapura pula.

“Percutian di luar negara juga adalah salah satu cara saya meraikan ahli keluarga yang sangat memahami kesibukan saya selama ini.

“Walaupun hanya sesekali apabila ada peluang, kesempatan itu menjadi sangat bermakna kerana seluruh keluarga akan turut serta dan di sinilah peluang untuk lebih mesra dan berkasih sayang antara isteri-isteri dan anak-anak yang lain,” katanya sambil tersenyum lebar.


Penyampai perlu menonjol

Setelah lima tahun berada bersama stesen radio nombor satu Malaysia, Sinar FM, tidak dinafikan Salih sememangnya mempunyai rangkaian peminat sendiri.

Merungkai sedikit persoalan mengenai bagaimana untuk menjadi penyampai radio yang dihormati, Salih mengakui perkara tersebut datang daripada kedudukan dan juga reputasi penyampai itu sendiri.

“Penyampai tidak boleh stereotype dan selalu memikirkan apa yang terbaru mahu diberikan kepada pendengar. Apa yang lebih penting adalah kebolehan penyampai radio itu dalam menghidupkan suasana.

“Penyampai yang berjaya ialah yang boleh memberi kesan kepada pendengar dan dapat menghiburkan mereka melalui corong radio,” ujarnya seraya memberikan tips berguna kepada penyampai generasi baru hari ini.






.

Nekad berjalan kaki ke Mekah


Seorang warga Malang, Jawa Timur nekad untuk berjalan kaki ke Mekah selepas insiden langgar lari ke atas anaknya tidak mendapat keadilan di negara ini.
Indra Azwan, 53, berkata, dia telah melakukan pelbagai usaha untuk menegakkan keadilan atas kematian anaknya itu sehingga menemui Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 2010, tetapi semuanya menemui jalan buntu.

"Aksi jalan kaki ke Mekah saya lakukan hanya untuk mendapatkan keadilan. Di Indonesia keadilan sudah tidak ada lagi, yang ada hanya penipuan.

"Tanah suci Mekah menjadi pilihan terakhir saya untuk mendapatkan keadilan. Saya akan memohon petunjuk dan keadilan daripada Allah.

"Saya akan bermunajat dan berdoa kepada Allah dan meluahkan semua ketidakadilan di Indonesia kepada-Nya," kata Indra sambil berjalan kaki dan membawa bendera merah putih kepada Kompas.com.

Anaknya, Rifki Andika, 12, telah dilanggar lari oleh seorang anggota tentera, Lettu Joko Sumantri pada 8 Februari 1998.
Aduan yang dibuatnya kepada polis tentera dan ketua polis Jawa Timur tidak mendapat pembelaan, malah suspek dibebaskan daripada tahanan selepas dua minggu insiden langgar lari itu berlaku.

Pada September 2006 pula, Mahkamah Tentera III-12 Surabaya menyatakan kes itu tidak boleh dibicarakan kerana suspek telah menjadi perwira menengah.
Indra masih tidak berputus asa sehinggalah Majlis Hakim Mahkamah Tentera pada Februari 2008 menyatakan kes itu tidak lagi boleh diterima kerana telah luput.





.

Pelajar hidapi penyakit urat simpul mahu jadi jururawat


Masalah kesihatan yang dideritai seorang pelajar perempuan dari Taman Berlian di sini tidak mematahkan semangatnya untuk belajar bagi mencapai cita-cita sebagai seorang jururawat.

Nor Amalina Mohd. Latiff, 19, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri yang menderita masalah urat simpul atau aneurysm blood di bahagian kepala itu kini menerima rawatan di Hospital Langkawi dan juga rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Bapanya, Mohd. Latiff Othman, 55, yang bekerja dengan Pos Laju Malaysia memberitahu, keluarganya bimbang dengan nasib yang menimpa anak kedua daripada tiga beradik tersebut.

"Keluarga kami bukan orang berada. Saya juga tidak mampu menyediakan duit yang banyak untuk kos rawatannya.

"Saya juga terpaksa mengambil cuti separuh gaji selama dua minggu kerana telah kehabisan cuti tahun bagi menjaga dan mendapatkan rawatan untuk Nor Amalina," katanya yang akan bersara pada Januari tahun depan.

Menurut Mohd. Latiff, dia juga harus memikirkan apakah yang boleh dilakukan selepas itu untuk menyara dan merawat penyakit Nor Amalina.
Sementara itu, Nor Amalina yang pernah dibedah sebelum ini memberitahu, dia mahu meneruskan pelajaran bagi memastikan cita-citanya sebagai jururawat tercapai.

"Saya mahu terus belajar tetapi pada masa yang sama, sedih kerana terpaksa membebankan keluarga disebabkan penyakit saya ini," katanya.

Nasib malang Nor Amalina mendapat perhatian apabila diziarahi oleh wakil dari Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UUM, Mohd. Yusniadi Md. Sabri dan Ahmad Zabadi Mokhtar berkunjung ke rumah pelajar itu untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarganya.

Menurut mereka, sumbangan tersebut adalah sebagai tanda simpati Pusat Islam UUM kepada keluarga berkenaan dan juga menampung sedikit kos rawatan Nor Amalina.





.

Koleksi Cinta Buat Yang Tersayang


Walaupun bulan meraikan cinta sudah pun sampai ke penghujungnya, tidak salah rasanya bagi pasangan kekasih menghadiahkan lagu-lagu cinta menerusi album kompilasi yang dikeluarkan oleh Warner Music Malaysia iaitu The Best Of Love Songs, Love Stories dan Cinta Selama-Lamanya.

Penghasilan album kompilasi ini agak menarik kerana ia bukan sahaja memuatkan lagu-lagu lama sahaja, tetapi juga dicampurkan dengan lagu-lagu baru selepas melihat ia mendapat permintaan yang tinggi.

Maka, tidak hairanlah syarikat-syarikat rakaman pada hari ini banyak menghasilkan album sedemikian.

Menerusi album The Best Of Love Songs, ia terbahagi kepada enam keping cakera padat (CD) dengan menampilkan lebih daripada 20 penyanyi hebat yang antaranya seperti Whitney Houston (I Have Nothing), Toni Braxton (Un-Break My Heart), Boyz II Men (I'll Make Love To You), George Benson (Nothing's Gonna Change My Love For You), Karyn White (Super Women), Howard Jones (What is Love), Natalie Cole (Miss you Like Crazy) dan Bread (Everything I Own).


Selain itu, lagu-lagu daripada penyanyi-penyanyi hebat seperti Simply Red, The Orrs, Larry Graham, Richard Marx, LeAnn Rimes, Tina Turner, Duran Duran, Anita Baker, Paul Anka, Kool 7 The Gang serta Air Suply turut dimuatkan dalam album ini.

Dalam album Love Stories pula, ia terbahagi kepada enam keping CD dengan menampilkan sebanyak 90 buah lagu daripada penyanyi seperti Celine Dion, R Kelly, Muchael Buble, madonna, Jason Mraz, Rod Steward, Charice, Roxette, Christina Aguilera, Earth, Wind & Fire, Back Street Boys dan M2M.

Manakala album Cinta Selama-Lamanya (Vol 1 dan Vol 2) tampil dengan lagu-lagu hebat Sudirman, Gaya Zakry, Azizah Muhammad, Black Dog Bone, Kenny Remy & Martin, Ella, Man bai, Kartina Dahari, Fauziah Latiff, Rahimah Rahim dan Uji Rashid.

Antara lagu pilihan mStar Online dalam album ini ialah Dua Insan Bercinta nyanyian Ella, Nilai Cintamu (Sudirman), Antara Anyir Dan Jakarta (Sheila Majid), Surat Terakhir (Anita Sarawak), Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi (Ramlah Ram) dan Cemburu (Datuk Khadijah Ibrahim).

Buat peminat yang membesar dengan penyanyi kesayangan masing-masing lagu-lagu lama yang dimuatkan masih lagi kekal mutu bunyinya.

Keempat-empat album ini merupakan koleksi cinta yang berbaloi untuk dibeli. Malah tidak semestinya ia hanya dihadiahkan kepada si kekasih, ia turut boleh diberi kepada teman rapat atau keluarga, sebagai tanda cinta dan sayang kepada mereka. -Mstar





.

[GEMPAR] Restoran yong tau foo diserbu

Beberapa pelanggan Islam yang sedang menikmati hidangan yong tau foo di sebuah restoran yang menjadi tarikan ramai termasuk di kalangan golongan kenamaan (VIP) di Ampang dekat sini hari ini, terkejut apabila premis itu diserbu kerana disyaki menjual makanan mengandungi protein babi.

Restoran dimiliki oleh pengusaha bukan Islam yang menjadi tarikan penggemar yong tau foo itu diserbu pada pukul 11 pagi oleh sepasukan pegawai penguat kuasa dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Serbuan dilakukan setelah PPIM baru-baru ini, menerima aduan daripada orang ramai yang ragu-ragu dengan status halal makanan dihidangkan, manakala sampel makanan yang diambil dari restoran terbabit apabila dihantar untuk dianalisis di sebuah makmal swasta pada Ahad lalu mengesahkan ia positif mengandungi protein babi.

Hasil pemeriksaan hari ini mendapati pemilik restoran yang sudah 20 tahun beroperasi itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) apabila mempamerkan logo halal swasta yang tidak diktiraf kerana bukan dikeluarkan oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.

Namun, analisis yang dilakukan semasa serbuan terhadap lima sampel makanan iaitu ibu sup, kuah sup, bebola ikan, sos dan yong tau foo goreng yang diambil dari restoran itu hari ini, tidak menemui unsur babi seperti hasil ujian sebelum ini.

Kelima-lima sampel makanan itu bagaimanapun akan diuji sekali lagi di makmal sebuah syarikat swasta, Taman Teknologi Malaysia (TTM) dan Jabatan Kimia bagi mengesahkan sama ada ia mengandungi bahan haram tersebut.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, pihaknya berasa kecewa dengan tindakan pengusaha restoran yang telah mengelirukan pelanggan Islam apabila meyakinkan mereka dengan mempamerkan sijil halal tidak diiktiraf dan mengambil pekerja berketurunan Melayu termasuk bertudung bekerja di premis mereka.

"Sebagai pengguna, saya kecewa dengan tindakan pemilik restoran yang tidak sensitif terhadap pelanggan Islam apabila cuba mengelirukan mereka dengan maklumat tidak benar," katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo pula berkata, pihak berkuasa perlu memantau dari semasa ke semasa logo halal membabitkan pengusaha bukan Islam.





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!