Tuesday, February 26, 2013

Akhirnya, mereka kantoi setelah 3 kali meragut


Perbuatan dua lelaki yang tekad meragut beg tiga penunggang motosikal berturut-turut dalam tempoh tiga jam mengundang padah, apabila salah seorang daripadanya berjaya ditangkap orang awam di Jalan Kubang Kurus, Taman Chukai Utama. Peragut yang berumur 29 tahun itu dicekup selepas meragut buat kali ketiga dengan menyentap beg dari bakul motosikal dinaiki dua wanita, masing-masing berusia 22 dan 24 tahun dalam kejadian kira-kira jam 5 petang. Terdahulu, kira-kira jam 2 petang, kedua-dua suspek yang menunggang sebuah motosikal meragut beg mangsa pertama di Jalan Bukit Mentok menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM300. Setengah jam kemudian, seorang lagi penunggang motosikal wanita menjadi sasaran apabila beg yang diletakkan dalam raga motosikal dan mengandungi wang tunai RM150 ditarik suspek ketika mangsa melalui laluan Kampung Pulau Tempurung.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, dalam kes ragut kali ketiga kedua-dua suspek tidak mudah melarikan diri, kerana mangsa bertindak mengejar suspek. “Apabila motosikal mangsa menghampiri motosikal suspek, suspek yang menjadi pembonceng bertindak menendang motosikal mangsa menyebabkan kedua-dua wanita yang menaiki motosikal itu jatuh ke atas jalan.

“Melihat keadaan itu, orang awam yang berada berdekatan yang bertindak mengejar, berjaya menangkap pembonceng terbabit, tapi penunggang berjaya melarikan diri,” katanya semalam. Menurutnya, lelaki terbabit yang merupakan penganggur dan beralamat di Air Putih kemudiannya diserahkan kepada polis dan ditahan reman selama empat hari bermula semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut, sementara suspek yang lolos kini sedang diburu polis. Che Suza berkata, dalam ketiga-tiga kes yang dilakukan dua suspek itu, mereka menghampiri motosikal mangsa sebelum bertindak menyentap dan melarikan beg yang diletakkan dalam raga motosikal. -SH






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!