Thursday, April 11, 2013

'Jenazah cedera parah' itu didapati hidup semula selepas 6 jam di isytihar mati


Dia sudah diisytiharkan mati berikutan kecederaan parah yang dialami, namun kira-kira enam jam selepas itu iaitu ketika ‘jenazahnya’ dituntut keluarga untuk urusan pengebumian, tiba-tiba jantungnya berdegup semula, sekali gus mengejutkan semua pihak. Itu keajaiban dan kekuasaan Allah yang diperlihatkan ke atas Ketua Tentera al-Qassam kawasan Zaitun, Muhammad al-Hasanad, 32. Muhammad berkata, kejadian itu berlaku selepas dia diserang puluhan pesawat tanpa juruterbang (drone) milik Israel pada 2008 menyebabkan dia cedera teruk termasuk kedua-dua kakinya terpaksa dipotong hingga paras paha. “Nyata, kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya. Saya sudah disahkan meninggal dunia namun selepas enam jam, jantung saya tiba-tiba berdenyut semula.

“Anggota keluarga dan sahabat handai yang ketika itu datang menuntut ‘jenazah’ saya untuk dikebumikan semuanya terkejut, lantas bersyukur dengan kekuasaan Allah,” katanya yang ditemani isteri, Fatimah Hasanad, 32. Mengimbas kejadian itu, Muhammad berkata, pada tahun berkenaan dia dan pasukan tentera pimpinannya berjuang melawan tentera Israel yang mahu merampas tanah Palestin. "Sebagai ketua, sudah semestinya saya menjadi sasaran tentera Israel. Tentera Israel sebenarnya pengecut kerana mereka tidak berani berlawan secara berhadapan sebaliknya hanya menghantar pesawat tanpa juruterbang untuk membunuh pejuang Islam," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian jam 9 pagi itu, dia dan anak buahnya berusaha menembak pesawat itu di dalam kawasan ladang buah zaitun di Zaitun. "Tiba-tiba lebih 10 pesawat itu berada betul-betul di atas kepala saya sebelum menghujani ratusan peluru dan bom beracun. Ketika itu, saya sangkakan sudah mati namun berserah kepada Allah kerana sudah bersedia untuk mati syahid demi mempertahankankan Islam. "Selepas itu saya terus tidak sedarkan diri dan hanya sedar beberapa hari kemudian sebelum keluarga dan rakan menceritakan yang saya mati hidup semula," katanya. Menceeritakan kejadian sama, Fatimah pula berkata, sebaik saja diberitahu suaminya sudah meninggal dunia, dia menangis mengenangkan nasib anak-anak yang masih kecil.

"Namun, saya sedari setiap pejuang di bmmi Palestin inginkan syahid...begitu juga suami saya. Jadi, saya tabahkan hati kerana sudah menjangka perkara itu akan berlaku," katanya. Menurutnya, selepas diserang jet tentera Israel, suaminya tudak dapat dikeluarkan daripada kawasan pertempuran kerana musuh menggunakan bom beracun. "Selepas beberapa jam barulah Muhammad berjaya dikeluarkan namun pakar perubatan mengesahkan dia mati di tempat kejadian dan dia dibawa ke bilik mayat Hospital al-Shifa. "Semua persiapan pengebumiannya sudah diuruskan sebelum jantungnya berdenyut semula enam jam kemudian.

Itu keajaiban dan kehebatan kuasa Allah. "Bagaimanapun, dua kaki Muhammad terpaksa dipotong dan dia melakukan pembedahan itu di Mesir dan sehingga kini dia tidak mendapat rawatan lanjutan atau menerima kaki palsu," katanya. Muhammad yang masih mengendalikan pergerakan tenteranya di kawasan berkenaan berkata, dia berharap rakyat Malaysia mampu memberikan sumbangan bagi membolehkannya mendapat rawatan di Malaysia. "Seorang daripada rakan saya sudah melakukan pembedahan itu di Malaysia. Malah, dia juga kini mempunyai kaki palsu. Saya pun mahukan begitu. "Saya mahu terus menabur bakti kepada rakyat Palestin selagi nyawa dikandung badan," katanya berharap badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia tampil membantunya. -HM





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!