Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gunong terpaksa hanya menghabiskan masanya di atas katil selepas disahkan menghidap sejenis kanser (Burkitt Lymphoma) dua bulan lalu. Muhammad Shahrul Amin Shaharin, 12, dari Kampung Alor Goncar, di sini, dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, semalam kerana dipercayai mengalami pendarahan dan muntah sejak kelmarin. Neneknya, Besah Sabtu, 50, berkata, ketumbuhan mula dikesan sekitar Februari lepas, apabila cucunya mengadu lehernya kelihatan membengkak sehingga ia makin membesar dari hari ke hari. “Mulanya kami sangka dia (Shahrul) terkena ‘bengkak cantik’, jadi hanya buat rawatan biasa saja. Namun, bila benjol kecil itu seolah ‘hidup’ disebabkan kian membesar, manakala kerap menerima aduan daripadanya mengenai sakit kepala dan hidung turut mengeluarkan darah selama beberapa kali, maka dia menjalani pemeriksaan.
“Namun, ketika itu penyakitnya belum dapat dikesan, hingga suatu hari seorang doktor datang dan memeluk makcik. Dia tanya, makcik tau tak apa dialami cucu sebenarnya. Makcik kata tak tau, kemudian doktor beritahu perkara sebenar membuatkan hidup terasa kelam buat seketika," katanya sebak. Menurutnya, dia terkejut apabila mendengar berita disampaikan kepadanya itu, kerana tidak menyangka cucunya yang ceria selama ini menderita sejenis penyakit kanser. Sementara itu, datuknya, Puteh Din, 56, berkata, sudah beberapa kali cucunya menjalani rawatan seperti kemoterapi, namun keadaannya tidak banyak berubah, malah lebih menyedihkan dalam hanya seminggu, rambut Shahrul gugur semuanya.
Katanya, dia baru sahaja pulang menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), tidak menyangka akan dimasukkan ke HSB pula semalam akibat keadaannya lemah, kencing dan hidung berdarah serta lidahnya putih seolah-olah dipenuhi ulser. Menurutnya, kini, anaknya, Nor Suriati Puteh, 35, dan menantunya, Shaharin Saad, 35, kedua-duanya bekerja sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) perlu bergilir menjaga Shahrul di hospital. “Pakcik dengan makcik tak dapat nak jaga Shahrul tiap masa sebab kami kena jaga abang pakcik yang merupakan orang kurang upaya (OKU), jadi terpaksa harap mak dengan ayah dia la, tapi bila mereka buat demikian kenalah ambil cuti selalu,” katanya ketika menerima kunjungan dan bantuan kerusi roda daripada calon Bebas Dun Anak Bukit, Abd Samat Che Noh, 50, di kediaman mereka.
Menurutnya, mereka memerlukan kos perbelanjaan rawatan cucunya itu, bagaimanapun tidak mampu berikutan hanya bergantung kepada pendapatan anak dan menantunya, serta sedikit sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan zakat selama ini. Dalam pada itu, Abd Samat berkata, beliau bersimpati keadaan Shahrul tidak lagi berupaya berjalan seperti sedia kala menyebabkannya menyalurkan bantuan kerusi roda bagi memudahkannya. Katanya, beliau akan cuba membantu mengurangkan kesulitan yang dialami keluarga berkenaan mengikut kemampuannya dan mengharapkan mana-mana pihak dapat menyalurkan bantuan bagi meringankan derita yang dialami adik Shahrul itu.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02109-29-00010131-4 milik Nor Suriati Puteh atau menghubunginya di talian 012-4401253.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment