Monday, July 29, 2013

Bapa berpendapatan tidak kurang RM17,000 sebulan gagal bayar nafkah anak selama 7 tahun


Bapa berpendapatan tidak kurang RM17,000 sebulan gagal bayar nafkah anak selama 7 tahun | Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang pengurus syarikat cari gali minyak kerana mengabaikan perintah menjelaskan tuntutan nafkah dan gagal membuat permohonan maaf terhadap bapanya. Hakim Syarie, Rosdi Harun membuat keputusan itu selepas usaha untuk menghubungi defendan, Nasrun Mustafa, 40, oleh bapanya, Mustafa Ismail, 67, menemui jalan buntu. Bagaimanapun beliau berkata, waran tersebut mungkin akan terbatal secara automatik sekiranya Nasrun hadir ke mahkamah pada atau sebelum 2 September ini bagi membincangkan tuntutan yang dikemukakan plaintif.

Dua orang anak defendan di bawah jagaan ayah dan ibunya selepas berlaku perceraian dan defendan didakwa tidak pernah pulang menjenguk dan memberikan nafkah. Berdasarkan keterangan pada 13 Julai 2010, plaintif telah mengemukakan tuntutan kepada Nasrun yang dikatakan berpendapatan tidak kurang daripada RM17,000 sebulan itu agar membayar tunggakan nafkah penjagaan dua cucunya itu yang tertunggak selama tujuh tahun iaitu sebanyak RM20,000 di Mahkamah Rendah Syariah di sini. Plaintif dari Kampung Beladau Kolam, Manir turut menuntut perintah agar Nasrun memberi nafkah RM800 sebulan menerusi potongan gaji untuk keperluan dua cucunya, Nur Thahirah Nazihah, 16, dan Muhammad Amirul Nasrullah, 18.

Defendan mengabaikan perintah tersebut termasuk perintah supaya memohon maaf secara terbuka mengikut hukum syarak yang diarahkan mahkamah Ogos tahun lepas. Plaintif turut memfailkan notis permohonan kepada mahkamah bagi pelaksanaan perintah nafkah pada 23 April yang lalu yang antara lain mahu defendan menunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dipenjarakan selepas gagal mematuhi perintah mahkamah bertarikh 28 Ogos 2012.

Dalam notis permohonan tersebut, defendan juga diperintahkan supaya membayar tunggakan nafkah kepada bapa serta ibunya, Che Mariam Abdullah, 59, iaitu masing-masing sebanyak RM3,200 mulai bulan Ogos 2012 sehingga Mac 2013 serta-merta. Dalam pada itu, peguam plaintif, Fazru Anuar Yusof ketika ditemui berkata, bapanya (plaintif) berjaya menjejaki defendan awal tahun ini namun difahamkan defendan telah pun meletak jawatan dan kini bekerja di sebuah syarikat baharu iaitu Hess Exploration and Production Malaysia B.V. -Utusan





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!