Wednesday, August 7, 2013

Kisah sedih seorang peniaga pasar malam


Kisah sedih seorang peniaga pasar malam | Seorang peniaga pasar malam menjadi mangsa tindakan kejam sekumpulan tiga penjenayah yang bukan sahaja menyamunnya malah menggilis dan mengheretnya beberapa meter ketika cuba melarikan van milik wanita itu malam tadi. Berikutan itu, mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian dada. Kejadian berlaku ketika mangsa, Rohani Harun, 50, baru pulang dari berniaga di bazar Ramadan di kawasan Perindustrian Bukit Serdang, dekat Taman Serdang Raya, dekat sini pukul 9.30 malam tadi. Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd. Razak Elias berkata, mangsa memandu van itu yang membawa muatan barangan berniaga sambil mengekori suaminya yang memandu kereta selang beberapa buah kenderaan di hadapannya. "Mangsa dan suaminya sebelum itu berniaga di bazar Ramadan. Selepas selesai berniaga, suaminya memandu kereta dan diekori mangsa yang memandu van dipenuhi barangan berniaga. "Namun sebaik sahaja tiba di Jalan 6/3, Taman Serdang Raya, van dipandu mangsa dihalang sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dinaiki tiga lelaki. Seorang lelaki bersenjata parang turun dan menyamun mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambah Abd Razak, suspek merampas van berkenaan namun mangsa dipercayai cuba menghalang tindakan itu menyebabkannya dilanggar, digilis dan diseret beberapa meter. "Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah manakala suspek melarikan diri bersama van mangsa. Mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. "Penduduk di kawasan itu yang mengenali mangsa yang dalam keadaan parah memaklumkan kepada suaminya yang tidak menyedari insiden tersebut berlaku," katanya sambil memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian termasuk meneliti beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa premis berhampiran lokasi kejadian itu.

Sementara itu, suami mangsa, Yahaya Ishak, 62, berkata, biasanya dia yang akan memandu van tersebut dan mengekori mangsa yang memandu kereta. "Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma dia pernah berpesan semasa berniaga malam tadi agar menjaga anak-anak kami ketika dia sudah tiada nanti. "Arwah juga begitu teruja untuk mencari jubah putih untuk hari raya pada hari ini dan bersungguh-sungguh mengajak saya menunaikan umrah pada tahun depan," jelasnya. Menurut Yahaya, jenazah isterinya akan dikebumikan selepas solat asar di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia (UPM). -utusan





.

3 Penyokong CHELSEA:

Rozita Ceritaita on August 7, 2013 at 9:40 AM said...

innalillah...kesiannya..

Cik Itah on August 7, 2013 at 10:25 AM said...

inalillah..semoga rohnya ditempatkan di sisi orang+ yg beriman , amin .

maszull on August 7, 2013 at 2:25 PM said...

assalamualaikum lulu...al-fatihah...:(

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!