Thursday, August 22, 2013

Terkini mengenai nahas kemalangan bas di Genting


Terkini mengenai nahas kemalangan bas di Genting | Kaki dan cebisan organ dalaman manusia ditemui tidak jauh dari badan bas yang remuk teruk selepas terjunam ke gaung dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands. Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Mansor Mohd Nor berkata kaki dan cebisan organ dalaman itu mungkin milik dua invidu. Kaki itu ditemui dalam operasi mencari saki baki mangsa oleh pasukan penyelamat di lokasi kejadian nahas itu pagi ini, katanya kepada pemberita di sini hari ini. "Antara yang ditemui dalam operasi bermula 9.45 pagi itu ialah barang-barang peribadi milik mangsa nahas yang diharap dapat membantu anggota keluarga mengecam identiti mangsa. "Sebanyak 34 daripada 37 mayat mangsa juga sudah dibedah siasat. Rata-ratanya mati akibat kecederaan teruk di dalam badan," katanya. Mohd Mansor berkata pasukan penyelamat juga tidak menjangka menemui mayat lain di lokasi kejadian hari ini selain menunggu siasatan Puspakom Sdn Bhd dan pasukan forensik polis di kawasan nahas sebelum menarik naik bangkai bas.

"Bas terbabas ke dalam gaung 60 meter dari permukaan jalan. Nasib baik bas tersangkut pada pokok, jika tidak bas boleh jatuh lebih jauh ke dalam," katanya. Buat masa ini, polis belum mengambil kenyataan daripada mangsa yang selamat kerana mereka masih dalam keadaan trauma. Beliau juga meminta orang ramai tampil ke Hospital Kuala Lumpur atau datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong jika mengesyaki ada anggota keluarga yang terlibat dalam nahas itu.


Siasatan Nahas Bas 

Meliputi Semua Sudut KUANTAN: Siasatan mengenai kemalangan bas yang mengorbankan 37 nyawa di KM3.5 Jalan Genting Highlands akan meliputi pelbagai sudut, kata Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani. Beliau berkata polis akan mula mendapatkan keterangan daripada saksi dan penumpang yang terselamat dalam kejadian itu hari ini. "Siasatan akan dilakukan dari semua sudut untuk mendapatkan gambaran tepat mengenai kejadian itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas apabila bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara. Nahas yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara itu turut menyebabkan 16 penumpang cedera.


Nahas Bas: 17 Mayat Telah Dikenalpasti 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 warga tempatan dan tiga warga asing telah dikenal pasti daripada 30 mayat mangsa nahas bas di Genting Highlands yang dibedah siasat setakat ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran hari ini. Beliau berkata daripada 14 mayat warga tempatan itu, dua adalah Melayu, 11 Cina dan satu Sikh manakala warga asing masing-masing ialah Bangladesh, Nepal dan Korea Selatan. "Daripada 30 mayat yang dibedah siasat setakat 11 pagi ini, sebanyak 22 adalah lelaki dan lapan perempuan," katanya pada sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur di sini. Dr Jeyaindran berkata setakat ini, enam mayat telah dituntut oleh keluarga masing-masing manakala proses untuk mengenal pasti identiti mayat lain masih dilakukan. Unit Forensik HKL dijangka selesai menjalankan proses bedah siasat ke atas tujuh lagi mayat pada tengah hari ini.

Selain itu, katanya seramai 16 mangsa nahas itu selamat dan berada dalam keadaan stabil. "Lima orang daripada mereka mendapat rawatan di HKL di mana tiga daripadanya warga Malaysia, seorang Bangladesh dan seorang Thailand. Warga Thailand dan seorang warga tempatan kini berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya. Selain itu, lapan orang lagi ditempatkan di Hospital Selayang terdiri daripada tiga warga tempatan, tiga warga Bangladesh dan dua warga Indonesia, seorang warga tempatan dan seorang warga Korea Selatan dirawat di Sungai Buloh dan seorang warga Indonesia di Hospital Bentong. Dr Jeyaindran berkata tiada mangsa yang meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan semasa menerima rawatan di kesemua hospital berkenaan. "Ini menunjukkan, kesemua kakitangan perubatan yang terlibat dalam misi ini terbukti telah melakukan yang terbaik dalam mengendalikan proses penyelamatan dan bedah siasat dilakukan dengan efisien dalam masa 24 jam selepas menerima panggilan mengenai kejadian ini semalam," katanya. - Bernama






.

1 Penyokong CHELSEA:

fizafantagiro on August 22, 2013 at 4:57 PM said...

Ya Allah .. ngeri .. semoga identiti semua mangsa dpt dikenalpasti secepat mungkin ..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!