8 Gambar konsert Metallica di Stadium Merdeka | Selama tiga dekad gah berdiri sebagai band trash metal di persada muzik dunia, Metallica terus membuktikan faktor usia bukan masalah untuk mereka beraksi di pentas konsert. Biarpun keempat-empat anggotanya sudah mencecah usia 50-an, namun faktor itu tidak sikit pun menghalang band yang dikenali dengan jolokan 'Raja Metal' ini membuktikan bahawa mereka masih punya stamina - masih ligat! Buktinya, bertempat Stadium Merdeka Kuala Lumpur, band legenda Amerika Syarikat ini malam tadi melakar sejarah buat pertama kalinya membuat persembahan di hadapan hampir 30,000 peminat tanah air.
Selama 1 jam 45 minit beraksi tanpa henti, Metallica bikin peminat 'menggiler' dengan seleksi 18 lagu terbaik mereka dari album pertama hingga terkini. Dianggotai oleh James Hetfields 50, (penyanyi, gitaris), Lars Ulrich, 49, (dram), Kirk Hammett 50, (gitaris) dan Rob Trujillo 48, (bassis), band ikon yang ditubuhkan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 1981 ini membuka tirai Konsert Metallica Live in Malaysia 2013 dengan Master Of Puppets dan Fuel.
"Anda semua dah bersedia untuk terus berseronok lebih lama lagi? Hanya setelah 31 tahun baru kami dapat ke sini. Saya minta maaf pada anda semua. Tapi kami masih belum terlambat, bukan? Kami sangat teruja dapat beraksi dan berbesar hati dapat melihat wajah-wajah anda semua", ungkap James dan kemudian bergema stadium dengan sorakan peminat.
Kemudian sekali lagi dia bertanyakan kepada peminat, "Anda mahu lagi? Anda mahu apa? Tak mengapa, saya tahu anda mahu apa. Dah 31 tahun anda semua menunggu, ini untuk anda semua...", sambungnya James lagi. Lalu arena terus digegarkan dengan lagu lain seperti Fade, Havester of Sorrow, Ride The Lighthing, Cyanide, Sanitarium, Sad But True, One, Orion, Blackened, Nothing Else Matter, Enter Sandman, Creeping Death, Baterry dan Seek & Destroy.
Hampir separuh daripada penonton yang menyaksikan konsert itu merupakan peminat Metallica yang berusia 30 tahun ke atas. Momen paling mengujakan apabila sepanjang konsert dapat dilihat hampir keseluruhan daripada peminat kelihatan tidak segan silu mengangguk-anggukkan kepala ketika menghayati irama lagu-lagu berentak berat yang dipersembahkan.
Tak kurang ramai yang turut ikut menyanyi sama, bertepuk tangan dan bersorak. Konsert yang berakhir sekitar jam 10.30 malam itu turut dihadiri beberapa selelebriti tempatan seperti Faizal Ismail (FBI), pelakon Dira Abu Zahar bersama suaminya, penyanyi Ruhil Amani, Mus (May) dan Bunkface.
Untuk rekod, kali terakhir Metallica singgah di Asia Tenggara ialah pada 1991 sempena promosi album Metallica di mana ketika itu mereka sempat mengadakan konsert di Singapura dan Jakarta, Indonesia. Konsert Metallica Live in Malaysia 2013 dianjurkan oleh Galaxy Group.
Selepas Kuala Lumpur, band yang pernah menerima penghormatan tertinggi dalam industri muzik Amerika Syarikat apabila dimasyhurkan dalam senarai The Rock and Roll Hall of Fame ini akan mengadakan konsert di Singapura pada 24 Ogos (Sabtu) ini. -MD
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment