Wednesday, September 4, 2013

Alasan bapa yang belum mahu kebumi anak yang telah meninggal dunia sejak 46 hari lalu


Alasan bapa yang belum mahu kebumi anak yang telah meninggal dunia sejak 46 hari lalu | ''Selagi saya tidak dapat keadilan dan kebenaran, saya akan terus menunggu (tidak mengkebumikan). Keputusan saya muktamad,'' tegas bapa kepada pemuda yang ditemui mati tersepit pada palang besi tingkap dapur ketika cuba menceroboh masuk rumah jirannya 20 Julai lalu. Meskipun menyedari tohmahan dan kutukan yang diterima kerana tidak mengebumikan jenazah anaknya, Sherol Aizam, 27, yang telah meninggal dunia sejak 46 hari lalu, namun Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai bapa untuk mengetahui punca kematian anaknya itu terlebih dahulu.

Tambah Mohd. Damanhuri, apa yang diharapkan kini hanyalah proses permohonan untuk bedah siasat kedua dijalankan terhadap mayat anaknya itu dapat berjalan secepat mungkin. ''Ahad lalu, empat pegawai dari pejabat imam besar masjid negeri juga ada datang. Saya telah serahkan gambar-gambar kecederaan yang dialami Sherol Aizam dan saya suruh mereka menilaikan sendiri mengapa saya bertindak (tidak mengkebumikan) begitu. ''Macam-macam tohmahan saya terima, tapi tindakan saya bersebab. Kecederaan anak saya melampau dan mereka boleh kata akibat sesak nafas. Dari kaki sampai ke kepala macam dihempap bangunan,'' katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Mahkamah Tinggi.

Pada 27 Julai lalu, Mohd. Damanhuri membuat laporan polis di Balai Polis Manjoi di sini kerana tidak berpuas hati dengan siasatan kematian anaknya dan menuntut supaya siasatan dan bedah siasat kedua dilakukan. Menurutnya, keraguan itu berpunca selepas dia melihat keadaan mayat Sherol Aizam yang terdapat kesan-kesan kecederaan pada badan. Dalam kejadian 20 Julai lalu, tindakan Sherol Aizam yang cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Dia yang merupakan anak sulung dipercayai masuk dengan membuka tingkap di bahagian sinki dapur rumah jenis teres setingkat itu yang terletak selang beberapa buah dari kediaman keluarganya. Jenazah Sherol Aizam sehingga ke hari ini, disimpan di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainon (HRPB). ''Saya tidak mahu bila sudah dibacakan talkin, jenazahnya nanti dikorek semula. Itu lebih menyeksakan. Jadi lebih baik segala urusan dunia kita selesaikan dulu. Bila sudah dikebumi, saya tidak mahu usik lagi,'' katanya. Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 11 September depan untuk pihak pendakwa membalas afidavit tambahan yang telah dikemukakan oleh Damanhuri melalui peguamnya, Mohd. Fitri Asmuni.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani menetapkan tarikh itu setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amri Johari memaklumkan pihaknya memerlukan sedikit masa untuk meneliti afidavit yang telah difailkan oleh pihak pemohon. Sementara itu, Mohd. Fitri ketika ditemui selepas prosiding berkata, permohonan itu dibuat bukan kerana pihaknya tidak mengakui laporan bedah siasat pertama tetapi terdapat beberapa perkara yang tidak dijelaskan dalam laporan tersebut khususnya mengenai kesan lebam yang dialami mangsa. -Utusan





.

3 Penyokong CHELSEA:

Unknown on September 4, 2013 at 9:42 AM said...

hmm...dlm paper pun ada pasal berita ni. pendapat sy, mungkin sebab nya tu berasas tapi perbuatan biar jenazah lama2 mcm tu x elok. sy baca tadi, hukumnya haram. terseksa mayat.

moga Allah lembutkan hati si bapa supaya segera kebumikan anak dia tu.

dan sy harap supaya kita semua tak menjadi juri/hakim dalam masalah ni. tohmahan yg dilemparkan sgt menyakitkan hati ibu bapa arwah, tp kita manusia. xtahu apa2. mungkin dia bersalah mungkin tidak. Allah Maha Mengetahui :)

Lydia Miza on September 4, 2013 at 1:03 PM said...

Ernm dia nk tuntun keadilan mungkin.. Tp kesian jenazah x dikebumikan secepat mungkin. Dgn kesalahan yg si mati tu buat rasanya ada sbb lain dia meninggal kot. X tau la

wantie on September 5, 2013 at 12:55 PM said...

saudara terdekat silalah sedekahkan bacaan al-quran kepada si mati.

Ya Allah permudahkanlah segala urusan si mati untuk kembali ke sana.

Malaikat dah cabut nyawanya, sesak nafas tu adalah satu penyebab je.Kalau la si Bapa ni sedar akan itu. Sudah pasti mayat tak di aib sebegitu.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!