Thursday, September 12, 2013

Inilah cerita sebenar, mengenai bayi 6 bulan yang kini koma di dera pengasuh


Inilah cerita sebenar, mengenai bayi 6 bulan yang kini koma di dera pengasuh | Seorang bayi perempuan berusia enam bulan kini koma akibat kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat didera pengasuhnya. Mangsa yang merupakan anak tunggal sepasang suami isteri berusia lingkungan 20-an kini kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini. Berdasarkan pemeriksaan awal doktor, mangsa dipercayai mengalami kecederaan pada tengkorak kiri, pendarahan di tengah otak, lebam di dahi dan kedua-dua lutut. Polis yang menjalankan siasatan selepas bapa mangsa membuat laporan telah menahan seorang wanita berusia 28 tahun yang merupakan pengasuh bayi itu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita terbabit mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 di rumahnya di Telok Gadong Kecil di sini pukul 2.30 petang ini. "Siasatan mendapati suspek tidak menjaga bayi atau kanak-kanak lain selain mangsa," katanya. Difahamkan, suspek mempunyai dua anak perempuan berusia dua dan enam tahun. Mengulas laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, Mohamad berkata, lelaki itu telah dihubungi oleh suspek pada pukul 4.30 petang semalam dan diberitahu yang bayinya telah dihantar ke sebuah hospital swasta selepas mengalami sesak nafas.

Beliau berkata, pengadu kemudian menghubungi isterinya dan memintanya menjenguk anak mereka terlebih dahulu kerana dia sedang bertugas di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Pengadu kemudian menyusul ke hospital. "Doktor yang membuat pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kesan retak di tengkorak kiri, pendarahan di tengah otak serta lebam di dahi dan terpaksa dipindahkan ke HTAR kerana tidak sedarkan diri. "Pengadu kemudian membuat laporan polis pada pukul 10 malam tadi," kata beliau. Tambah Mohamad, berdasarkan rakaman percakapan pengadu, bayinya itu telah dihantar ke rumah suspek sejak berusia dua bulan dengan bayaran bulanan RM300.

Kata beliau, pengadu memberitahu sepanjang empat bulan dijaga oleh pengasuh itu, anaknya pernah luka melecet di dahi sebelah kiri akibat bergesel dengan karpet semasa cuba meniarap dan lebam pada Khamis lepas dengan alasan botol susu terjatuh di atas dahi. Sementara itu, cubaan pemberita untuk mendapatkan kenyataan ibu bapa mangsa di HTAR tidak berjaya. Bagaimanapun, nenek mangsa yang hanya dikenali sebagai Umi, 61 tahun berkata, dia mendapat berita kejadian yang menimpa cucunya semalam dan bergegas ke HTAR dari rumahnya di Kuala Kangsar, Perak. "Ketika saya melihat keadaan cucu saya, badannya sudah sejuk dan tidak bermaya. Saya harap pihak berkuasa dapat jalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas agar kejadian sama tidak berulang," katanya. -Utusan





.

3 Penyokong CHELSEA:

Nour Adieb on September 12, 2013 at 10:05 AM said...

pengasuh skang x leh dipercayai dah

E'in on September 12, 2013 at 10:11 AM said...

kesiannye baby tu.. xberhati perut betul laa pengasuh tu... hmmmm

Rozita Ceritaita on September 12, 2013 at 10:29 AM said...

aduhai.. tanda2 tu macam budak tu terjatuh je.. ke terjatuh dari pegangan?

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!