Tuesday, September 24, 2013

Tragis : Seorang anggota polis terkorban diserang dengan objek keras


Tragis : Seorang anggota polis terkorban diserang dengan objek keras | Dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara, anggota polis sering berhadapan dengan cabaran termasuk kehilangan nyawa. Itulah yang menimpa seorang anggota polis apabila dia menemui ajal akibat diserang dengan objek keras dipercayai batu oleh seorang penjenayah yang cuba melarikan diri dalam serbuan Ops Lejang di sebuah kilang besi buruk di Taman Teknologi Cheng, di sini hari ini. Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Koperal Zal-Azri Abdul Somad, 31, maut di tempat kejadian setelah muka dan kepalanya dipercayai dihentak dengan batu oleh penjenayah berkenaan. Mangsa sebelum itu bersama sepasukan anggota dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menyerbu kilang tersebut ekoran maklumat mengenai kegiatan curi oleh tiga penjenayah di premis berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek berusia antara 17 dan 23 tahun. Namun, kata beliau, salah seorang daripada suspek yang berusia 17 tahun cuba melarikan diri tetapi dikejar oleh Zal-Azri sehingga keluar dari kawasan premis berkenaan. "Selepas hampir 15 minit, mangsa bagaimanapun tidak kembali ke kilang itu menyebabkan anggota polis lain berusaha mencari dan menemui mangsa yang sudah meninggal dunia dengan kesan cedera di muka dan kepala tidak jauh dari kilang itu," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka hari ini. Menurut Ghee Lye, mangsa mengalami kecederaan teruk di muka dan kepala kerana dipukul dengan objek keras namun tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan keputusannya akan diperolehi selepas selesai bedah siasat," tambahnya. Menurut beliau lagi, susulan kejadian itu polis berjaya menahan suspek yang sedang bersembunyi di rumah datuknya di Taman Seri Krubong kira-kira pukul 10.50 pagi. "Suspek tidak bekerja dan disyaki mengambil dadah jenis syabu semasa ditangkap. Dia kini ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala dua lagi rakannya disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," ujarnya. Allahyarham Zal-Azri yang sudah 10 tahun menjadi anggota polis sebelum ini berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan baru dua bulan ditukarkan ke Bahagian D4 IPK sebagai detektif.

Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan bilik mayat Hospital Melaka ketika ahli keluarga mangsa datang untuk menuntut jenazah anggota polis itu. Adik tiri Allahyarham, Hartini Rashid, 27, berkata, arwah merupakan anak kedua daripada lima beradik amat pendiam namun bersifat pemurah dan sering membantu mereka yang meminta pertolongan. "Saya dan suami sering menumpang di rumahnya jika berkunjung ke Melaka sebelum ini malah rapat dengan isteri serta anak-anak arwah," katanya sambil memberitahu Allahyarham meninggalkan isteri, Atiqah Mohd. Rosdi, 29, serta dua anak lelaki berusia empat bulan dan empat tahun. Atiqah bagaimanapun enggan ditemu bual pemberita kerana terlalu bersedih dengan kejadian yang menimpa suaminya. -Utusan





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!