Ada apa dengan kucing yang bernama Pablo ini | Seekor kucing yang hilang sejak setahun lalu akan dipertemukan semula dengan tuannya selepas dijumpai di Scotland, 724 kilometer dari kediaman asalnya di sini. Kucing belang berusia sembilan tahun bernama Pablo itu hilang di Brockley, selatan London Oktober tahun lalu, menyebabkan pemiliknya, Siobhan Campbell berputus asa dan menganggap ia telah mati. Bagaimanapun minggu lalu, kucing itu ditemukan di sebuah cawangan bank TSB di Rosyth, kawasan perbandaran Fife, Scotland setelah belajar bagaimana untuk mengaktifkan pintu automatik premis berkenaan. Kakitangan bank yang terkejut, menyedari kehadiran tetamu baharu mereka selepas ia terlelap di atas kerusi.
Mereka menyerahkan Pablo kePusat Perlindungan Kucing yang kemudiannya memeriksa mikrocip pada haiwan itu dan mendapati bahawa ia telah berada sejauh 724 kilometer daripada kediaman asalnya. Ibu Campbell, Kate Partridge berkata, dia seolah-olah tidak percaya bila mendengar perkhabaran tentang Pablo sejurus menjawab panggilan telefon dari pusat berkenaan. Sebelum Pablo hilang, kucing itu amat dikenali di Brockley kerana sering duduk di jalan raya, mengakibatkan pengguna jalan raya terpaksa mengelak daripadanya.
Bukan setakat itu, anjing turut mengelak daripada bertembung dengannya. Pablo turut dikenali dengan pelbagai nama lain seperti Betty dan Fluffy serta sering mengunjungi beberapa rumah lain untuk mendapatkan makanan. Kakitangan Pusat Perlindungan Kucing kini merancang untuk membawa pulang Pablo ke London untuk dipertemukan semula dengan Campbell dan Partridge. Pablo menjadi sebahagian daripada keluarga Campbell selepas memasuki rumah mereka lapan tahun lalu untuk mendapatkan makanan sebelum menghilangkan diri. - AGENSI
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment