Punca Flat PKNS Kerinchi terbakar | “Saya hanya mampu menjerit memberitahu ada kebakaran sebaik terlihat api mula merebak ke dalam kediaman kami yang berpunca dari rumah sebelah didiami warga Indonesia dan terus berlari turun tanpa sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah,” kata Aishah Alang, 52, mangsa kebakaran kediaman Pangsapuri 16 tingkat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Kerinchi, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, enam unit kediaman paling atas pangsapuri berkenaan membabitkan 28 orang musnah selepas kebakaran dipercayai berpunca dari rumah disewa warga Indonesia yang dikatakan sedang memasak di dalam bilik mereka. Menurut Aishah, sebelum kejadian, dia ada terlihat jirannya itu sedang memasak di dalam bilik mereka, namun pada mulanya tidak mengendahkannya kerana mereka memang selalu memasak di dalam bilik.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya terbau asap dari kediaman itu, malah tiba-tiba api turut merebak melalui siling bumbung kediaman saya menyebabkan saya menjerit dan menyuruh anak saya menghubungi suami yang sedang bersolat di surau di tingkat bawah. “Malah, ketika itu keadaan menjadi kelam-kabut apabila semua jiran yang menyedari kebakaran termasuk warga Indonesia terbabit menyelamatkan diri. Saya juga tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah,” katanya yang gagal menahan sebak dan menangis selepas melihat kediaman yang diduduki puluhan tahun itu musnah terbakar. Sementara itu, suaminya, Zamri Mohamad Tenang, 58, berkata, ketika kejadian dia baru lepas bersolat Asar di surau sebelum dihubungi anaknya memberitahu rumah mereka terbakar.
“Saya kemudian terus bergegas naik dan ketika itu lif masih berfungsi. “Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, api didapati sudah mula merebak dan saya terus memaklumkan kejadian itu kepada jiran lain agar mereka menyelamatkan diri,” katanya. Beliau yang juga Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri itu berkata, kebakaran itu menyebabkan semua mereka tinggal sehelai sepinggang. Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 4.40 petang. Menurutnya, sebanyak 13 jentera bomba dari lapan balai bomba dan penyelamat (BBP) dari Pantai, Seputeh, Hang Tuah, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Sri Hartamas, Bandar Tun Razak dan Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi kejadian. “Jentera pertama dari BBP Seputeh tiba di tempat kejadian pada jam 4.57 petang dan mendapati enam unit kediaman pangsapuri sedang terbakar. “Api berjaya dikawal dua jam kemudian. Setakat ini, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-HM
.
2 Penyokong CHELSEA:
Macam-macamkan Lulu :( Sedih dengar berita2 macam ni..
Bukan Main Lagi Mak Shakira
kesiannya...sedih..
Post a Comment