Tuesday, February 26, 2013

Terkini : Daging Kuda Ditemui Dalam Bebola Daging Ikea


Peruncitan perabot, Ikea berkata pihaknya telah menghentikan semua penjualan bebola daging di Sweden selepas pihak berkuasa Czech mengesan terdapat daging kuda dalam bebola daging beku yang dilabelkan sebagai daging lembu dan daging babi. Ikea cawangan Sweden, pada halaman Facebooknya, Isnin, berkata bahawa ia tidak akan menjual atau menawarkan sebarang bebola daging di premis-premisnya di Sweden yang "berpotensi menimbulkan kebimbangan di kalangan pelanggan-pelanggan kami." Katanya, kawalan yang dilakukan pihaknya sendiri tidak menunjukkan apa-apa kesan penggunaan daging kuda. Juga tidak jelas sama ada Ikea juga akan berhenti menjual bebola dagingnya di negara-negara lain. -AP





.

Rupanya Janet Jackson dah kahwin tahun lepas..


Sebelum ini, penyanyi terkenal, Janet Jackson dikhabarkan telah merancang perkahwinan 'mewah' dengan teman lelakinya,  Wissam Al Mana. Namun kemudian khabar itu senyap sahaja. Dan kini, pasangan itu mendedahkan bahawa mereka telah berkahwin 'tahun lepas'. Selepas pendedahan mengejutkan itu, pasangan itu berkata: 'Kami akan menghargai jika privasi kami dihormati.' Dikhabarkan mereka telah berkahwin dalam satu majlis yang sangat privasi dan indah. Nampaknya pasangan ini memilih untuk lebih tertutup mengenai kehidupan peribadi mereka dan wajarlah semua orang menghormati keinginan itu. -DM





P/S - Wissam ni muslim tau...





.

Mari temui keluarga Rapunzel didunia sebenar


Seorang ibu telah membiarkan rambutnya panjang sepanjang lebih dari 6 kaki, lebih panjang daripada badannya, memberi rupa Rapunzel dalam kehidupan sebenarnya. Tiga anak perempuannya juga menuruti jejaknya membiarkan rambut mereka panjang. Ibu yang berusia 43 tahun itu telah mengajar anak perempuannya membuat tocang rambut antara satu sama lain. Tetapi terdapat beberapa peraturan penting dalam rumah mereka.


Semua mesti menjaga rambut mereka terutama di sekitar dapur. Mereka juga terpaksa menggunakan sejumlah besar shampoo dan perapi setiap kali mencuci rambut. Malah mereka terpaksa mengambil masa selama 1 jam untuk mengeringkan rambut. Beberapa tahun lalu, mereka telah mendermakan beberapa inci dari rambut mereka namun tidak pernah memotong lebih daripada 20 inci. -Inside Edition






.

Akhirnya dia menamatkan kariernya di usia 101 tahun


Pelari maraton tertua di dunia, Fauja Singh menamatkan karier lariannya dalam perlumbaan rasmi di sini semalam ketika berumur 101 tahun. Singh menyempurnakan larian sejauh 10 kilometer pada kejohanan maraton Hong Kong dengan catatan masa satu jam 32 minit 28 saat. Pada kejohanan itu, Singh turut diiringi pelari daripada komuniti Sikh di Hong Kong yang menyertai kira-kira 72,000 pelari lain yang mengambil bahagian pada perlumbaan tersebut. Pelari kelahiran India dan mendapat jolokan Torpedo Singh itu berkata, dia akan berhenti berlatih selepas perlumbaan maraton di Hong Kong tamat, sebelum umurnya mencecah 102 tahun.

''Saya akan mengingati hari ini dan akan merinduinya,'' kata Singh selepas melepasi garisan penamat. Singh yang juga seorang datuk menjadi pelari lelaki tertua setelah berlari pada satu perlumbaan maraton di Toronto pada 2011 ketika berusia 100 tahun. Bagaimanapun, rekod lariannya tidak diiktiraf Guinness World Records kerana dia tidak mempunyai sijil kelahiran bagi membuktikan umurnya, namun mempunyai pasport Britain yang menunjukkan dia lahir pada 1 April 1911. Singh mula aktif berlari sebagai cara untuk mengatasi masalah kemurungan setelah dia kehilangan isteri dan anaknya pada 1994. - AGENSI





.

Inilah Filem Terbaik Oscar


Filem krisis tebusan di Iran arahan Ben Affleck, Argo, diangkat sebagai Filem Terbaik Oscar pada majlis kemuncak Anugerah Akademi yang ke-85 di sini, hari ini. Pengarah kelahiran Taiwan, Ang Lee pula dipilih sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem fantasi 3D arahannya, Life of Pi, sekali gus mengulangi kejayaannya tujuh tahun lalu yang menjadi satu-satunya pengarah Asia yang memenangi anugerah berprestij ini. Pelakon Daniel Day-Lewis pula membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik buat kali ketiga, kali ini menerusi filem Lincoln, manakala Jennifer Lawrence dinamakan sebagai Pelakon Wanita Terbaik melalui lakonannya dalam filem Silver Linings Playbook.

Pengarah filem veteran, Steven Spielberg yang memperolehi pencalonan terbanyak iaitu 12 pada majlis Oscar kali ini, tidak memenangi sebarang anugerah. Secara keseluruhannya, Life of Pi memenangi Oscar paling banyak dengan empat anugerah berbanding Argo yang memperolehi tiga anugerah, Les Miserables dan Django Unchained memperoleh dua anugerah, manakala Lincoln, dan Zero Dark Thirty masing-masing memperoleh satu anugerah. Majlis anugerah itu diserikan dengan persembahan muzik, termasuk persembahan penyanyi Britain, Adele yang menyanyikan lagu tema filem Skyfall yang turut dinamakan sebagai Lagu Asal Terbaik dan diva legenda, Barbra Streisand yang menyanyikan lagu The Way We Were, persembahan pertamanya pada majlis Oscar dalam tempoh 36 tahun.


Terdapat juga persembahan daripada barisan pelakon filem yang menerima pencalonan seperti Les Miserables, selain Chicago yang membuat persembahan sempena ulang tahun ke-10 filem itu memenangi anugerah Filem Terbaik Oscar. Affleck yang menggondol hampir semua anugerah utama sepanjang musim anugerah Hollywood menerusi Argo, turut memuji Spielberg sebagai pengarah yang mengangkat bakat pelakon dalam industri filem. Paling mengejutkan dalam anugerah Oscar ini ialah pemenang filem terbaik telah diumumkan oleh Wanita Pertama White House, Michelle Obama. - AFP





,.

Akhirnya, mereka kantoi setelah 3 kali meragut


Perbuatan dua lelaki yang tekad meragut beg tiga penunggang motosikal berturut-turut dalam tempoh tiga jam mengundang padah, apabila salah seorang daripadanya berjaya ditangkap orang awam di Jalan Kubang Kurus, Taman Chukai Utama. Peragut yang berumur 29 tahun itu dicekup selepas meragut buat kali ketiga dengan menyentap beg dari bakul motosikal dinaiki dua wanita, masing-masing berusia 22 dan 24 tahun dalam kejadian kira-kira jam 5 petang. Terdahulu, kira-kira jam 2 petang, kedua-dua suspek yang menunggang sebuah motosikal meragut beg mangsa pertama di Jalan Bukit Mentok menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM300. Setengah jam kemudian, seorang lagi penunggang motosikal wanita menjadi sasaran apabila beg yang diletakkan dalam raga motosikal dan mengandungi wang tunai RM150 ditarik suspek ketika mangsa melalui laluan Kampung Pulau Tempurung.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, dalam kes ragut kali ketiga kedua-dua suspek tidak mudah melarikan diri, kerana mangsa bertindak mengejar suspek. “Apabila motosikal mangsa menghampiri motosikal suspek, suspek yang menjadi pembonceng bertindak menendang motosikal mangsa menyebabkan kedua-dua wanita yang menaiki motosikal itu jatuh ke atas jalan.

“Melihat keadaan itu, orang awam yang berada berdekatan yang bertindak mengejar, berjaya menangkap pembonceng terbabit, tapi penunggang berjaya melarikan diri,” katanya semalam. Menurutnya, lelaki terbabit yang merupakan penganggur dan beralamat di Air Putih kemudiannya diserahkan kepada polis dan ditahan reman selama empat hari bermula semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut, sementara suspek yang lolos kini sedang diburu polis. Che Suza berkata, dalam ketiga-tiga kes yang dilakukan dua suspek itu, mereka menghampiri motosikal mangsa sebelum bertindak menyentap dan melarikan beg yang diletakkan dalam raga motosikal. -SH






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!