Thursday, May 30, 2013

Cerita sebenar mengenai bayi yang ditemui dalam lubang tandas di China beberapa hari lalu


Ibu kepada bayi baru lahir di China yang dibuang ke dalam lubang tandas sebelum terperangkap di dalam saluran paip kumbahan, adalah orang yang mula-mula membuat laporan kejadian itu dan hadir sepanjang usaha menyelamat selama dua jam. Dia bagaimanapun tidak mengaku melahirkan anak sehingga disoal polis, kata satu laporan semalam. Akhbar Dushikuaibao beribu pejabat di Hangzhou berkata, polis mula mengesyaki sesuatu apabila menemui permainan bayi dan tisu tandas dicemari darah dalam bilik yang disewa wanita berusia 22 tahun itu, di dalam bangunan yang menyaksikan usaha menyelamatkan dilakukan di timur China Sabtu lalu.


 Lahir cara rahsia

Wanita itu, yang namanya tidak disiarkan dalam laporan media, mengaku apabila polis meminta beliau menjalani pemeriksaan kesihatan. Dia memberitahu polis tidak mampu melakukan pengguguran dan melahirkan bayi itu secara rahsia tengah hari Sabtu lalu di dalam tandas. Katanya, beliau cuba menyambut bayi itu tetapi terlepas ke dalam saluran kumbahan dan memberitahu tuan rumah mengenai bayi itu selepas tidak dapat menariknya keluar, menurut akhbar Zhezhong News. Bayi dapat sumbangan Video usaha menyelamat Baby No 59, yang diberi nama itu sempena nombor inkubatornya di hospital disiarkan di dalam program berita dan laman web bermula lewat Isnin lalu sebelum disiarkan di seluruh dunia menyebabkan sumbangan untuknya mencurah-curah. Pengakuan si ibu meningkatkan persoalan mengenai sama ada beliau memang berniat membuang bayi itu, manakala yang lain menyatakan wanita itu terdesak dan tidak tahu apa hendak dilakukan.


Ibu tak didakwa

Pihak berkuasa bagaimanapun berkata, kejadian yang berlaku adalah satu kemalangan dan ibu bayi itu tidak akan didakwa. Zhezhong News melaporkan, wanita itu adalah lepasan sekolah tinggi yang bekerja di sebuah restoran di bandar raya Jinhua. Beliau hamil selepas cuma semalam meniduri seorang lelaki yang kemudian enggan bertanggungjawab. Wanita berkenaan tidak memberitahu kehamilan itu kepada ibu bapanya. Beliau juga berkata mahu membela bayi itu tetapi tidak tahu caranya. - AFP





.

Keistimewaan Awin Nurin di mata Izzue Islam


UMUM sudah mengetahui, pelakon kacak, Izzue Islam bakal mengakhiri zaman bujangnya, Ahad ini dengan Awin Nurin yang juga pengurusnya. Berkonsepkan perkahwinan dalam taman, pasangan ini bakal bernikah pada jam 9 pagi dan bersanding pada jam 2 petang di Shah Alam. Tarikh 2 Jun begitu istimewa buat Izzue Islam atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan kerana pelakon utama Sebenarnya Saya Isteri Dia ini menyambut ulang tahun ke-23 pada tarikh tersebut. Izzue akui sudah bercinta dengan Awin sebelum bergelar artis lagi. “Sebenarnya, saya sudah lama bercinta dengan Awin Nurin. Sudah lima tahun. Masa itu, Izzue bekerja di kedai makan di kawasan Petaling Jaya dan Awin memiliki sebuah salun kecantikan bersebelahan tempat kerja Izzue. "Dari situlah, kami berkenalan. Dia pesan makanan dan Izzue pergi hantar. Mula-mula kami berkawan baik dan akhirnya bercinta sampailah Izzue menjadi artis,” katanya.

Ketika ditanya tentang gadis pilihan hatinya itu, Izzue lancar menyenaraikan istimewanya seorang Awin Nurin di matanya. “Dia adalah diri dia. Dia tegas dalam bekerja. Dia pengurus Izzue, jadi kalau lambat bangun ke apa ke memang kena. Dia ada pendirian, seorang yang berdisiplin, peramah, sopan. Dia...macam-macamlah. “Pahit, manis, pedas, masam, masin, kenyang, lapar, susah, senang, jatuh, bangun...semua kami sudah rasa. Dia yang selalu beri Izzue semangat selain daripada ibu bapa dan kawan-kawan Izzue,” katanya yang sedang menanti hari diijabkabulkan dengan penuh debaran. Pelakon yang berasal dari Kelantan ini juga menegaskan keyakinan bahawa dirinya tidak tersilap dalam memilih teman hidup. “Izzue yakin, Izzue tidak salah pilih orang untuk dijadikan teman hidup. Susah senang Izzue dia memang ada bersama Izzue.

“Macam Izzue cakap, rugi kalau Izzue lepaskan seorang wanita yang memang Izzue dah kenal hati budi dia,” katanya yang bakal mengadakan majlis sambut menantu di Kelantan pada Aidilfitri kelak. Bercakap soal bulan madu, pasangan ini terpaksa menangguhkan perancangan untuk berbulan madu sehingga bulan Julai kerana jadual Izzue yang padat. “Memang kami ada rancang tapi tak pasti lagi. Sebab Izzue bercuti hanya seminggu sahaja untuk berkahwin. Selepas itu, Izzue akan sambung balik penggambaran untuk drama Sahabat terbitan Suhan Movies.

“Bulan Julai akan habis penggambaran, barulah boleh fikir tentang bulan madu,” katanya. Pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 ini juga berserah kepada ALLAH untuk dikurniakan zuriat dan tidak merancang apa-apa mengenainya. “Izzue anggap perkahwinan ini satu rezeki dan sesiapa yang berkahwin mahukan zuriat. Izzue juga sama seperti orang lain. Tapi tak rancang. Kalau ada, adalah. Kalau lambat, tak ada rezeki lagi tak apa. Tunggu sampai Tuhan bagi rezeki. “Kalau ALLAH bagi satu pasukan bola, pasukan bola lah,” katanya lagi. -SH





.

Seorang datuk berusia 73 tahun dicekup polis kerana.......



Seorang datuk berusia 73 tahun ditahan bersama sembilan rakannya ketika sedang leka bermain judi dadu dan pakau di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Sengkang-Teratai dekat Gersik, malam kelmarin. Ketua Polis daerah, Superintendan Harun Idris berkata, semua mereka ditahan dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang hasil risikan dan maklumat awam.

“Mereka yang ditahan berumur antara 28 hingga 73 tahun dan semuanya berasal dari Gersik dan Bukit Gambir. “Kita turut merampas wang tunai RM9,000 dan pemain judi ini dipercayai bekerja sendiri,” katanya pada sidang media di IPD Ledang di sini, semalam. Harun berkata, kawasan kebun yang terletak agak jauh dari rumah penduduk telah dijadikan port berjudi sejak setengah bulan lalu. Menurutnya, semua mereka direman untuk membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di tempat terbuka dan bebas. -SH






.

Pelakon terkenal Shah Rukh dibedah. Dia sakit apa?


PELAKON Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan telah menjalani pembedahan di bahu ekoran kecederaan yang dialaminya semasa melakukan aksi untuk filem terbarunya, Chennai Express. Doktor yang merawatnya, Dr Sanjay Desai berkata pembedahan ke atas Shah Rukh berjaya dijalankan, semalam. Namun, hero Bolywood itu perlu berehat selama dua bulan. Shah Rukh dikatakan enggan menggunakan pelakon aksi untuk aksinya dalam filem tersebut. Beliau dijangka keluar dari hospital, hujung minggu ini.




.

Gambar kereta unik dicipta menggunakan kayu


Istvan Puskas, 51 mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mereka hampir keseluruhan kereta menggunakan kayu. Kereta itu direka sejak empat bulan lalu di bengkelnya. Apa yang menarik, tangki bagi meletak petrol menggunakan satu tong bir lama dan ‘gear box’ turut dicipta menggunakan kayu. Kereta unik itu menggunakan kuasa enjin Poland Fiat 126 manakala stereng menggunakan kenderaan lama Mercedes Benz. “Saya suka bekerja dengan kayu dan juga suka melakukan perkara yang mampu menarik minat orang ramai,” kata Puskas. Cuti musim sejuk yang agak panjang memberi dorongan kepada petani ini mereka dan mencipta kereta.





.

Info penting buat peminat Chelsea di Malaysia


Tiket untuk menyaksikan perlawanan persahabatan antara Pilihan Malaysia XI menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC akan mula dijual di semua kedai Adidas di seluruh negara mulai hari ini hingga Ahad ini. Perlawanan tersebut, yang menjadi sebahagian daripada pra musim Jelajah Asia 2013/2014 pasukan The Blues itu, akan diadakan pada pukul 9.45 malam di Stadium Shah Alam pada 21 Julai ini. Tiket-tiket tersebut akan dijual pada harga RM58, RM88, RM108, RM308 manakala tiket VIP pula pada harga RM408 dengan jumlah yang terhad.

Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents International, Julian Kam berkata mulai Isnin ini, tiket boleh didapati menerusi cawangan Ticketpro di seluruh negara atau talian hotline 03-7880-7999 dan secara online menerusi laman web www.ticketpro.com.my. ProEvents International adalah penganjur eksklusif bagi Jelajah Asia Chelsea FC 2013. "Kami yakin jualan tiket akan menerima sambutan menggalakkan selepas kunjungan pertama kelab itu ke negara ini pada 2008 menyaksikan 85,000 tiket dijual untuk perlawanan persahabatan di venue sama," katanya pada sidang media semalam.

Lawatan kelab juara Liga Eropah terbaru itu adalah kali ketiga sejak 2008 apabila mereka mengalahkan Pilihan Malaysia 2-0 sebelum menang tipis 1-0 ke atas pasukan yang sama pada 2011. Media Britain baru-baru ini melaporkan bahawa Jose Mourinho, pengurus kelab Real Madrid dari Sepanyol telah disebut-sebut untuk kembali ke Chelsea FC sebagai pengurus baharu bagi menggantikan Rafael Benitez yang mengikat kontrak dua tahun bersama kelab Itali, Napoli. Sebelum ke sini, Chelsea FC akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Thailand, Singha All-Star di Bangkok pada 17 Julai sebelum mengakhiri jelajah mereka dengan menentang BNI Indonesia All-Stars dfi Jakarta, pada 25 Julai. - Bernama






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!