Thursday, June 27, 2013

PELANGI CINTA BUAT SUAMI - ACIK LANA



Lagi satu karya Acik Lana telah lulu baca dan miliki. Sebelum ini 'Kalau Memang Harus Begitu' dan novel yang satu ini juga tidak mengecewakan. Untuk info, Acik Lana sudah menghasilkan beberapa novel dan ini adalah novel terbarunya.

Kerana terambil sebuah diari milik Tengku Qalif secara tak sengaja, Imanina terpesona dengan perwatakan sebenar lelaki itu yang sangat berbeza ketika berdepan dengannya. Tengku Qalif adalah seorang lelaki yang jelas kehilangan semangat untuk hidup akibat kehilangan wanita yang paling dicintainya. Mula berputus asa dengan keadaan anaknya, mama Qalif mengadu dengan Umi Imanina, dan Umi Imanina cadangkan agar Qalif dikahwinkan saja, untuk mengubati kekosongan dan rasa kehilangan yang dideritainya. Dan Imanina sanggup mengisi kekosongan itu. Keputusan itu membangkitkan amarah dari Tengku Qalif. Baginya arwah Liyana merupakan satu-satunya wanita yang dicintai. Tak mungkin akan beralih kepada orang lain.

Akibat terlalu marah, dan lagi apabila Imanina mencabarnya, Tengku Qalif akur menjadi suami Imanina. Bermulalah kehidupan sebagai suami isteri yang sangat perit bagi mereka berdua. Dalam sabar dan demi cintanya buat suami, Imanina tabah menghadapi layanan buruk dan dingin dari Tengku Qalif. Kehadiran beberapa orang lelaki yang tertarik kepada Imanina, dan beberapa kejadian yang tidak disangka, menjadikan Tengku Qalif mula menyayangi Imanina. Qalif yang dingin, mula menjadi mesra dan romantik.

Namun pada suatu ketika, apa yang pernah menimpa Tengku Qalif, benar-benar terjadi kepada Imanina. Dia kehilangan suami yang sangat dicintainya ketika dia baru saja mengetahui dia hamil. Dan keadaan itu menjadikan Imanina persis keadaan Tengku Qalif suatu ketika dulu. Namun cintanya tetap utuh buat lelaki itu......



Tajuk : Pelangi cinta buat suami
Penulis : Acik Lana
Halaman : 823 muka surat
Harga : RM30/RM33




P/S - Fully recommended by Lulu Caldina



"SELAMAT PENGANTIN BARU BUAT PENULIS, ACIK LANA DAN SUAMI, YANG BARU SAJA MELANGSUNGKAN PERKAHWINAN MEREKA"






.

Julia Gillard, perdana menteri Australia tersungkur


Julia Gillard, perdana menteri Australia tersungkur | Perdana Menteri Australia, Julia Gillard tewas dalam pengundian menentukan kepemimpinan Parti Buruh, sekali gus mengembalikan seteru politiknya dan bekas pemimpin parti itu, Kevin Rudd mengetuai parti dan kerajaan. Rudd yang merupakan bekas Perdana Menteri Australia memperoleh 57 undi berbanding Gillard yang menerima 45 undi dalam pengundian usul undi tidak percaya berhubung 'kepemimpinan parti' tersebut. Kekalahan Gillard menyaksikan beliau gugur jawatan Perdana Menteri dan sebagai pemimpin Parti Buruh, dalam pendekatan parti untuk mengelak tewas pada pilihan raya umum akan datang.

Kemenangan Rudd itu juga, sekali gus menamatkan perebutan kuasa dalam parti pemerintah Australia itu yang berlaku sejak tiga tahun lalu, selepas Gillard dan Rudd masing-masing berikrar bahawa pihak yang kalah dalam pengundian kepimpinan parti itu, akan bersara daripada politik. Gillard yang menggulingkan Rudd sebelum tamat penggal pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 2010, mengadakan undian tersebut bagi menyelesaikan persoalan tentang kepimpinan parti itu, sebelum Pilihan Raya Umum yang dijadual diadakan pada 14 September ini. Kemenangan Rudd tersebut bakal menyaksikan pilihan raya umum diadakan pada Ogos ini bagi memberi kelebihan kepadanya untuk menarik perhatian pengundi yang masih belum mempunyai sebarang pendirian tentang kepimpinan baru parti.

Perubahan kepemimpinan dalam Parti Buruh itu berlaku berikutan beberapa tinjauan pendapat yang menunjukkan kerajaan minoriti pimpinan Gillard mungkin kalah teruk, selain memberi peluang kepada parti pembangkang menang dengan majoriti besar dalam pilihan raya umum akan datang Tinjauan pendapat juga menunjukkan Rudd lebih popular dalam kalangan pengundi dan kepemimpinannya sebagai Perdana Menteri, akan mengurangkan saiz kekalahan Parti Buruh.

Perubahan kepemimpinan itu dilihat tidak memberi kesan besar kepada polisi negara kerana Rudd dan Gillard menyokong kerjasama ketenteraan antara Australia dan Amerika Syarikat (AS) dan menyokong penuh peningkatan hubungan perdagangan dengan China. - REUTERS





.

Penyanyi Chris Brown buat hal lagi..



Penyanyi Chris Brown buat hal lagi..  | Penyanyi R&B, Chris Brown semalam didakwa langgar lari dan memandu tanpa lesen sah berhubung satu kemalangan jalan raya yang berlaku di sini pada 21 Mei lalu. Jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Los Angeles City, Frank Mateljan berkata, Brown, 24, didakwa melanggar belakang sebuah kereta dan menghadapi hukuman penjara sehingga enam bulan untuk setiap pertuduhan jika didapati bersalah. "Dia akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pada 15 Julai ini," katanya. - REUTERS





.

Kolam renang bertaraf antarabangsa bakal dibina di Tawau



Kolam renang bertaraf antarabangsa bakal dibina di Tawau | Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata sebuah kolam renang bertaraf antarabangsa bernilai RM13 juta akan di bina di Kompleks sukan Tawau, tahun ini. Katanya peruntukan membina kemudahan berkenaan telah diluluskan Kementerian Belia dan Sukan. "Projek fasa kedua ini dijangka menelan belanja kira-kira RM13 juta. Kita berharap ia dapat disiapkan sebelum Jun 2015 lebih-lebih lagi Tawau akan menjadi tuan rumah Sukan Sabah", katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Sukan Tawau di sini hari ini. Menurut Tawfiq dengan adanya kolam renang berkenaan, ia diharap dapat digunakan penggemar sukan renang di Tawau selain mencungkil bakat baru dalam sukan itu. Sementara itu, Tawfiq berkata selain membina kemudahan sukan berkualiti dan memenuhi standard antarabangsa, kementeriannya juga akan menyediakan kemudahan sukan di peringkat akar umbi seperti padang, gelanggang dan tempat permainan bagi menggalakkan belia bersukan. - Bernama

Tarikh perkahwinan penyanyi Misha Omar dan Firos Ezzwan Rossly


Tarikh perkahwinan penyanyi Misha Omar dan Firos Ezzwan Rossly | Selepas ditangguhkan September lalu, penyanyi, Misha Omar, semalam meleraikan tanda tanya ramai apabila mengumumkan bakal berkahwin dengan Firos Ezzwan Rossly, 31, Februari tahun depan. Bagaimanapun, tarikh sebenar majlis akad nikah di negeri kelahirannya, Kota Bahru, Kelantan, yang disusuli kenduri kesyukuran hanya dapat diputuskan selepas Aidilfitri. Misha atau nama sebenarnya, Samihah@ Aisha Omar, 31, mengakui lega selepas dapat berkongsi tarikh hari bersejarah mereka selepas pelbagai cerita negatif disebarkan pihak tertentu sebaik tertunda dua kali berikutan pertembungan jadual kerjaya.

“Bukan niat kami mahu berahsia atau menangguhkan perkara baik. Sejujurnya, pada usia ini, saya sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri. Cuma, saya perlu faham situasi dan tuntutan tugas bakal suami apabila tahun lalu dia mengambil peperiksaan lesen juruterbang kanan mengendalikan pesawat Airbus A330. “Apabila jadualnya kembali longgar, saya pula sudah mempersetujui komitmen lain. Kini, kami sepakat memilih Februari 2014 kerana bulan itu amat istimewa. Februari ialah bulan kami bertunang,” katanya selepas majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta pengeluar cat jenama tempatan, Colourland Paints.


Pilih majlis sederhana 

Penyanyi lagu Angin Syurga itu mengakui belum membuat sebarang persediaan, malah menyerahkan urusan itu kepada kakak yang juga pengurus peribadinya, Mimie. Enggan terlampau memikirkan tema majlis sebaliknya mengutamakan perkara wajib, Misha lebih senang andai hari bahagia mereka berlangsung secara sederhana, namun meninggalkan memori manis. “Memang perancangan ini baru dibincangkan. Jadi soal persiapan, nikah, resepsi, hantaran dan segala butiran lanjut cuma dapat ditentukan selepas pertemuan keluarga, September depan. Kami juga belum menjalani kursus perkahwinan. Kalau boleh, tentu saja kami ingin mengikutinya bersamasama. Saya harap orang ramai mendoakan semoga niat kami membina masjid dipermudahkanNya.

“Ibu pula memilih Kota Bahru sebagai lokasi pernikahan kerana ia kampung kami, sekali gus saudara-mara dapat berkumpul beramairamai,” kongsinya lagi yang memilih masjid sebagai tempat pernikahan. Sila hentikan fitnah Misha dan Firos yang juga juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) bertunang pada 20 Februari 2012 dan mengikut perancangan, mereka sepatutnya diijabkabulkan September lalu. Nyata, ikatan cinta yang bersemi terus utuh biarpun beberapa gosip nakal mengenai penundaan pernikahan mereka tercetus gara-gara dirinya dikatakan dalam proses perceraian dengan seorang usahawan automotif.

“Dayus lelaki yang mahu menceraikan Misha Omar,” ulasnya ringkas sebaik dilontarkan pertanyaan yang sudah dijelaskan sebelum ini. Katanya dalam nada tegas, hingga kini belum ada individu atau pihak tampil membuktikan kata-kata mereka. “Saya harap pengumuman ini melenyapkan terus fitnah pihak terbabit. Saya tahu siapa dalangnya, tetapi sebelum mempercayai cerita saya berkahwin dan kemudian diceraikan, fikir dulu rasionalnya. “Syukur, ketika mengharungi nista ini, tunang dan keluarga berada di sisi memberi sokongan. Rezeki saya juga dimurahkan termasuk ditawar menjadi Duta Colourland Paints. Saya melihat semua yang berlaku punya hikmah tersendiri,” katanya yang mempunyai anak angkat, Muhammad Adam Emir, 7. -BH






.

Benjy ditahan lagi kerana positif dadah jenis syabu


Benjy ditahan lagi kerana positif dadah jenis syabu | Pelakon Khaeryyl Benjamin Ibrahim, atau Benjy sekali lagi ditahan pada pagi Rabu atas kesalahan menyalahguna dadah dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa di sini. Utusan Malaysia melaporkan, anak kepada pelakon, Azean Irdawaty itu ditangkap pada kira-kira pukul 11.30 pagi semalam selepas ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis syabu. Menurut jurucakap, polis akan memohon perintah reman terhadap pelakon itu hari ini di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya. "Hasil pemeriksaan polis ke atas pelakon tersebut ketika serbuan bagaimanapun tidak menemui dadah yang dibawa bersamanya," katanya. -utusan





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!