Wednesday, August 21, 2013

DIA YANG AKU PILIH - RAFINA MIMI ABDULLAH



Benarlah kata orang, jika ditakdirkan sudah jodoh, maka dia jugalah yang akan dipilih menjadi suami. Cerita yang menarik ditulis oleh penulis ini, mengisahkan mengenai Ariana yang berjiran dengan sepasang suami isteri yang sering bertengkar. Namun si suami, Encik Izudin memang seorang yang kacak dan lelaki pelindung. Dan sememangnya Encik Izudin memang mempunyai pakej yang lengkap untuk dijadikan suami. Beberapa peristiwa yang berlaku telah menjadikan mereka rapat, sehinggalah Ariana dapat tahu melalui adik Encik Izudin yang Encik Izudin telah pun bercerai dengan isterinya.

Dan dalam waktu yang sama, bos Ariana, Haji Fahmi juga menyimpan hasrat untuk menjadikan Ariana isterinya. Walaupun Ariana dan Encik Izudin tidak ada hubungan cinta ketika itu, namun Ariana membiarkan Haji Fahmi sedar bahawa hatinya sudah menjadi milik lelaki duda itu.

Encik Izudin ni memang seorang yang sangat cemburu, namun kebaikan dan romantisnya, memang sangat-sangat memikat hati Ariana. Apabila ibu bapa Ariana terkorban di Mina, Encik Izudin lah orangnya yang mengambil berat diatas keadaan Ariana. Dia selalu gantung makanan kat tombol pintu bagi memastikan Ariana tetap makan. Maklumlah, Ariana kan tak pandai masak.. Dia juga yang selalu melindungi Ariana dari diganggu oleh lelaki-lelaki hidung belang. Owh rupanya Encik Izudin ni seorang guru mengajar silat. Dalam satu kejadian, Ariana yang salah faham, nekad melupakan Encik Izudin.. Apa yang terjadi selepas itu.. hehe, jom dapatkan novel hebat ini keluaran Kaki Novel ..



Tajuk : Dia yang aku pilih
Penulis : Rafina Mimi Abdullah
Halaman : 610 muka surat
Harga : RM22/RM25




P/S - Fully recommended by Lulu Caldina




.

Keadaan bumi hari ini


Keadaan bumi hari ini | Manusia menggunakan sumber asli yang disediakan oleh Bumi bagi tempoh setahun hanya dalam tempoh sembilan bulan dan 'berlebih-lebihan dalam penggunaannya'. Kumpulan pemikir bebas yang berkempen untuk alam sekitar, Global Footprint Network berkata, dunia telah 'melebihi batasnya', merujuk kepada manusia telah kehabisan bekalan seperti tanah, pokok dan ikan serta mengatasi kapasiti tahunan Bumi untuk menyerap bahan buangan termasuk karbon dioksida dalam setahun. Kata kumpulan itu, untuk baki sepanjang tahun ini, dunia mengalami 'hutang' ekologi dengan simpanan ikan dan hutan semakin pupus, tanah semakin berkurangan dan karbon dioksida semakin berkumpul di atmosfera.

'Hari penggunaan sumber secara berlebihan' dikira dengan membandingkan permintaan manusia ke atas sumber global dengan kemampuan Bumi menambah sumber serta menyerap sisa buangan. Dalam tempoh kurang sembilan bulan tahun ini, manusia telah menggunakan lebih banyak sumber Bumi yang boleh diperbaharui dalam setahun. Menurut Global Footprint Network, pada 1961, manusia hanya menggunakan kira-kira dua pertiga daripada sumber Bumi dan peningkatan pelepasan karbon dioksida mengakibatkan penggunaan mengatasi apa yang boleh disediakan oleh planet ini.

Manusia kini memerlukan bersamaan 1.5 planet untuk terus kekal dan menjelang pertengahan abad ini, keperluan itu akan meningkat kepada dua planet. China mempunyai jejak ekologi terbesar berikutan penduduknya yang ramai, namun beberapa negara lain memerlukan permintaan yang tinggi terhadap sumber asli bagi setiap orang. Sekiranya setiap orang mahu hidup seperti penduduk Amerika Syarika, manusia memerlukan empat planet untuk membekalkan permintaan, kata laporan itu. Empat perlima daripada jumlah penduduk dunia tinggal di negara yang menggunakan lebih banyak sumber berbanding kemampuan mereka. - AGENSI





.

Bahaya minum kopi di Venice


Bahaya minum kopi di Venice | Pelawat ke Venice perlu berhati-hati kerana harga kopi di situ memang mahal. Semua pihak sedar penginapan di bandar itu mahal tetapi tujuh pelawat dari Rome terkejut selepas perlu membayar 100 euro (RM441) untuk tiga gelas kopi dan empat gelas minuman keras di sebuah kafe. Apa yang tidak mereka sedari ialah pemilik Caffe Lavena di Dataran St Mark’s itu mengenakan bayaran perkhidmatan sebanyak 6 euro (RM26.45) setiap seorang. - REUTERS





.

Artifek besi paling tua ditemui dan anehnya ianya diperbuat daripada....


Artifek besi paling tua ditemui dan anehnya ianya diperbuat daripada.... | Artifek besi paling tua yang pernah ditemui dalam sejarah ketamadunan kemanusiaan berusia 5,000 tahun dalam bentuk manik yang dikalungkan ke atas rangka di tanah perkuburan lama Mesir disahkan diperbuat daripada serpihan tahi bintang. Imbasan ke atas manik-manik itu yang ditemui oleh ahli arkeologi British pada 1911 menggunakan teknologi tinggi mendapati bahan itu diperbuat daripada serpihan tahi bintang. Sembilan kalungan manik-manik kecil yang ditemui di kawasan perkuburan itu bertarikh sekitar 3,200 Tahun Sebelum Masihi.

Turut ditemui bersama manik-manik itu ialah lapis lazuli, agate dan emas. Manik-manik itu kini disimpan di Muzium Petrie University College London (UCL). Besi daripada tahi bintang adalah sejenis aloi yang berlainan dari segi komposisi besi yang ditemui di bumi.

Sumber-sumber galian yang terkandung di dalam manik-manik itu menyamai dengan apa yang terkandung di dalam batu yang jatuh sebagai tahi bintang ke permukaan bumi. Hasil pertukangan daripada pembuatan manik-manik itu membuktikan bahawa masyarakat Mesir 5,000 tahun dahulu sudah mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai seni pertukangan besi, kata Profesor Thilo Rehren, penyelidik di UCL. Besi daripada tahi bintang adalah jauh lebih keras dan sukar untuk dibentuk berbanding logam seperti tembaga. -AP




.

AirAsia tukar nama? Nama baru AirAsia


AirAsia tukar nama? Nama baru AirAsia | Syarikat penerbangan bajet tambang murah, AirAsia Jepun telah dijenamakan semula sebagai Vanilla Air, demikian menurut pengumuman syarikat itu pada Selasa. Presiden syarikat itu, Tomonori Ishii berkata, perkataan 'vanila' disukai oleh pelbagai lapisan masyarakat di serata dunia dan nama itu dipilih daripada 200 nama baru yang disyorkan. Pemilihan itu dibuat oleh para eksekutif syarikat dalam tempoh sebulan setengah. Bercakap dalam satu sidang akhbar di sini, Tomonori menambah, beliau sendiri berpendapat nama itu adalah satu nama yang 'comel' dan disukai ramai. Penjenamaan semula nama syarikat penerbangan itu dibuat ekoran keputusan untuk berpecah dari kerjasama yang terjalin antara AirAsia dan Japan All Nippon Airways (ANA).

ANA kini memiliki sepenuhnya kepentingan dalam Vanilla Air. Pengumuman mengenai pembatalan kerjasama itu diumum Jun lalu dan akan berkuatkuasa mulai Oktober tahun ini berikutan strategi perniagaan yang muram dan tidak mendapat sambutan. Vanilla Air dijangka akan memulakan penerbangan sulungnya menjelang lewat Disember dengan dua buah pesawat yang disewa daripada ANA. Sasaran destinasi pertamanya ialah kawasan peranginan dan percutian. Kesemua 420 kakitangan AirAsia Jepun akan diserapkan sebagai kakitangan Vanilla Air. Vanilla Air akan berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dengan sasaran pusat peranginan Asia sebagai destinasi utama.

Jumlah pesawat akan ditambah secara perlahan-lahan kepada 10 buah menjelang 2015. Harga tiket dan juga destinasi tetap Vanilla Air akan diumumkan menjelang penghujung September nanti. AirAsia Jepun mengalami kerugian sehingga AS$36 juta untuk kewangan yang berakhir Mac lalu. Tomonori Ishii menjelaskan, sebahagian besar kerugian tersebut disumbangkan oleh tabiat membuat tempahan tiket oleh para penumpang Jepun yang masih konservatif iaitu melalui ejen-ejen pelancongan sedangkan fokus penjualan mereka tertumpu menerusi jualan secara talian (online). Oleh yang demikian Vanilla Air akan kembali beroperasi dengan cara lama iaitu membuka tempahan menerusi ejen-ejen pelancongan dan pada masa yang sama tetap membuka tempahan menerusi talian. -AP





.

Benarkah dia lelaki yang tertua di dunia?


Benarkah dia lelaki yang tertua di dunia? | Seorang lelaki Bolivia yang dilahirkan dalam tahun 1890 dan masih bertenaga, didakwa menjadi lelaki paling tua di dunia sekali gus mendahului rekod dunia sebelum ini. Lapor jabatan pendaftaran Bolivia, Carmelo Flores Laura, baru menyambut ulang tahun ke 123 pada bulan lalu. Laura nampak seperti lelaki 80-an dan paling menarik penglihatan warga tua yang tinggal di kawasan pergunungan, 80 kilometer di luar bandar La Paz itu masih jelas. Lelaki dari puak Aymara itu, dikurniakan tiga cahaya mata, 16 cucu dan 39 cicit selain pernah menempuhi zaman perang Perang Dunia Pertama iaitu ketika berumur 24 tahun dan 64 tahun sewaktu Ratu Elizabeth menaiki takhta Britain.

Stesen TV tempatan, Rede Uno melaporkan, Laura yang turut kehilangan isteri pada 10 tahun lalu, percaya amalan senaman jalan kaki setiap hari dan tidak memakan semua jenis pasta dan gula telah memanjangkan tempoh hayatnya. "Saya hanya makan cananhua (sejenis kuinoa liar yang kaya dengan protein dan asid amino), malah saya tidak malas dan sering berkongsi makanan bersama isteri ketika dia masih hidup," katanya yang turut mengaku amat menggemari masakan daging skunk. - MailOnline





.

Cerita terkini mengenai penyanyi alternatif, Abot yang kini seorang penulis novel


Cerita terkini mengenai penyanyi alternatif, Abot yang kini seorang penulis novel | SEKITAR tahun 1996, penyanyi Nurimah Muhammad atau popular dengan panggilan Abot merupakan antara insan seni yang telah memperkenalkan muzik alternatif dalam industri muzik tempatan. Mula mencipta nama menerusi album pertama iaitu Alternatif Buat Orang Timur pada tahun 1996, dia turut menerima jolokan Alanis Morissette Malaysia daripada para peminatnya. Bagaimanapun, setelah melahirkan tiga buah album selain Tak Tahu (1998) dan Sayang Pokpai (2001), kerjaya nyanyian penyanyi kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu kian suram. Hanya selepas 10 tahun kemudian, barulah penyanyi berkenaan muncul dengan sebuah album baharu berjudul My Happy Tree yang diterbitkan pada tahun 2011. Berkesempatan menemui penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Rindu dan Camar itu baru-baru ini, dia menyatakan tidak pernah meninggalkan bidang seni suara, meskipun jarang tampil dengan lagu-lagu baharu.

“Saya akui tidak terlalu aktif dalam bidang nyanyian kerana lebih banyak memberi tumpuan kepada melakukan kerja-kerja belakang tabir, seperti mengarah klip video. “Pada masa yang sama, saya turut menyambung pelajaran di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur dalam jurusan Diploma Penyiaran dan Filem,” jelasnya yang tampil bertudung sejak setahun lalu. Menurut Abot, dia juga sudah lama berjinak-jinak dalam bidang penulisan dan sehingga kini dia telah menghasilkan sebanyak lapan buah novel. Ujarnya, antara novel-novel yang telah dihasilkan olehnya setakat ini seperti Tinggal Jangan Lepaskan, Demi Cinta Khisa 1, Demi Cinta Khisa 2, Cinta Gonie, Cinta Dua Langit Senja 1, Cinta Dua Langit Senja 2, Cerdik Sivik dan My Happy Tree.“Sebenarnya sudah lama saya meminati dunia penulisan, termasuklah menghasilkan sendiri lagu-lagu yang saya nyanyi sebelum ini. Selain itu, saya cukup berminat menghasilkan skrip tetapi saya bermula dengan penulisan novel terlebih dahulu,” ujarnya.

Ditanya mengenai sekiranya ada mana-mana pihak yang berminat mengambil salah sebuah novelnya untuk diadaptasi menjadi drama atau filem memandangkan ia seperti menjadi satu trend sekarang ini, Abot memberitahu, sudah ada beberapa pihak yang menunjukkan minat. “Memang ada penerbit yang mahu memilih beberapa buah novel saya untuk dijadikan filem. “Namun, atas sebab-sebab tertentu ia hanya tergantung begitu sahaja tanpa ada sebarang tindakan lanjut. “Lagipun, saya pernah meletakkan syarat bahawa sekiranya ada penerbit mahu adaptasi novel saya menjadi filem, mereka perlu memilih saya untuk menjadi pengarah,” tegasnya.


Berduet 

Setelah kali terakhir menghasilkan album pada tahun 2011 menerusi My Happy Tree, kini Abot muncul pula dengan single baharu berjudul Hanya Dua Kalimah. Menariknya, lagu tersebut tidak menampilkannya seorang diri, sebaliknya dia berduet dengan penyanyi yang turut dikenali menerusi genre muzik alternatif iaitu Royce Saayan. “Untuk lagu Hanya Dua Kalimah ini kami mengetengahkan genre World Music dengan konsep lagu berunsur ketuhanan dan nasihat. Lagu ini dihasilkan oleh Royce, manakala saya pula menghasilkan liriknya. “Hanya Dua Kalimah sudah mula kami rakam sejak sebelum bulan puasa lagi dan selepas Aidilfitri ini kami akan turun padang untuk mempromosikannya di stesen-stesen radio tempatan,” jelasnya. Sementara itu, Royce pula menjelaskan, idea untuk kolaborasi bermula apabila Abot pernah membuat kenyataan ingin berduet dengannya kira-kira dua tahun lalu. “Selepas itu saya dan Abot berjumpa dalam sebuah majlis beberapa bulan lalu dan sempat membincangkan perkara mengenai duet kami berdua sehingga lahirlah single baharu ini,” -Kosmo





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!