Thursday, August 22, 2013

Serius : Kemalangan kereta api yang merempuh 37 orang di India



Serius : Kemalangan kereta api yang merempuh 37 orang  di India | Sebuah stesen kereta api di Bihar diserang kumpulan perusuh selepas 37 penganut Hindu yang sedang melintas landasan dirempuh salah sebuah pengangkutan awam itu, menurut pihak berkuasa, kelmarin. Ketua stesen kereta api Dhamara Ghat, Arun Malik memaklumkan pemandu Ekspres Rajya Rani itu turut dipukul selain enam gerabak juga dibakar oleh kumpulan tersebut. "Sekumpulan pemuda turut bertindak ganas dengan memecahkan cermin dua kereta api lain yang berada di stesen ini," katanya dipetik dari laporan Al-Jazeera.


Beberapa jam selepas itu, ribuan penduduk dilaporkan berkumpul di stesen itu untuk menghalang pihak berkuasa memadamkan kebakaran serta memindahkan kesemua mayat mangsa. Susulan daripada itu, pejabat Perdana Menteri Mahmohan Singh telah bertindak mengeluarkan kenyataan menggesa supaya penduduk bertenang bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka. - Al-Jazeera




.

6 Gambar mangsa tragedi gas beracun di Syria yang mengorbankan lebih 500 mangsa


6 Gambar mangsa tragedi gas beracun di Syria yang mengorbankan lebih 500 mangsa  | Dua kumpulan pembangkang Syria mendakwa, lebih 500 terbunuh apabila tentera Presiden Bashar al-Assad melepaskan gas beracun dalam satu serangan dekat Damsyik, semalam.


Kumpulan yang mengaku sebagai aktivis berkata, tentera rejim Bashar menembak roket berisi gas ke kawasan orang awam. Sementara itu, Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria berpangkalan di Britain melaporkan, serangan mencetuskan ketegangan di pinggir bandar Zamalka, Arbeen dan Ein Tarma.


Bagaimanapun, dakwaan serangan gas beracun itu masih belum disahkan oleh pihak berkuasa. Menurut pegawai, serangan itu dipercayai bertujuan mahu menakutkan kumpulan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditugaskan memeriksa isu penggunaan senjata nuklear.


"Jelas sekali, ia adalah usaha pembangkang untuk menggagalkan dan mencari kesalahan penyiasat PBB terhadap misi mereka di Syria," katanya dipetik dari laporan Al-Jazeera.


Minggu lalu, sekumpulan pakar senjata PBB tiba di Damsyik bagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan pemberontak menggunakan senjata kimia yang membunuh penduduk serta tentera Syria.-AP






.

Terkini mengenai nahas kemalangan bas di Genting


Terkini mengenai nahas kemalangan bas di Genting | Kaki dan cebisan organ dalaman manusia ditemui tidak jauh dari badan bas yang remuk teruk selepas terjunam ke gaung dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands. Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Mansor Mohd Nor berkata kaki dan cebisan organ dalaman itu mungkin milik dua invidu. Kaki itu ditemui dalam operasi mencari saki baki mangsa oleh pasukan penyelamat di lokasi kejadian nahas itu pagi ini, katanya kepada pemberita di sini hari ini. "Antara yang ditemui dalam operasi bermula 9.45 pagi itu ialah barang-barang peribadi milik mangsa nahas yang diharap dapat membantu anggota keluarga mengecam identiti mangsa. "Sebanyak 34 daripada 37 mayat mangsa juga sudah dibedah siasat. Rata-ratanya mati akibat kecederaan teruk di dalam badan," katanya. Mohd Mansor berkata pasukan penyelamat juga tidak menjangka menemui mayat lain di lokasi kejadian hari ini selain menunggu siasatan Puspakom Sdn Bhd dan pasukan forensik polis di kawasan nahas sebelum menarik naik bangkai bas.

"Bas terbabas ke dalam gaung 60 meter dari permukaan jalan. Nasib baik bas tersangkut pada pokok, jika tidak bas boleh jatuh lebih jauh ke dalam," katanya. Buat masa ini, polis belum mengambil kenyataan daripada mangsa yang selamat kerana mereka masih dalam keadaan trauma. Beliau juga meminta orang ramai tampil ke Hospital Kuala Lumpur atau datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong jika mengesyaki ada anggota keluarga yang terlibat dalam nahas itu.


Siasatan Nahas Bas 

Meliputi Semua Sudut KUANTAN: Siasatan mengenai kemalangan bas yang mengorbankan 37 nyawa di KM3.5 Jalan Genting Highlands akan meliputi pelbagai sudut, kata Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani. Beliau berkata polis akan mula mendapatkan keterangan daripada saksi dan penumpang yang terselamat dalam kejadian itu hari ini. "Siasatan akan dilakukan dari semua sudut untuk mendapatkan gambaran tepat mengenai kejadian itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas apabila bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara. Nahas yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara itu turut menyebabkan 16 penumpang cedera.


Nahas Bas: 17 Mayat Telah Dikenalpasti 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 warga tempatan dan tiga warga asing telah dikenal pasti daripada 30 mayat mangsa nahas bas di Genting Highlands yang dibedah siasat setakat ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran hari ini. Beliau berkata daripada 14 mayat warga tempatan itu, dua adalah Melayu, 11 Cina dan satu Sikh manakala warga asing masing-masing ialah Bangladesh, Nepal dan Korea Selatan. "Daripada 30 mayat yang dibedah siasat setakat 11 pagi ini, sebanyak 22 adalah lelaki dan lapan perempuan," katanya pada sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur di sini. Dr Jeyaindran berkata setakat ini, enam mayat telah dituntut oleh keluarga masing-masing manakala proses untuk mengenal pasti identiti mayat lain masih dilakukan. Unit Forensik HKL dijangka selesai menjalankan proses bedah siasat ke atas tujuh lagi mayat pada tengah hari ini.

Selain itu, katanya seramai 16 mangsa nahas itu selamat dan berada dalam keadaan stabil. "Lima orang daripada mereka mendapat rawatan di HKL di mana tiga daripadanya warga Malaysia, seorang Bangladesh dan seorang Thailand. Warga Thailand dan seorang warga tempatan kini berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya. Selain itu, lapan orang lagi ditempatkan di Hospital Selayang terdiri daripada tiga warga tempatan, tiga warga Bangladesh dan dua warga Indonesia, seorang warga tempatan dan seorang warga Korea Selatan dirawat di Sungai Buloh dan seorang warga Indonesia di Hospital Bentong. Dr Jeyaindran berkata tiada mangsa yang meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan semasa menerima rawatan di kesemua hospital berkenaan. "Ini menunjukkan, kesemua kakitangan perubatan yang terlibat dalam misi ini terbukti telah melakukan yang terbaik dalam mengendalikan proses penyelamatan dan bedah siasat dilakukan dengan efisien dalam masa 24 jam selepas menerima panggilan mengenai kejadian ini semalam," katanya. - Bernama






.

8 Gambar konsert Metallica di Stadium Merdeka



8 Gambar konsert Metallica di Stadium Merdeka | Selama tiga dekad gah berdiri sebagai band trash metal di persada muzik dunia, Metallica terus membuktikan faktor usia bukan masalah untuk mereka beraksi di pentas konsert. Biarpun keempat-empat anggotanya sudah mencecah usia 50-an, namun faktor itu tidak sikit pun menghalang band yang dikenali dengan jolokan 'Raja Metal' ini membuktikan bahawa mereka masih punya stamina - masih ligat! Buktinya, bertempat Stadium Merdeka Kuala Lumpur, band legenda Amerika Syarikat ini malam tadi melakar sejarah buat pertama kalinya membuat persembahan di hadapan hampir 30,000 peminat tanah air.


Selama 1 jam 45 minit beraksi tanpa henti, Metallica bikin peminat 'menggiler' dengan seleksi 18 lagu terbaik mereka dari album pertama hingga terkini. Dianggotai oleh James Hetfields 50, (penyanyi, gitaris), Lars Ulrich, 49, (dram), Kirk Hammett 50, (gitaris) dan Rob Trujillo 48, (bassis), band ikon yang ditubuhkan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 1981 ini membuka tirai Konsert Metallica Live in Malaysia 2013 dengan Master Of Puppets dan Fuel.


 "Anda semua dah bersedia untuk terus berseronok lebih lama lagi? Hanya setelah 31 tahun baru kami dapat ke sini. Saya minta maaf pada anda semua. Tapi kami masih belum terlambat, bukan? Kami sangat teruja dapat beraksi dan berbesar hati dapat melihat wajah-wajah anda semua", ungkap James dan kemudian bergema stadium dengan sorakan peminat.


Kemudian sekali lagi dia bertanyakan kepada peminat, "Anda mahu lagi? Anda mahu apa? Tak mengapa, saya tahu anda mahu apa. Dah 31 tahun anda semua menunggu, ini untuk anda semua...", sambungnya James lagi. Lalu arena terus digegarkan dengan lagu lain seperti Fade, Havester of Sorrow, Ride The Lighthing, Cyanide, Sanitarium, Sad But True, One, Orion, Blackened, Nothing Else Matter, Enter Sandman, Creeping Death, Baterry dan Seek & Destroy.


Hampir separuh daripada penonton yang menyaksikan konsert itu merupakan peminat Metallica yang berusia 30 tahun ke atas. Momen paling mengujakan apabila sepanjang konsert dapat dilihat hampir keseluruhan daripada peminat kelihatan tidak segan silu mengangguk-anggukkan kepala ketika menghayati irama lagu-lagu berentak berat yang dipersembahkan.


Tak kurang ramai yang turut ikut menyanyi sama, bertepuk tangan dan bersorak. Konsert yang berakhir sekitar jam 10.30 malam itu turut dihadiri beberapa selelebriti tempatan seperti Faizal Ismail (FBI), pelakon Dira Abu Zahar bersama suaminya, penyanyi Ruhil Amani, Mus (May) dan Bunkface.


Untuk rekod, kali terakhir Metallica singgah di Asia Tenggara ialah pada 1991 sempena promosi album Metallica di mana ketika itu mereka sempat mengadakan konsert di Singapura dan Jakarta, Indonesia. Konsert Metallica Live in Malaysia 2013 dianjurkan oleh Galaxy Group.


Selepas Kuala Lumpur, band yang pernah menerima penghormatan tertinggi dalam industri muzik Amerika Syarikat apabila dimasyhurkan dalam senarai The Rock and Roll Hall of Fame ini akan mengadakan konsert di Singapura pada 24 Ogos (Sabtu) ini. -MD






.

Suami tikam isteri hingga mati kerana percaya isteri punya hubungan sulit



Suami tikam isteri hingga mati kerana percaya isteri punya hubungan sulit | Hanya kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang suami menikam wanita itu sehingga mati dalam pertengkaran di rumah mereka di Ganang, Kepayan di sini pagi semalam. Dalam kejadian di rumah kongsi berhampiran tapak pembinaan itu, mangsa, Suria Amuk, 45, yang merupakan warga Filipina mati akibat kecederaan parah. Difahamkan, mangsa baru pulang dari tempat kerjanya di kawasan pembinaan pada pukul 9.45 pagi sebelum didatangi suaminya, juga warga Filipina, lalu menuduhnya menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain sehingga berlaku pertengkaran.

Suspek yang berang kemudian mengambil senjata tajam dipercayai pisau di dapur lalu menikam mangsa bertubi-tubi di bahagian badan sehingga mati. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.50 pagi dan sepasukan polis telah dikejarkan ke tempat kejadian. "Suspek tidak melarikan diri sebaliknya menyerah diri sebaik sahaja polis tiba di rumahnya. Mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian dengan beberapa kesan tikaman di badannya," katanya. Beliau memberitahu, motif kejadian dipercayai kerana cemburu.





.

12 Gambar nahas bas ngeri di Genting Highlands yang membawa 53 orang penumpang


12 Gambar nahas bas di Genting Highlands yang membawa 53 orang penumpang | Sebanyak 37 orang maut apabila sebuah bas ulang-alik Genting Highlands yang membawa 53 penumpang terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sedalam 150 meter sewaktu menuruni pusat peranginan itu di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands- Kuala Lumpur semalam.


Nahas terburuk dalam sejarah kemalangan negara itu berlaku kira-kira pukul 2.24 petang ketika bas dipandu Lim Kok Ho, 44, yang turut maut, menuruni puncak Genting Highlands ketika hujan renyai-renyai menuju ke ibu negara.


8 Gambar nahas bas ngeri di Genting Highlands yang membawa 53 orang penumpang | Selain 37 mangsa yang terkorban, 16 lagi penumpang cedera parah dan mereka dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong. Malah ada di antara mangsa kemalangan ngeri itu yang tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter selepas kenderaan itu terhumban ke dalam gaung. Kebanyakan mangsa maut akibat terhimpit dan tercampak ke bahagian tempat duduk pemandu selepas bas itu terjunam.


Penolong Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi), Datuk Soiman Jahid memberitahu, bas itu dipercayai hilang kawalan sewaktu menuruni selekoh berhampiran tokong Cina lalu merempuh penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.



"“Terdapat beberapa mangsa yang tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter ke dalam gaung ketika bas itu terhumban. “Sebanyak 53 penumpang dipercayai menaiki bas berkenaan. Bagaimanapun setakat ini kita belum mengenal pasti punca sebenar kemalangan berlaku. “Mangsa pertama yang cedera dibawa keluar pada pukul 3.54 petang manakala mayat terakhir dikeluarkan pada pukul 8.01 malam. Kesemua mayat mangsa dihantar ke HKL manakala 16 mangsa yang cedera dihantar ke HKL, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Bentong," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.




Identiti kesemua mangsa yang maut belum disahkan namun pecahan mereka ialah seorang lelaki Melayu; 19 lelaki Cina dan sembilan wanita Cina; tiga lelaki India dan seorang wanita India serta keturunan lain tiga lelaki dan seorang wanita.


Menurut Soiman, sebanyak 452 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pasukan perubatan bertungkus-lumus mengeluarkan mayat dan mangsa kemalangan itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohd. Mansor Mohd. Noor memberitahu, setakat ini belum dikenal pasti sama ada terdapat kanak-kanak yang turut terkorban. “Pasukan menyelamat menggunakan kren untuk mengeluarkan semua mereka yang tercedera dari lokasi kejadian," katanya.


Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai melawat tempat kejadian. -Utusan







P/S - Sumber gambar dari akhbar-akhbar tempatan






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!