Tuesday, September 17, 2013

Ada yang aneh pada haiwan ini


Ada yang aneh pada haiwan ini | Seekor ketam yang ditemui di luar pantai di Britain telah menarik perhatian ramai kerana mempunyai tiga penyepit. Dipetik laporan DailyMail, ia kini dipamerkan Akuarium Blue Reef selepas ditangkap oleh John Martin berhampiran Newquay di Cornwall. Difahamkan, pakar juga tidak dapat memberi penjelasan bagaimana ketam boleh dimakan spesies Cancer pagurus berukuran 18 sentimeter tersebut mempunyai penyepit tambahan. Jurucakap akuarium tersebut, Jenni Smith berkata, penemuan haiwan krustasia (tanpa tulang belakang) itu agak luar biasa. "Ia mungkin disebabkan oleh perubahan alam sekitar atau akibat mutasi genetik. Penyepit ketam biasanya akan tumbuh kembali jika ia rosak atau patah," menurutnya. -AP




.

Inilah impian Jackie Chan


Inilah impian Jackie Chan | Aktor terkenal Hong Kong, Jackie Chan merancang membina taman tema di Yizhuang, Beijing, China. Taman seluas 2,000 meter persegi itu dinamakan JC World dilengkapi lima bahagian dengan tema berasingan. Menurutnya, taman tema itu juga akan mempamerkan koleksi peribadinya seperti perabot dan barang kemas. “Ketika zaman kanak-kanak, saya sangat miskin. Kini, saya mempunyai wang dan saya beli apa sahaja yang saya mahu. Saya mahu tunjukkan koleksi barangan saya kepada semua orang walaupun sesetengah barang yang saya beli tidak berbaloi dengan harga tetapi percayalah kesemuanya mempunyai cerita tersendiri,” katanya kepada AFP. Menurutnya, hanya 40 peratus daripada kawasan taman itu dikenakan tiket manakala selebihnya adalah percuma. -AP




.

Apa ada dalam gambar ini?



Apa ada dalam gambar ini? | GAMBAR pelepasan roket Lunar Atmosphere and Dust Environment Explorer (Ladee) dikeluarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dari Wallops Flight Facility, Virginia, Amerika Syarikat, Jumaat lalu menarik perhatian orang ramai. Mana tidaknya, dalam 10 foto itu, terdapat gambar memaparkan 'objek terbang’ ketika pelancaran berlaku. Jurucakap Nasa Allard Beutel berkata kepada DailyMail, foto itu tulen dan objek tersebut disahkan seekor katak. “Katak itu bukan sebahagian daripada uji kaji dan bukan penumpang roket Ladee,” katanya.

Menurutnya, bersebelahan pusat kemudahan Wallops Flight terdapat kolah yang berfungsi melindungi landasan dan menyerap bunyi ketika pelancaran roket ke udara. “Mungkin ketika insiden tersebut, katak itu berada dekat dengan Ladee dan tekanan kuat ketika roket berlepas menyebabkan katak itu turut terbang ke udara,” katanya. Difahamkan, kejadian sama pernah berlaku ketika pelancaran misi STS-114 (pesawat ulang alik Columbia) pada 2005 yang mana seekor burung terperangkap pada tangki pesawat tersebut. Pada 2009, seekor kelawar pula didakwa melekat pada badan pesawat ketika pelancaran misi STS-119 (pesawat ulang alik Discovery). -DM





.

Spesies siput baru ditemui di Croatia. Unik dan berbeza



Spesies siput baru ditemui di Croatia. Unik dan berbeza | Kumpulan saintis dari Universiti Goethe, Frankfurt dan kumpulan penyelidik yang melakukan kajian ke atas organisma bawah tanah di Croatia menemui siput bercengkerang lutsinar seperti kaca. Dipetik laporan DailyMail, Zospeum tholussum yang ditemui di Lukina Jama-Trojama iaitu salah sebuah daripada 20 gua paling dalam di dunia itu turut disahkan sebagai spesies siput baru. Ia ditemui di kawasan berpasir dan berbatu berhampiran aliran anak sungai pada kedalaman luar biasa iaitu 980 meter dari permukaan gua tersebut.

Menurut saintis, ia jelas menunjukkan siput terbabit memilih tempat gelap dan kawasan berlumpur di dalam gua bawah tanah sebagai habitatnya. Selain itu, mereka juga mendapati keupayaan untuk haiwan tersebut bergerak juga terhad dan ia terpaksa 'menumpang' haiwan mamalia lebih besar untuk berpindah ke kawasan lain. Penemuan menakjubkan itu turut diterbitkan menerusi jurnal Biologi Bawah Tanah. -AP





.

Kisah Nina Davuluri, wanita pertama keturunan India pemenang Miss America 2014


Kisah Nina Davuluri, wanita pertama keturunan India pemenang Miss America 2014 | Nina Davuluri menjadi wanita pertama keturunan India dan wakil kedua dari New York untuk menang gelaran 'Miss America' malam kelmarin. Bagaimanapun, tweet berbaur perkauman mencemarkan kemenangan Davuluri, 24, dalam pertandingan yang disiarkan secara langsung itu. Beliau menggantikan seorang lagi wakil New York, Mallory Hagan, sebagai pemenang. Davuluri membuat persembahan tarian ‘fusion’ Bollywood ketika sesi tunjuk bakat. “Saya gembira penaja pertandingan mementingkan persaingan antara pelbagai budaya dan kita boleh lihat di pentas ini. “Saya berbangga menjadi ratu Amerika pertama berketurunan India,” kata Davuluri yang bercita-cita menjadi doktor. Pemenang tempat kedua ialah ratu California, Crystal Lee.


Pertandingan itu menyaksikan 53 jelitawan bertanding kategori pakaian mandi, gaun malam, pertunjukan bakat dan wawancara. Bagaimanapun, kemenangan Davuluri disusuli ulasan berbaur perkauman dan menghina di Twitter. “Jika kamu #Miss America, kamu perlulah bangsa Amerika,” kata seorang ahli Twitter. “Bilakah wanita kulit putih akan menang #MISSAMERICA? Ada peluangkah??!!” kata satu lagi Tweet. “Mereka pilih seorang Muslim untuk jadi ‘Miss America’. Itu tentu menggembirakan (Barack) Obama. Mungkin dia juga mengundi,” kata satu tweet lagi. Bagaimanapun, adalah tidak benar Davuluri beragama Islam manakala Obama juga tidak mengundi pemenang. Ada juga menuduh pemilihan Davuluri umpama menyokong al-Qaeda dan serangan 9/11. “Pemenang Miss America atau ratu al-Qaeda?” sindir Shannon McCann dalam tweetnya.

Luke Brasili pula mengeluarkan tweet berbunyi ‘9/11 baru disambut 4 hari lalu dan dia menang Miss America?” Tumpuan banyak diberi kepada wakil Kansas, Theresa Vail, yang dipercayai peserta pertama untuk menunjukkan tatu pada badannya. Dalam satu mesej di Twitter, Vail berkata: “Menang atau kalah, saya sudah berjaya capai matlamat. Saya bantu kebebasan wanita. Saya buka mata ramai orang.” Vail berjaya masuk ke senarai 10 terbaik hinggalah layak ke pusingan separuh akhir. AGENSI





.

Seorang lelaki ditemui mati tergantung dalam bilik oleh isterinya


Seorang lelaki ditemui mati tergantung dalam bilik oleh isterinya | Seorang bapa muda ditemui mati tergantung oleh isterinya di dalam sebuah bilik di rumah mereka di Kampung Gong Nangka, dekat Jertih, di sini, semalam. Wanita berusia 20 tahun itu hanya menyedari kejadian selepas masuk ke dalam bilik tidur berkenaan kira-kira jam 10 pagi apabila usaha memanggil suaminya tiada jawapan. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa berusia 20 tahun ditemui berpakaian lengkap oleh isterinya dalam keadaan tergantung dengan seutas tali nilon terjerut di lehernya. Menurutnya, kali terakhir wanita itu berjumpa dengan suaminya kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin ketika isterinya itu hendak pergi kerja di sebuah pasar raya di Jertih.

 “Siasatan awal mendapati tidak ada unsur jenayah dan dipercayai mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan itu menggantung diri sekitar jam 6 hingga 7 pagi semalam,” katanya. Kamaruddin berkata, pasangan tersebut mempunyai seorang bayi perempuan berusia 7 bulan dan mereka tinggal bersebelahan dengan rumah keluarga mangsa. Menurutnya, motif mangsa bertindak sedemikian masih belum diketahui tetapi polis tidak menolak kemungkinan kerana mangsa menghadapi masalah peribadi termasuk dadah. "Siasatan awal mendapati mangsa mula menagih dadah sejak berusia 14 tahun lagi. "Mayatnya dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk dibedah siasat dan pemeriksaan lanjut," katanya. Difahamkan sebelum dijumpai mati, mangsa enggan menghantar isterinya pergi bekerja seperti kebiasaannya. Apabila isterinya pulang ke rumah malam kelmarin, dikatakan mangsa hanya berkurung dan tidak keluar dari bilik. -SH





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!