Friday, October 11, 2013

Warga emas ini memiliki kebiasaan yang lain dari yang lain



Warga emas ini memiliki kebiasaan yang lain dari yang lain | Skank (sigung), sejenis haiwan kecil dari Amerika Utara yang mengeluarkan bau busuk sekiranya diancam mungkin bukan pilihan terbaik untuk dijadikan binatang peliharaan di rumah, namun seorang wanita warga emas bersedia menjadikan rumahnya sebagai kediaman bagi haiwan itu. Deborah Cipriani, 55, memelihara 50 ekor musang berbau busuk itu di dalam rumahnya, sekali gus menjadikan kediamannya seperti pusat menyelamat bagi skank tempatan. Bukan itu sahaja, wanita berasal dari North Ridgeville, Ohio itu turut membiarkan binatang yang mempunyai ekor gebu tersebut bebas berkeliaran di rumahnya, malah tidur bersamanya.

''Ramai orang menanggap tindakan kami ini pelik kerana menyukai skank untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan, lalu saya bertanya kepada mereka, mengapa anda mahu membela anjing sebagai binatang peliharaan?. ''Ia sebenarnya disebabkan faktor yang sama iaitu skank boleh dicintai dan merupakan haiwan yang setia,'' kata wanita itu yang mula memelihara binatang itu pada 2000.


Cipriani, seorang pekerja perkhidmatan pelanggan berkata, dia mempunyai banyak skank di rumahnya dan setiap ekor daripada binatang itu mempunyai personaliti yang berbeza. ''Ada yang agak baik dan ada yang tidak. Ada yang mahu tidur di atas katil dan sebaliknya. ''Namun, kami melayan kesemua haiwan itu seperti keluarga kami,'' kata wanita yang tinggal di rumah itu bersama pasangannya, Kevin, 51 tahun. - AGENSI





.

Cukup sekali tunai haji, dan beri peluang untuk orang lain pula



Cukup sekali tunai haji, dan beri peluang untuk orang lain pula | Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh menggesa umat Islam yang telah pernah menunaikan haji, supaya mengelak daripada mengulanginya bagi memberi peluang dan keselesaan kepada jemaah kali pertama yang terlalu ramai. Beliau menasihatkan umat Islam terlibat supaya menyedekahkan wang yang sepatutnya untuk menunaikan haji itu kepada sesiapa yang memerlukan. Berucap dalam satu persidangan anjuran Kementerian Haji di Mekah, beliau berkata, ibadah haji sebenarnya hanya difardukan kepada setiap orang sekali dalam seumur hidup.

"Rasulullah (S.A.W) menunaikan haji hanya sekali. Umat Islam harus mengikutinya dan menjadikan haji mudah bagi setiap orang," katanya, lapor portal berita Arab News. Sheikh Abdul Aziz menegaskan, tanggungjawab setiap Muslim ialah menyempurnakan ibadah haji sekali dalam hidupnya dan tiada keperluan untuk mengulanginya terutama pada tahun ini dan akan datang apabila jumlah jemaah terlalu ramai datang dari seluruh pelosok dunia. - ARAB NEWS




.

Gambar kalimah Allah di bumbung tokong Pekan Pasir Panjang



Gambar kalimah Allah di bumbung tokong Pekan Pasir Panjang | Gara-gara penyebaran gambar di dalam laman Facebook, sebuah tokong di pekan Pasir Panjang, dekat sini dikerumuni lebih 200 penduduk sekitar, malam kelmarin. Semuanya kerana sebuah laman Facebook memaparkan gambar bumbung tokong berkenaan yang dikatakan terbentuk kalimah ALLAH, menyebabkan penduduk datang ke luar kawasan tokong berkenaan bagi menyaksikan sendiri dakwaan tersebut. Seawal jam 8 malam lagi, mereka berpusu-pusu datang ke tokong berkenaan untuk melihat, sekali gus merakamkan gambar bumbung tersebut. Tidak kurang juga, ada individu yang melalui jalan Pasir Panjang-Port Dickson ini turut memberhentikan kenderaan mereka untuk mengetahui cerita sebenar.

Berikutan itu juga, sepasukan polis terpaksa ditugaskan mengawal keadaan berikutan jumlah orang ramai bersilih ganti serta berkumpul di kawasan berkenaan. Menurut Sin San Huo, 63, yang menjalankan perniagaan kedai runcit bersebelahan rumah ibadah itu berkata, dia hairan melihat orang ramai datang dan berkumpul di depan bangunan itu. "Saya telah lama menetap dan berniaga di sini, namun tidak pernah perasan tentang perkara itu. Malah, sebelum ini tiada siapa yang bercerita tentangnya. Entah bagaimana hari ini (kelmarin) tiba-tiba boleh wujud cerita semacam itu. “Tokong ini berusia lebih 100 tahun dan jika tidak silap, bumbung didakwa membentuk tulisan jawi itu baru sahaja diubah suai kurang 10 tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Mohd Khairul Ali, 36, berkata, orang ramai datang untuk melihat sendiri selepas perkara itu tersebar di laman sosial. “Pada pandangan saya, perkara ini berlaku bukan disengajakan mana-mana pihak dengan niat tertentu tetapi ia adalah satu kebetulan dan pastinya berlaku dengan izin ALLAH SWT. “Namun adalah wajar sekiranya pihak berkuasa terutamanya jabatan agama segera membuat penjelasan mengenai dakwaan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana ia melibatkan sensitiviti agama.

“Apabila terlalu ramai orang berkumpul dan tiada pihak memantau, kita khuatir akan berlaku pergaduhan dan sebagainya," katanya. Sementara itu, tinjauan mendapati, orang ramai hanya dapat melihat bentuk kalimah ALLAH itu pada waktu malam apabila mereka berada di kedudukan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 meter daripada rumah ibadah tersebut. Pada waktu siang, apa yang kelihatan pada bumbung itu hanyalah lekuk-lekuk seni bina bumbung rumah ibadah itu tanpa lakaran kalimah ALLAH. Malah, jika lampu jalan berhampiran tokong itu dipadamkan, lakaran kalimah itu juga tidak kelihatan. -SH





.

Pasangan kontroversi, Vivian Lee dan Alvin Tan, buat video Vivian mengelar pergelangan tangan


Pasangan kontroversi, Vivian Lee dan Alvin Tan, buat video Vivian mengelar pergelangan tangan | Vivian Lee, pasangan kontroversi kepada blogger seks Alvivi, muncul dalam klip video yang berakhir dengan babak dia 'mengelar pergelangan tangannya'. Video berjudul 'Penyesalan' itu dimuat naik di akaun Twitternya pada petang Khamis. Video berkenaan turut dimuat naik di laman YouTube pada Rabu. Klip video berdurasi dua minit itu diarahkan oleh teman lelakinya, Alvin Tan. Vivian, 24, digambarkan sebagai wanita yang tulus ikhlas yang sedang melihat pilihan yang berlaku dalam hidupnya. "Ketika saya masih keci, orang beritahu saya untuk mengejar cita-cita saya, percaya kepada diri sendiri dan cari jalan sendiri untuk berjaya. Dengan itu, semuanya akan menjadi mudah," katanya.

"Apabila dewasa, apa yang mereka kata benar-benar terjadi, saya pilih kestabilan. Jangan cakap terlalu banyak. Selain itu, saya juga seorang yang idealistik. Saya pilih ketidakpastian. Saya juga pilih bersuara terlalu kerap dan terlalu kuat. Semua orang mula rasa bangga dengan membenci saya. "Saya rasa sukar menjadi orang dewasa. Jika saya ikut hati, semua orang kata saya salah. Saya jahat dan tidak berguna. "Bukan itu sahaja mereka yang saya sayang juga enggan sayang saya lagi. Semuanya kerana idea saya dan mereka berbeza dan saya pilih jalan hidup yang unik dan tersendiri. "Adakalanya saya fikir jika saya buat perkara yang betul adalah yang terbaik. Jujurnya saya penat. Mereka berjaya. Saya gagal. Saya sering mendengar suara hati saya. Mereka semua menyambutnya dengan riang.

"Bagi saya, kehidupan ini ibarat skrip yang ditulis oleh orang lain," kata Vivian sambil mengalirkan air mata di sofa sambil menonton televisyen. "Mungkin sudah tiba masanya untuk saya tamatkan perjuangan yang tidak bermakna buat saya lagi. Hanya dengan satu pukulan," katanya. Video itu diakhiri dengan babak Vivian mengelar pergelangan tangannya dengan sebilah pisau sebelum skrin bertukar kabur. Usaha menghubungi pasangan berkenaan tidak berjaya. Sebelum ini, pasangan kontroversi itu memuat naik rakaman video seks mereka yang menyebabkan Alvin dibuang daripada pengajian undang-undang di sebuah insitutsi pengajian tinggi terkenal di Singapura.

Pasangan tersebut terus mencipta kontroversi dengan memuat naik gambar mereka menikmati bak kut teh dengan ucapan Selamat Berbuka Puasa yang menyebabkan mereka dikritik serta dipanggil untuk memberi kenyataan kepada pihak berkuasa. Pada 18 Julai lepas, Alvin Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!" yang mengandungi logo Halal.

Mereka juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam hingga 2 pagi. Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan. Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Penapisan Filem 2002 dan Kanun Keseksaan. -Mstar




.

Amah Indonesia Larikan Barang Kemas Majikan


Amah Indonesia Larikan Barang Kemas Majikan | Seorang amah Indonesia yang baharu dua bulan berkhidmat dengan majikannya di Denai Alam di sini didakwa melarikan barang kemas termasuk berlian, kesemuanya bernilai RM185,000, Selasa lepas. Rossazannah Omar, 48, pemilik butik di Seksyen 7 di sini berkata kejadian itu hanya disedari kira-kira dua jam selepas mendapati amahnya yang dikenali sebagai Wati Wijayanti, 23, menghilangkan diri. "Pada hari kejadian, saya hantar Wati dan anak bongsu saya berumur 6 tahun, ke butik sebelum menghadiri mesyuarat di Damansara, sebaik pulang kira-kira pukul 11 pagi saya dapati Wati dan anak saya tiada di butik. "Selepas menunggu lebih sejam, hati saya mula tidak sedap...saya bimbangkan anak saya dan terus ke sekolah berhampiran dan dimaklumkan oleh seorang guru bahawa Wati menghantar anak saya lebih awal iaitu pukul 11 pagi berbanding kebiasaannya 1.30 tengah hari," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, Khamis.

 Rossazannah berkata beliau kemudiannya bergegas pulang ke rumah dan mendapati kesemua barangan kemas miliknya telah lesap dari almari selain sebuah telefon pintar. Beliau berkata selepas memeriksa bilik pembantu rumahnya itu, dia menemui beberapa kertas catatan peribadi amahnya termasuk satu nota bertulis '8 Oktober lari'.

Beliau percaya amahnya itu menjalin hubungan dengan seorang lelaki warganegara Indonesia yang bekerja berhampiran kawasan perumahannya. Rossazannah yang mendapatkan khidmat amah itu secara online daripada seorang warga tempatan di Putrajaya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai amahnya supaya tampil menyalurkan maklumat. Katanya beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada hari kejadian dan turut menyerahkan beberapa dokuman termasuk pasport milik amahnya kepada pihak polis . Jurucakap polis di IPD Shah Alam ketika dihubungi berkata kes itu sedang disiasat. -Bernama






.

15 Gambar nahas pesawat Twin Otter MASWings yang terhempas di Kudat



15 Gambar nahas pesawat Twin Otter MASWings yang terhempas di Kudat | Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan dua mati dalam nahas pesawat Twin Otter MASWings terhempas di Kudat pada Khamis. Mereka ialah pembantu juruterbang Marc Joel Bansh, 23, dan penumpang Tan Ah Chai, 96.


Bansh meninggal dunia kira-kira 9 malam tadi manakala Tan menghembuskan nafas terakhir kira-kira empat jam lebih awal akibat kecederaan parah.


Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAS yang juga Pengerusi MASwings Ahmad Jauhari Yahya berkata setakat ini disahkan dua mati dan dua lagi cedera.


Beliau berkata terdapat seorang warga Filipina manakala lainnya warga Malaysia dalam pesawat itu yang membawa 14 penumpang dan dua krew. "Kami amat sedih dengan kejadian pesawat MH3002 yang terhempas, yang berlepas dari Kota Kinabalu ke Kudat pada 2.50 petang.







"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan kepada yang terbunuh dan mereka yang terlibat dalam nahas ini dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk membantu mereka dalam keadaan yang amat sukar ini," katanya dalam sidang akhbar di sini malam Khamis.







Ahmad Jauhari berkata MASwings telah membuka pusat panggilan 24 jam dan anggota keluarga penumpang yang terbabit dalam nahas itu boleh menghubungi 03-78841234 untuk sebarang pertanyaan dan maklumat.







Sejurus selepas sidang akhbar itu, Ahmad Jauhari berlepas ke Kudat untuk meninjau tempat kejadian dan melawat mangsa. Terdahulu, pesawat MASWings, MH3002 berlepas dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada pukul 2.05 petang dalam perjalanan ke sebuah daerah utara Sabah yang memakan masa 40 minit.







Pesawat berkenan terhempas ekoran cuaca buruk ketika ia cuba melakukan pendaratan pada aras 900 meter. Laporan awal mendapati angin kencang menolak pesawat daripada mendarat di landasan. Terdapat 16 orang dalam pesawat tersebut termasuk juruterbang.







Ini merupakan nahas pertama membabitkan MASwings di Kudat.


Keluarga penumpang pesawat itu diminta menghubungi 03-78841234 untuk pertanyaan dan maklumat lanjut. MASWings menawarkan perkhidmatan udara di kedua-dua bandar berkenaan. -SH





P/S - Sumber gambar dari FB dan beberapa akhbar tempatan





.

Google Malaysia kena hack oleh 1337?


Google Malaysia kena hack oleh 1337? | Dari semalam lulu tak boleh nak buka google malaysia ni. Dari ipad ke laptop, yang hairannya, laman web lain boleh pula buka senang-senang. So, itu bukanlah masalah line kan. Tapi pagi ni bila nak buka, terus nampak google Malaysia kena hacked. Entah apa motif google pun nak hacked. huhu. Dah lebih beberapa jam (sejak semalam) agaknya google ni tak maklum yer laman nya dah kena hacked. hehe

Rasa pelik sebab biasanya kalau buka google tu putih jer kan screen, sekarang ni dah jadi hitam. Ada tak yang perasan keadaan ni selain daripada lulu? cuba buka buka google eh.. Bagi lulu yang memang pengguna google ni, sebab tak boleh buka, kena lah taip kat ruangan atas sekali, boleh jer buka :) Nasib baik dia hack page depan saja.. kalau semua, memang ramailah yang akan terjejas.. hope keadaan akan segera pulih..




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!