Saturday, February 22, 2014

Pemain beregu badminton negara, Koo Kien Keat tinggalkan BAM bermula 1 mac ini


Pemain beregu badminton negara, Koo Kien Keat tinggalkan BAM bermula 1 mac ini | Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus-menerus menerima tamparan hebat apabila pemain beregu lelaki, Koo Kien Keat menghantar surat untuk meninggalkan skuad kebangsaan berkuat kuasa 1 Mac ini. Kien Keat yang sebelum ini dibekukan daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa bersama pasangannya Tan Boon Heong akibat prestasi buruk di sejak kebelakangan ini, terutama semasa Siri Super Premier Terbuka Malaysia bulan lepas, telah menghantar surat untuk keluar dari pasukan kebangsaan semalam di pejabat BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara. Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria semalam, namun beliau tidak mengetahui butiran terperinci surat tersebut.

Katanya, hasrat Kien Keat itu akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu depan. "Saya tidak tahu secara terperinci kandungan surat tersebut, tetapi saya diberitahu bahawa Kien Keat menghantarnya tadi (semalam). Kami akan membincangkan semula tentang surat yang dihantar Kien Keat dan juga hala tuju pasangannya (Boon Heong) dalam satu mesyuarat hujung bulan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam. Kien Keat baru sahaja menyambung latihan bersama skuad kebangsaan minggu ini selepas diberi pelepasan oleh BAM sebelum Tahun Baharu Cina kerana perlu menjalani rawatan laser di bahagian mata yang dijangkiti kuman. "Kami (BAM) telah menerima surat berkenaan tetapi mengenai langkah seterusnya akan dibincangkan kemudian dalam mesyuarat nanti. Jadi sebarang keputusan akan dibuat dalam mesyurat tersebut.

"Mesyuarat tersebut akan membincangkan sama ada kami akan pujuk dia semula atau sebaliknya. Keputusan kali ini juga akan dilihat dari segi prestasinya sebelum ini dan ujian yang dilakukan oleh Institut Sukan Negara (ISN) baru-baru ini terhadap semua pemain badminton negara. Saya akan menyerahkan laporan ISN itu kepada Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff," katanya. Prestasi dan gandingan pasangan yang menduduki ranking nombor tujuh dunia itu sebelum ini dipersoalkan banyak pihak termasuk media, kerana dilihat sudah tidak mampu lagi menunjukkan persembahan terbaik sejak memenangi gelaran utama terakhir pada 2010 di Terbuka Malaysia. BAM telah banyak kali didesak supaya memecahkan beregu utama negara itu, terutama selepas mereka gagal membawa pulang sebarang pingat dari Sukan Olimpik 2012 di London.

Desakan tersebut semakin kuat selepas Kien Keat-Boon Heong menunjukkan prestasi buruk dalam kejohanan berpasukan campuran, Piala Sudirman, Mei tahun lalu apabila diaibkan oleh pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin dan pada Terbuka Indonesia sebulan kemudian mereka ditunjukkan jalan keluar oleh beregu tuan rumah, Alvent Yulianto Chandra-Markis Kido di pusingan kedua. Kien Keat-Boon Heong pernah bertemu Tengku Mahaleel sejurus digugurkan daripada skuad ke Terbuka Jepun tahun lepas sekali gus mencetus tanda tanya apakah pasangan itu sedia dipecahkan atau mahu meninggalkan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, pasangan yang mula digandingkan sejak 2006, itu diberi ‘talian hayat’ oleh BAM hingga akhir tahun lepas untuk membuktikan gandingan mereka masih relevan tetapi gagal membalas kepercayaan badan kebangsaan itu. Prestasi buruk ketika Terbuka Malaysia, apabila tersingkir di pusingan pertama, bulan lepas tidak mendorong BAM memisahkan beregu lelaki utama negara itu, sebaliknya mereka hanya dibekukan daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa tetapi meneruskan latihan seperti biasa. -Utusan





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!