Ini penjelasan penumpang yang didakwa 'rampas' pesawat di Bali | Seorang penumpang warganegara Australia yang mencetuskan amaran berlaku rampasan ke atas pesawat ke Denpasar, Bali pada Jumaat, menafikan mabuk sebaliknya mendakwa tersilap menghempas pintu kokpit yang disangka pintu tandas. Jurucakap polis Bali, Hery Wiyanto berkata, berdasarkan keterangan suspek, Matt Christopher Lockley, 28, beliau mendakwa berada dalam keadaan tertekan semasa dalam pesawat Virgin Australia itu ke pulau peranginan berkenaan. "Suspek datang ke Bali mencari isterinya yang berasal dari Bandung (Indonesia).
Beliau sudah dua minggu terputus hubungan dengan isterinya dan keadaan itu menyebabkan beliau tertekan," kata Hery seperti dipetik agensi berita Antara, Sabtu. Tambahnya, lelaki terbabit memberitahu polis bahawa beliau mengambil dua biji pil Voltaren dan empat biji Panadol yang kedua-duanya ubat penahan sakit, serta dua botol minuman bersoda sebelum berlepas ke Denpasar. "Beliau (suspek) menafikan dia mabuk tetapi mengalami tekanan kerana masalah keluarga," kata Hery, sambil menambah bahawa polis masih menunggu keputusan ujian alkohol terhadap lelaki berkenaan. - Bernama
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment